Sunday, January 10, 2010

FIRASAT LAKSAMANA HANG TUAH

Maka Laksamana pun berkata “Hai jurumudi bilangkan Mendam Berahi ini”. Maka dibilangkanlah oleh jurumudi. Maka angin pun turunlah terlalu keras dan ombak pun terlalu besarlah. 


Maka Laksamana pun minta doa kepada Allah Ta'ala, “Ya Tuhanku sampaikan apalah kiranya hamba-Mu pada pulau ini kerana hati hamba-Mu terlalu hasrat hendak melihat kebesaran-Mu”. 

Hatya dengan seketika itu juga angin pun teduhlah maka Laksamana pun sampailah ke pulau itu maka perahu dua belas buah itupun lagi tinggal di belakang. 

Maka kata Laksamana, “Hai segala orangku mengambil kayu dan air dan buah buahan pada pulau ini. Jikalau kamu hendak ambil baca Fatihah dahulu pada firasat hamba ada juga aulianya dan kebenarannya pada pulau ini” 

Maka kata orang itu “Baiklah tuanku”. 

Maka kata Laksamana “Duduklah kamu sekelian di sini bahawa aku hendak berjalan seorangku melihat kekayaan Allah Ta’ala”. Maka Laksamana pun berjalanlah seorang dirinya berkeliling pulau itu. Maka di lihatnya oleh Laksamana ada suatu batu seperti kapas di busar putihnya dan seperti tikar sudah terhampar maka di atas batu itu ada orang tua seorang duduk solat. 

Maka firasat Laksamana “Bahawa orang tua ini Nabi Khidir as juga” Maka Laksamana pun datang perlahan dengan takzimnya duduk mengadap orang tua itu lagi solat. Setelah sudah solat maka Laksamana pun memberi salam maka di sahut oleh orang tua itu salam Laksamana. 

Maka Nabi Khidir as pun berkata, “Hai Laksamana apa maksudmu datang kepada aku ini kerana tiada pernah manusia sampai kepada pulau ini”.  Maka Laksamana pun menyembah dengan hormatnya katanya, “Ya tuanku suatu pun tiada maksudku melainkan hati hambamu hendak bertemu dengan khadam tuanku kalau beroleh daripada khadam tuanku”.

Maka kata Nabi Khidir as “Hai Laksamana tahulah aku bahawa engkau ini di suruhkan oleh Raja Melaka kamu ke benua Keling. Apabila engkau ke benua Keling beberapa kurnia raja benua Keling akan engkau. Dari benua Keling di suruhkan raja benua Keling itu ke benua Cina itupun engkau beroleh kurnia daripada raja benua Cina dan engkau pun selamat kembali ke negerimu selamat bertemu dengan anak isterimu”. 

Maka Laksamana pun terlalu sukacita mendengar kata Nabi Khidir as itu. Maka Nabi Khidir as pun berkata, “Ambil olehmu buah kayu itu apabila engkau sampai ke benua Keling kelak di hadapan raja benua Keling itu maka engkau ambil bijinya sebutir maka engkau tanam dengan seketika itu berbunga dan berdaun dan berbuah”.

Maka segera ambil oleh Laksamana buah kayu itu di cubanya sungguh seperti kata Nabi Khidir as itu maka Nabi Khidir as pun ghaiblah maka Laksamana pun kembalilah ke perahunya dengan sukacitanya. 

Dari Hikayat ini maka ketahuilah kita semua akan "Ilmu Firasat" Dato Laksamana Hang Tuah bukanlah sekadar andaian atau ucapan semata. Maka janganlah sesekali kalian meremehkan kata-kata yang pernah diungkap akan Dato Laksamana Hang Tuah, "Takkan Melayu Hilang Di Dunia”

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment