Tuesday, January 28, 2014

INDAHNYA MADRASAH

Saya sepertimana kebanyakan rakyat di Malaysia, dibesarkan oleh sistem pendidikan sekular dan sedikit sangat pengisian agama dan itupun daripada inisiatif ibu bapa yang bawa anak-anak ke kelas-kelas mengaji Al-Quran atau sekolah agama rakyat atau kelas fardhu Ain. 

Lepas UPSR saya masuk Penang Free School, sekolah paling tua di Asia, 1816. Yang saya ingat lagu sekolahnya memang semangat, "freeschool for the brave and for the true." Sekolah jenis La Sale dan diajar untuk jadi lelaki gentleman sebab itu salah satu prinsip sekolah tu.

Kemudian pindah pulak ke MRSM, mulanya di Pasir Salak, kemudian ke Transkrian Nibong Tebal. Lepas SPM , kawan-kawan yang lain ramai² pakat masuk U. Saya mulanya nak masuk U jugak, tapi Allah tak izin. Panjang jugak cerita ni. Malas nak cerita. Dipendekkan cerita, saya masuk ke madrasah di Afrika. 

Masa tu kalau dengar madrasah atau pondok, ianya sesuatu yang sangat "menakutkan" sebab digambarkan suasana yang strict macam penjara, tak bebas, tak boleh pakai HP dan pengajian pulak panjang-panjang, biasanya 7-8 tahun. Lagi lama dari ngaji medic. Tapi kentalkan hati jugak, jiwa nak berubah, dah tepu dengan sekularisme dan hedonisme, animisme, tapi tidak anime. So gagahkan hati jugak ke madrasah walaupun pada awalnya tak disokong sesiapa pun bahkan keluarga sendiri kecuali ibu yang serahkan masa depan saya pada saya sendiri.

Sampai je di madrasah. Saya nikmati satu suasana yang sangat indah. Dimana-mana ada je pelajar tahfiz tengah ngaji. Kadang-kadang tengah basuh baju pun diorang ngaji sedap-sedap melalui hafalan. Iron baju pun ngaji, memasak pun ngaji. Ada sekali saya pergi tandas, dengar orang ngaji belakang tandas. 

Saya pergi tempat tu dan saya nampak ada lebih kurang 5 orang tengah melepak, sorang khusyuk baca quran dengan tarannum, lagi 4 orang khusyuk dengar. Saya betul-betul takjub dengan keadaan tu. Selama ni kalau yang melepak belakang tandas ni mesti sambil isap rokok cerita pasal anime, game atau awek. Tengah uhuk uhuk dalam tandas pun tangkap leleh menangis beb.

Terlintas dalam hati alangkah indahnya suasana ini. Nikmat apa yang lebih baik dari ini. Yang paling sebak, ialah bila mula belajar bahasa arab dan belajar terjemahan Al-Quran. Dulu baca Al-Quran pun tak pandai, waktu tu dengan kelembutan dan kasih sayang Allah, tengok je ayat quran bukan takat boleh baca, tapi siap tahu terjemahan tanpa perlu rujuk quran terjemahan, bahkan waktu tu kami diajar untuk translate dalam bahasa Inggeris dan Urdu. 

Waktu tu menitis air mata. Baiknya Allah, walaupun kita ni banyak dosa, Dia tetap sambut dan terima kita dengan penuh kasih sayang. Daripada jahil sepatah haram tak tahu, sampailah boleh baca, terjemah, tafsir.

Saya teringat kata-kata salah seorang guru saya, nama beliau Maulana Abbas Adam An-Nadwi (murid kepada Sayyid Abul Hasan Ali al-Hasani An-Nadwi), beliau cakap lebih kurang. Nanti bila balik, jangan lupa cerita pada kawan-kawan betapa indahnya kehidupan di madrasah. Siang dan malam dihiasi dengan qalallah (firman Allah/quran) dan qalarasulullah (sabda nabi/hadis). Dari bangun pagi sampailah tidur balik, kita hanya bercakap, berbincang tentang Allah dan Rasul. Kehidupan apa yang lebih indah daripada ini?

Untuk pengetahuan, jadual di madrasah berbeza dengan jadual universiti. Di madrasah, satu hari belajar 8 madah/subjek, bermula lepas Subuh sampai Asar. Tiap hari kelas kecuali Ahad. Malam pula lepas maghrib diwajibkan muzakarah, mutalaah, murojaah di dewan dengan kawan-kawan. Hafazan sangat ditekankan bukan sahaja di kelas Hafiz tapi juga di kelas alim (kitab). 

Kelas satu je dah wajib hafal hadis 40 imam Nawawi , seluruh kitab doa masnun (doa harian daripada hadis-hadis), kitab nahu sorof akidah dan lain-lain matan yang kecil juga wajib dihafal. Jadi ke mana pun pergi, akan kedengaran macam bunyi sekawan lebah. Dari Subuh sampai tengah malam, "bunyi lebah" tu sentiasa ada. Tahfiz dengan quran nya, alim dengan kitabnya, takhasus hadis dengan hafazan hadis nya.

Berbeza dengan pengajian di universiti yang lebih kepada sistem pengajian umum di sekolah-sekolah yang kita pernah lalui dan jadual kelas yang tak terlampau ketat. Siap boleh buat kerja part time cari duit. Kalau di madrasah tak ada semua tu. Masa betul-betul dihargai untuk menghafal dan mentelaah ilmu. Masa kosong hanya untuk solat, makan, tidur dan riadah sahaja. 

Sebab itu pelajar madrasah yang tiada sumber pendapatan layak terima zakat melalui asnaf FAKIR kerana memang mereka fakir, mereka tak punya apa-apa dan tiada upaya pula untuk hasilkan apa-apa pendapatan kerana jadual yang ketat dengan ilmu. Tak ramai yang sanggup menjadi "sufi" atau "ahli Suffah" dan tinggal di madrasah. Nafsu kita mahukan kebebasan, dunia luar, dunia tanpa batas, percampuran laki perempuan, dunia fesyen, dunia selfie, dunia aku hebat kau hebat.

Alangkah berdarahnya hati ini apabila golongan yang Al-Quran sendiri menjauhinya mengeluarkan tohmahan kata-kata nista dan biadap, membangangkan, membahalolkan, membangsatkan dan kata-kata keji lainnya dilontarkan dengan penuh nafsu dan nikmat kepada institusi madrasah.

Ya memang madrasah dipandang lekeh khasnya masalah "pengiktirafan" sehingga ramai yang tak mahu ke sana kerana lulusan madrasah tak boleh buat duit, sijil tak laku, tak boleh berbangga dengan title doktor dan lain-lain keduniaan. Tapi bagi saya, saya sangat bersyukur apabila madrasah tidak "diiktiraf" oleh mana-mana kerajaan samada islamik, sekular, komunis, kapitalis dll kerana bagi saya itu merupakan satu bentuk pemeliharaan daripada Allah.

Melalui fakta yang madrasah itu "tidak diiktiraf", maka yang akan masuk ke sini hanyalah mereka yang benar-benar IKHLAS dan bukannya pemburu sijil, pemburu gaji, pemburu title doktor atau lain-lain keduniaan yang menjadikan institusi madrasah pondok sentiasa "suci" (tak boleh guna perkataan maksum, nanti ada panas punggung). Bahkan saya tak akan gembira walau sedikit jika sijil madrasah/pondok diiktiraf dan boleh digunakan untuk keduniaan. Kuno? Ya, i let u happy with your assumptions. Happy now. U deserve it. 

Saya pernah baca salah satu kitab karangan murid Shaikh Zakariyya Khandahlawi Rah dimana beliau begitu marah sekali kepada "maulana-maulana" yang bergembira apabila sistem madrasah di India ketika itu "diiktiraf" di universiti sana jika mereka masuk ke universiti untuk ambil beberapa exam dan sijil madrasah mereka akan diiktiraf oleh universiti tersebut. 

Maulana begitu marah sekali kepada para ustaz yang gembira dengan berita itu dan mengatakan bahawa sistem pendidikan madrasah ini telah lama bertapak di dunia jauh melebihi sistem universiti, mengapa pula kita yang gembira untuk tunduk di bawah mereka? Seolah-olah seorang senior yang gembira sakan apabila diiktiraf oleh junior. Sepatutnya madrasah lah yang perlu mengiktiraf universiti bukan sebaliknya.

Saya bukan nak wujudkan polemik sistem madrasah atau universiti, bagi saya keduanya ada peranan masing-masing bahkan saya juga telah join university untuk menyambung pengajian. Tapi mesej yang cuba disampaikan ialah madrasah itu mempunyai kelas yang tersendiri dan tidaklah ia hina atau lebih rendah dari universiti dan para ulama begitu berbangga dengannya, maka ia kebanggaan kami juga para murid. Jangan sekali-kali memandang madrasah ini tempat yang low class. 

Ketahuilah silibus madrasah pondok jauh lebih ketat dan padat berbanding universiti, ditambah lagi dengan tarbiah akhlak dan disiplin, satu sistem yang lengkap dan paling penting, ianya adalah sistem tradisi para ulama silam yang telah menghasilkan ramai ulama yang bertakwa dan wali Allah . Bukannya hasilkan ilmuan populis, ilmuan asal boleh, liberal, berhaluan kiri, menyalahi ijmak, suka cari masalah sesama muslim, suka menambah garam pada luka kaum muslimin dan lain-lain yang syaz (terasing) dan rosak.

Saya dah terjun dalam pelbagai sistem. Saya bukan ahli madrasah pekat sehingga nak bias pada madrasah. Saya dah pernah masuk sekolah biasa, sekolah elit, universiti, madrasah dan pondok. Dan inilah pendapat saya. Jangan kau bangsatkan madrasah wahai makhluk tak bermaruah. Maruah kami , kami bina dan bayar dengan darah dan air mata, tanpa bantuan khusus dari kerajaan, bukan pula dengan menunggang agama atau jual meja dengan harga berpuluh ribu untuk mendabik dada madrasah kami hebat dan penuh sistem moden. 

Kami titiskan darah dan air mata, hati kami remuk, nafsu kami hancur semata-mata untuk bangunkan madrasah. Jangan kau bangsatkan apa kami bina. Kerana kami bina ia dengan penuh bermaruah, bukannya seperti anak orang kaya yang "spoiled brat" Yang segalanya tersedia. Jangan kau bangsatkan apa kami perjuangkan, kerana kami yang akan waris kau panggil waktu kau terjun dalam lubang kubur bersama pendapat bangsat kau. (Tulisan: Zakuan Faiz. 17 September 2017).

No comments:

Post a Comment