Sunday, January 10, 2010

PEMBINAAN ISTANA MELAKA

Diceritakan bahawa setelah istana kedua Al-Marhum Sultan Mansur Shah terbakar, baginda memberi arahan untuk menyediakan istana yang ketiga dalam masa sebulan. Justeru itu, Bendahara Melaka telah bergegas mengerah tukang-tukang dari 15 sub-etnik Melayu yang berada di Melaka ketika itu.

Untuk meningkatkan produktiviti dan menjimatkan masa, Bendahara Melaka telah mengarahkan setiap kerja pembinaan bangunan dalam kawasan istana Melaka tersebut dibuat secara pengkhususan seperti berikut:-

1) Istana Besar dibina orang Ungaran dari Semarang, Jawa Tengah;

2) Istana Kecil (1) dibina orang Sugal dari Banten, Jawa Barat;

3) Istana Kecil (2) dibina orang Buru dari Kepulauan Maluku;

4) Istana Kecil (3) dibina orang Suir dari Kepulauan Meranti, Riau;

5) Balairong dibina orang Pancur Sempung dari Sumatera Utara;

6) Balai Penghadapan dibina orang Sudir dari Sulawesi Selatan;

7) Penanggahan dibina orang Merba dari Jambi, Sumatera Tengah;

8) Balai Jawatan disisi Balairung dibina orang Sawang dari Kepulauan Bangka dan Belitung;

9) Balai Apit Kiri dan Kanan dibina orang Kundur dari Karimun, Riau;

10) Balai Kendi (bilik air  atau tandas) dibina oleh orang Suntai dari Pulau Bangka, Sumatera Timur;

11) Pemandian dibina oleh orang Melai Kepulauan Meranti, Riau;

12) Bangsal gajah dibina orang Upang dari Palembang, Sumatera Selatan;

13) Masjid dibina orang Tungkal dari Jambi, Sumatera Tengah;

14) Pagar istana dibina orang Bintan Kepulauan Riau;

15) Kota Wang (treasury vault) dibina orang Muar (kini di Johor).

Dibawah istana ini terdapat gedung bawah tanah, ia cukup besar untuk digunakan bagi menyimpan emas dan perak Sultan ketika itu. Pembinaan Istana Melaka bukan sekadar tempat kediaman dan pentadbiran, tetapi juga tempat penyimpanan harta peribadi sultan dan pelbagai barangan.

Istana Melaka mempunyai peti berkaki bertatahkan permata. Semasa Portugis menawannya, mereka mendapati istana ini memiliki sebuah peti besar berkaki dan dipenuhi dengan permata yang bernilai 60,000 cruzado. Ia diikuti empat balang emas yang mengandungi minyak wangi, bekas emas yang mengandungi butiran mutiara selain gadis cantik yang bertugas sebagai dayang istana diluar pemikiran sesetengah pihak ketika itu yang menganggap masyarakat Melayu masih primitif, mundur dan tidak bertamadun.

Tapi sayangnya bukti peninggalan sejarah yang agung ini dimusnahkan oleh penjajah kerana tidak mahu dunia mengetahui betapa hebatnya bangsa melayu, Mereka musnahkan segalanya dan menggantikan dengan peninggalan sejarah mereka, Segala manuskrip dan bukti kehebatan bangsa melayu di bawa balik ke tanah yang asing agar anak melayu hari tidak mengenal sejarah dan melupakan sejarah bangsa mereka. 

Wallahu’alam.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment