Wednesday, January 15, 2014

MULIA DI MATA ALLAH KERANA TAKWA

Beriman saja tidaklah cukup untuk seorang muslim. Agar keislamannya sempurna, haruslah keimanan seseorang muslim itu diiringi dengan ketakwaan. Kerana jika seseorang beriman tanpa bertakwa, oleh jadi saja dia rajin beribadat namun tetap bermaksiat kerana ia tidak memiliki rasa takut kepada Allah s.w.t.

Dalam kitab Tahdziibul Aatsaar karya Imam ath-Thabari dijelaskan, kata ittaqi (bertakwalah) memiliki makna khasyyatullaah wam-titsaalu awaamirihi wajtinaabu nawaahiihi (takut kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan perintah-perintahNya).

Adapun taqwaa dalam pengertian bahasa bererti balasan atau penghalang yang mencegah seseorang dari hal yang ditakutinya. Takwa kepada Allah s.w.t bererti membuat penghalang antara diri peribadi dengan siksaNya. Sifat takwa boleh dimiliki dengan mentaati perintah dan menjauhi laranganNya.

Diriwayatkan dari Muadz bin Jabal dan Abu Dzar Jundub bin Junadah. Rasulullah s.a.w bersabda, "Bertakwalah kepada Allah s.w.t di mana pun kamu berada. Iringilah setiap keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapusnya. Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak terpuji" (HR. Tirmidzi).

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w memberi cara untuk memelihara kadar ketakwaan dalam diri dengan selalu melakukan kebaikkan sebab kadar ketakwaan seseorang kepada Allah s.w.t terbentuk oleh besar kecilnya rasa takut kepadaNya. Semakin besar rasa takutnya kepada Allah s.w.t akan semakin tinggi darjat ketakwaan nya. Sekecil apa pun kedua sifat ini bersemayam dalam hati seseorang, akan mampu mempengaruhi kedudukan di sisi Allah s.w.t dan membentuk corak warna keperibadiannya.

Dalam kitab Sunan an-Nasa’i disebutkan, Rasulullah s.a.w bercerita, "Ada seseorang dari umat sebelum kalian yang berprasangka buruk terhadap amal perbuatannya sendiri. Ketika tiba ajalanya, dia berpesan kepada keluargnya, ‘Jika aku mati, bakarlah jasadku hingga menjadi abu. Kemudian buanglah ke laut. Sungguh, jika Allah mendapatiku, Dia tidak akan mengampuniku.’ 

Lalu Allah s.w.t menyuruh malaikat untuk mendatangkan ruhnya dan bertanya, ‘Apa yang membuatmu melakukan hal demikian?’ Orang itu menjawab, ‘Wahai Rabbku, aku tidak melakukannya kecuali karena aku takut terhadapMu.’ Kemudian Allah SWT mengampuninya.” Orang yang dalam hatinya terdapat rasa takut kepada Allah s.w.t walau sebesar zarah sekali pun, akan meraih kemuliaan darjat di sisi Allah s.w.t berserta keampunan dan rahmatNya. Tidak ada kemuliaan yang lebih tinggi dari kemuliaan darjat di sisi Allah s.w.t.

Ada sebuah ungkapan menarik yang menyatakan, "Seseorang yang terhina di mata Allah akan tetap hina, meskipun seluruh manusia di muka bumi memuliakannya. Sebaliknya, seseorang yang hina di hadapan manusia tetapi jika dia mulia di sisi Allah s.w.t meski pun seluruh manusia di muka bumi menghina dan mencemuhnya, dia tetap mulia dan terhormat.”

Ukuran kemuliaan bukan pada harta, pangkat dan jabatan atau pun garis keturunan. Tidak juga diukur dari populariti yang membuat seseorang dikenal oleh banyak orang. Kehormatan dan kemuliaan hakiki adalah yang diraih seseorang di sisi Allah s.w.t, kerana itulah jaminan kebahagiaannya di dunia dan akhirat. 

No comments:

Post a Comment