Sunday, January 10, 2010

MAT INDERA, PEJUANG ATAU PETUALANG?

Siapa masih ingat dengan kisah Mat Indera? Orang Melayu yang menjadi ketua komunis Bintang 3. Namanya menjadi bualan orang ramai selepas beliau mengetuai komunis untuk menyerang Bukit Kepong. Masih ingat lagi kan peristiwa Bukit Kepong? Sesetengah orang anggap beliau hero dan sesetengah lagi anggap sebagai pengganas. 

Siapa sebenarnya Mat Indera ni? Mengapa beliau join dan mengetuai komunis? Nanti kita akan ulas pasal ni. Sebelum tu saya nak beritahu, Ahmad Indera atau dikenali sebagai Mat Indera ini adalah keturunan dari pahlawan Datuk Bentara Husin Lela iaitu Pahlawan Siak Seri Inderapura yang menjadi panglima kanan Al-Marhum Sultan Sharif di Siak. Beliau lahir pada tahun 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat Johor. 

Sebenarnya Mat Indera ini adalah seorang pemuda yang baik dan cukup ilmu agamanya. Beliau pernah berguru dengan "Kiyai Haji Fadzil Bentan" Yang merupakan seorang guru dan penasihat kepada Sultan Johor DYMM Sultan Ibrahim. Mat Indera seorang yang beradab, peramah dan suka membuat lawak. Beliau seorang Hafiz Al-Quran, gemar bernasyid, berqasidah dan berzanji. 

Mat Indera pernah menjadi guru agama di sekolah agama Parit Setongkat Muar Johor pada tahun 1937 (Masa ni beliau baru berumur 17), Manakala di dalam peperiksaan darjah khas untuk guru-guru, beliau menerima anugerah butang perak dari kerajaan Johor ketika itu kerana kecemerlangannya dalam peperiksaan tersebut maknanya beliau ni seorang yang cerdik. 

Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama. Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar, Johor. 

Okay jom kita sambung cerita macam mana beliau boleh join komunis, Mat Indera ni dia ada keinginan yang kuat untuk memerdekakan Tanah Melayu dari jajahan British. Mat Indera pada mulanya menyertai ahli sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dengan matlamat membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris dan Mat Indera juga aktif didalam pergerakkan yang dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API).

Apabila Parti Kebangsaan Melayu Malaya diharamkan, Ahmad bin Indera telah bertindak menyertai pergerakan gerila komunis di dalam hutan pada tahun 1948, kemungkinannya terpengaruh dengan perjuangan Indonesia menentang Belanda dan tertekan dengan British. Beliau bergerak cergas di sekitar kawasan Lenga, Pagoh, Jorak, Bukit Kepong dan Poris. Dia mengetuai pergerakan komunis di bahagian selatan yang merangkumi daerah Muar, Batu Pahat, Segamat dan Melaka.

Peristiwa serangan Bukit Kepong itu, mengikut cerita dari adik kepada Mat Indera, Mat Inderan memang bertanggungjawab mengarahkan serangan tetapi beliau hanya suruh menangkap dan tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis sepertimana yang dilakukan ahli-ahli komunis. Rupanya ahli-ahli komunis ni mungkin telah buat pakatan rahsia sesama mereka untuk membunuh polis. 

Pihak British memang takut sangat pada Mat Indera ni kerana risau ada orang melayu yang mengikuti perjuangan beliau. Pelbagai usaha dibuat untuk menangkapnya sehinggakan British menawarkan 75 ribu bagi sesiapa yang berjaya tangkap Mat Indera. Namun untuk menangkap Mat Indera ni bukanlah mudah kerana ketinggian ilmunya. Dua Kali beliau ditangkap dan ghaib begitu saja, Pertama ketika beliau ditangkap, ghaib ketika beliau minta untuk mengambil wudhu. Kedua beliau ghaib ketika beliau menyentuh rumput. Mat Indera ni sememangnya bukan calang-calang orang, Beliau juga dikatakan kebal dari senjata tajam dan peluru. 

Pihak British semakin geram sehingga menggunakan taktik kotor dengan memberi ugutan kepada sahabat Mat Indera iaitu Mat Tukyo dan orang kampung Sri Medan. Ugutan Inggeris terus menjadi tekanan kepada penduduk Sri Medan termasuk untuk memindahkan mereka dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang membantu membekalkan makanan kepada Mat Indera.

Penangkapan Mat Tukyo oleh Inggeris sebelum ditawarkan beberapa ganjaran diberikan tanah dan kebun. Selain hidup bebas di Sri Medan menjadi kemuncak tindakan nekad, penduduk Jawa Ponorogo mengambil keputusan untuk setuju dengan pihak British untuk menangkap Mat Indera. Namun perlu melalui kaedah terancang kerana semua orang mengetahui kesaktian Mat Indera.

Pada 14 Oktober 1952, lima lelaki Jawa Ponorogo yang diketuai Md Sham dan dibantu Ismail Mustakim (Misban), Beladang, Mat Tukyo dan Bajuri menggunakan tipu helah untuk memberkas Mat Indera. Ia bermula dengan jemputan dari Mat Tukyo dan Misban kepada Mat Indera untuk mengadakan perbincangan mengenai pelan bantuan orang kampung. Dalam perbincangan itu, dia dijamu dengan tempe dan kopi yang dicampur kecubung. Akibat itu Mat Indera mabuk dan mengantuk. (Kecubung ni memang power, Kalau korang tak kenal pegi taip kat Google). 

Ketika Mat Indera "Mabuk Kecubung" pada ketika itulah kesempatan itu digunakan untuk menanggalkan semua tangkal yang ada pada Mat Indera serta mengikat tangannya dengan lalang. Dikatakan, kerana itulah ilmu ghaib dan kehebatan Mat Indera tidak lagi dapat digunakan. Bekas ketua kampung Parit Warijo, Malik Samuri menjadi saksi bagaimana Mat Indera dibawa dengan basikal sedang tangannya diikat daun lalang. 

Peristiwa itu sebenarnya menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat Jawa Ponorogo. Ada yang gembira dan ada yang sebak. Mat Indera kemudian dipenjarakan di beberapa tempat, dari Batu Pahat ke Johor Bahru, Pulau Pinang, Pudu dan Taiping. Di dalam penjara Mat Indera didera. Akhirnya Mat Indera menjalani hukuman gantung sampai mati pada jam 11 malam 30 Januari 1953 di Penjara Taiping. Jenazahnya dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping.

So pada pandangan saya mengangkat Mat Indera sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan tidak salah sebenarnya dari segi jasa-jasanya sebelum bersama komunis Bintang 3, tapi jika mengangkat Mat Indera yang bersekongkol dengan komunis menyerang Bukit Kepong sebagai hero dan pejuang sebenar adalah satu kesilapan yang sangat besar bukan sahaja dari segi sejarah malah juga etika perjuangan dalam Islam itu sendiri. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara. 

Sebagai contoh seorang anak yang berniat membantu ibu bapanya yang susah telah mencuri, merompak dan meragut untuk mendapatkan wang adalah satu kesalahan dari segi cara dan pendekatannya walaupun niatnya  baik. Begitu juga Mat Indera yang berniat melawan penjajah British telah masuk ke hutan dan bersekongkol dengan 200 komunis dan membunuh 25 org polis dan orang awam menjelang subuh di balai polis Bukit Kepong secara zalim dan kejam adalah tidak boleh dianggap wira walaupun itu bukan kehendaknya. Wallahu’alam.

Apapun kita sedekahkan Al-Fatihah pada Mat Indera dan orang yang telah terkorban dalam perjuangan menentang komunis Bintang 3.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment