Tuesday, March 4, 2014

PANDANGAN AHLUL BAIT TERHADAP SYIAH

1). Daripada Zaid bin Wahb al-Juhani katanya: Apabila al-Hasan bin Ali a.s. ditikam di al-Madain aku datang menemuinya dalam keadaan dia mengadu kesakitannya. Maka aku pun berkata kepadanya, “Apa pandanganmu wahai anak Rasulullah kerana sesungguhnya orang ramai dalam keadaan kebingungan (dengan apa yang berlaku)? Dia pun menjawab, “Demi Allah! Aku fikir Muawiyah lebih baik untukku daripada mereka-mereka ini. Mereka mendakwa bahawa mereka adalah Syiahku tetapi mencari peluang untuk membunuhku, merampas barangan berhargaku dan mengambil hartaku. 

Demi Allah! Jikalau aku mengadakan perjanjian dengan Muawiyah, dia akan melindungi darahku dan aku merasa aman dengan (perlindungannya) terhadap keluargaku. Itu adalah lebih baik daripada mereka (Syiah) membunuhku lalu akan terabailah kaum keluargaku dan isteriku. Demi Allah! jikalau aku memerangi Muawiyah mereka akan menangkap aku sehingga mereka akan menyerahkanku kepadanya (Muawiyah) sebagai tawanan. Demi Allah! jika aku mengadakan perdamaian dengannya dan aku dalam keadaan mulia adalah lebih baik daripada dia membunuhku sebagai tawanan atau dia akan membantuku lalu ia menjadi ikutan kepada Bani Hasyim di akhir zaman. (Rujukan: Ahmad bin Ali bin Abi Talib at-Thabarsi al-Ihtijaj jil. 2 hal. 290)

Kesimpulan: Ahlul Bait iaitu Sayyidina Hasan r.a. yang didakwa oleh Syiah sebagai imam kedua mereka tidak percaya terhadap golongan yang mendakwa sebagai pengikutnya iaitu golongan Syiah. Sayyidina Hasan r.a. menyedari bahawa Syiah telah cuba untuk membunuhnya dan merampas segala hartanya. Sayyidina Hasan r.a. juga menyedari bahawa Syiah hanyalah golongan pembelot yang hanya mendakwa sebagai pengikut setia sahaja.

2). Syiah: Imam Maksum Menjadikan Laknat Kepada Sahabat Nabi saw. Sebagai Wirid Selepas Sembahyang. 

Daripada Husain bin Thuwair dan Abi Salamah as-Sarraj, kedua-duanya berkata: “Kami mendengar Abu Abdillah a.s. melaknat selepas setiap sembahyang fardhu empat orang lelaki dan empat orang perempuan iaitu si-fulan, si-fulan, si-fulan dan Muawiyah serta ia menyebut nama mereka dan si-fulanah, si-fulanah [1], Hindun dan Umm al-Hakam iaitu saudara perempuan Muawiyah”. (Rujukan: Muhammad bin Yakob al-Kulaini al-Furu min al-Kafi jil. 3 hal. 342)

Kesimpulan: Syiah mengatakan imam maksum di sisi mereka mengajarkan supaya melaknat sahabat-sahabat Nabi saw. selepas setiap kali sembahyang. Syiah bukan sekadar membenci, mengkafirkan dan melaknat sahabat-sahabat Nabi saw. bahkan lebih dari itu menjadikan laknat kepada mereka sebagai amalan rutin harian.

3). Syiah: Abu Bakar Dan Umar Dilaknat Oleh Allah, Malaikat Dan Sekalian Manusia.

Hannan daripada ayahnya daripada Abi Jaafar a.s. (Muhammad al-Baqir), katanya (perawi iaitu ayah Hannad): saya berkata kepadanya: “Apakah anak-anak Yakub itu adalah nabi-nabi? Beliau (Abu Jaafar) menjawab: “Tidak! Tetapi mereka adalah keturunan anak nabi-nabi. Mereka tidak meninggalkan dunia kecuali dalam keadaan bahagia, bertaubat dan mengingati apa yang mereka lakukan. Sesungguhnya Syeikhain (dua orang Syeikh. Maksud Syeikhain di dalam kitab-kitab Syiah ialah Abu Bakar dan Umar) telah meninggalkan dunia dalam keadaan tidak bertaubat dan tidak mengingati apa yang mereka berdua lakukan terhadap Amir al-Mukminin (Ali) a.s.. Maka lanat Allah, malaikat dan sekalian manusia ditimpakan keatas mereka berdua”. (Rujukan: Muhammad bin Yakob al-Kulaini ar-Raudhah min al-Kafi jil. 8 hal. 246)

Kesimpulan: Syiah mengatakan Sayyidina Abu Bakar dan Umar r.a. telah melakukan kezaliman terhadap Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. dan meninggal dunia dalam keadaan tidak bertaubat di atas dosa tersebut. Syiah mengatakan Sayyidina Abu Bakar dan Umar r.a. dilanat oleh Allah, malaikat-malaikat dan sekalian manusia.

4). Syiah: Kepercayaan Kepada Imam Dua Belas Adalah Rukun Islam Paling Utama

Daripada Abi Fudhail daripada Abi Jaafar a.s. katanya, “Islam ditegakkan di atas lima perkara; solat, zakat, puasa, haji dan walayah. Tidak diseru kepada mana-mana rukun sebagaimana seruan kepada al-Walayah”.

Daripada Fudhail bin Yasar daripada Abi Jaafar a.s. katanya, “Islam dibina di atas lima perkara, di atas solat, zakat, puasa, haji dan walayah. Tidak diseru kepada mana-mana rukun sebagaimana seruan kepada al-Walayah”. Lalu manusia mengambil keempat-empatnya dan meninggalkan yang ini, iaitu al-Walayah.”

Daripada Ibn al-Arzami daripada ayahnya daripada Jaafar as-Sadiq a.s. katanya, “Asas-asas Islam ada tiga, solat, zakat dan al-Walayah. Tidak sah (beriman atau menegakkan) salah satu daripadanya kecuali mesti disertai dengan dua asas lagi”. (Rujukan: Muhammad bin Yakob al-Kulaini al-Usul min al-Kafi jil. 2 hal. 18)

Kesimpulan: Rukun Islam Syiah berbeza dengan rukun Islam Ahl as-Sunnah Wa al-Jamaah dan perbezaan pada rukun agama membawa kepada perbezaan dari segi akidah. Syiah mengatakan Ahl as-Sunnah telah meninggalkan rukun Islam terpenting di sisi mereka iaitu al-Walayah dan hanya mengambil empat rukun sahaja. Syiah telah menolak salah satu rukun Islam paling utama di sisi Ahl as-Sunnah iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Syiah mengatakan ibadat sembahyang dan zakat Ahl as-Sunnah dan ibadat-ibadat yang lain tidak sah kerana tidak disertakan dengan al-Walayah iaitu kepercayaan kepada dua belas imam sebagaimana pegangan Syiah[1].

[1] Dua belas imam Syiah itu ialah:

1. Ali bin Abi Talib (wafat 40 H)

2. Hasan bin Ali (wafat 50 H)

3. Husain bin Ali (wafat 61 H)

4. Ali Zainal Abidin bin Husain (wafat 94 H)

5. Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin (wafat 117 H)

6. Jafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir (wafat 148 H)

7. Musa al-Kazim bin Jafar as-Sadiq (wafat 183 H)

8. Ali ar-Ridha bin Musa Kazim (wafat 202 H)

9. Muhammad al-Jawaad bin Ali ar-Ridha (wafat 220 H)

10. Ali bin Muhammad al-Jawaad (wafat 254 H)

11. Hasan bin Ali al-Askari (wafat 260 H)

12. Muhammad bin Hasan al-Askari al-Mahdi (ghaib 260 H).

No comments:

Post a Comment