AL-KAFI LI AL-FATAWI: SOALAN 297 (21 JUN 2016M/ 16 RAMADHAN 1437H)
SOALAN:
Salam, ingin bertanya beberapa soalan:
1) boleh atau tidak seseorang tidur/baring berehat di dalam masjid ketika jemaah lain sedang solat fardu? Sedangkan individu tersebut singgah berehat/musafir dll kerana ditegur oleh pengawal tidak boleh tidur dan beralasan orang sedang solat? Motif?
3) apa hukum seseorang tidur di dalam masjid? Tidak kira waktu solat atau tidak ketika itu.
2) ada dalil / pejelasan yg jelas tentang permasalahan² seperti di atas?
Harap dapat menjawab soalan dengan baik.Terima kasih.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt. Sebenarnya kalau kita tengok , peraturan ini berdasarkan suasana setempat, dan kita kena tengok keadaan masjid tersebut. Betul kalau kita tengok dalam sejarah di masjid-masjid besar seperti Masjid Nabawi dan Masjid Haram ada orang tidur dalam masjid, daripada kalangan sahabat, Ashab Suffah tidur di pinggiran masjid dan sebahagiannya di dalam masjid. Cuma kita perlu faham waqi’ zaman sekarang di mana kadang-kadang tidur di masjid menyebabkan pencemaran dengan air liur, tidak menjaga kebersihan dan imej masjid, mengganggu orang nak bersolat dan berdengkur kuat. Kalau seperti ini amat tidak sesuai.
Syor kami ialah pilihlah tempat yang sesuai dan itu pun bergantung kepada Jawatankuasa Masjid, perundingan dan cara mereka mengendalikan isu seperti ini dengan sebaik mungkin. Kita tidaklah mengatakan tidak boleh 100%, atau pun boleh 100%. Dan kita pun perlu faham apabila kita tidur di masjid sementara orang masih solat beralasan kita sudah solat, ini tidak wajar kerana akan menimbulkan persepsi dan persoalan yang cukup banyak di kalangan orang yang sembahyang dan orang yang datang menuju sembahyang. Mereka akan berkata, ‘Kenapa duduk rumah Allah tetapi tidak sembahyang?’ sekalipun kita jawab bahawa kita sudah solat atau musafir, sudah solat jama’ dan sebagainya.
Pernah suatu ketika dua orang sahabat datang ke tempat Rasulullah SAW , Nabi sedang sembahyang dengan sahabat, mereka tidak sembahyang tetapi duduk. Setelah solat, Nabi berpaling kepada mereka dan bertanya kenapa tidak solat bersama. Mereka menjawab kerana mereka sudah solat dalam perjalanan. Maka jawab Nabi alangkah baiknya mereka sembahyang bersama jamaah dan itu dikira sebagai nafilah, iaitu perkara yang disukai dalam Syarak. Solat kedua itu bukan wajib tetapi adab yang Nabi ajar sehingga tiada wasangka daripada jamaah dan orang lain, maka hati jadi tenang dan stabil.
Saat yang sama bagi saya bahawa sesiapa yang ingin tidur di masjid ini, pihak masjid sediakan kawasan khusus seperti ada masjid besar yang menyediakan tempat rehat bagi musafir supaya tidak mengganggu orang solat semasa dia tidak sedar dan sebagainya. Supaya terjaga adab antara satu sama lain. Terkadang makmum berdengkur kuat mengganggu imam dan makmum, dan terkadang posisi tidurnya mengganggu saf solat, maka ini tidak munasabahlah membenarkan tidur di dalam masjid.
Kadang-kadang juga, mutakhir ini kita lihat banyak perkara tidak diingin berlaku dalam masjid, seperti kecurian dan sebagainya, menyebabkan pengawal masjid menjadi begitu cermat dengan tugasnya. Dalam masa yang sama tidaklah kawalan ini mengekang kebebasan orang yang mahu beriktikaf dan beribadah dalam masjid. Justeru, masing-masing perlu menggunakan budi bicara melihat kepada situasi dan keadaan. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment