Sistem diwujudkan hanya untuk insan, adapun ALLAH SWT yang mencipta insan tidak berada dalam sistem yang ditetapkan lantaran kekuasaan diriNya di atas segala sesuatu.
Ketauhidan bermakna mengikat diri dengan ALLAH SWT yang Maha Agung yang tiada terikat dengan sistem. Tika diri mengalami permasalahan dimana seluruh insan yang terikat dengan sistem tiada boleh lagi membantu, maka masih ada jalan keluar bagi dirinya dengan merayu kepada ALLAH SWT agar membantunya, hanya perlukan keyakinan, penyerahan dan munajat yang benar.
Logik tauhid ialah berdasarkan kebenaran dan kebebasan, logik akal adalah kepalsuan dan keterikatan. Logik akal dan adat mengatakan peristiwa Isra’ dan Mikraj tiada logik, logik tauhid mengatakan adalah tidak logik ALLAH SWT tiada dapat melakukannya, jarak dan masa hanya sistem manusia adapun disisi ALLAH SWT tiada baginya jarak dan masa.
Logik akal mengatakan mustahil insan dapat lahir tanpa bapa, logik tauhid mengatakan ialah adalah logik kerana ALLAH SWT yang mencipta insan, DIA berhak untuk mencipta dengan cara apa jua, maka zahirlah Nabi Isa as yang dikurniakan pula mukjizat yang dapat menyembuhkan penyakit yang tiada logik akal dan adat dapat disembuhkan.
Logik akal mustahil isteri yang mandul dapat melahirkan zuriat, namun logik tauhid ALLAH SWT telah kurniakan isteri Nabi Zakaria (as) yang tua dan mandul dapat mengandung.
Logik akal mustahil manusia tiada hangus apabila dibakar dalam api yang besar menyala, logik Tauhid adalah logik kerana api hanya makhluk ALLAH SWT yang tiada berkuasa hingga Nabi Ibrahim (as) tenang dalam api, logik akal mustahil sebatang kayu boleh membelah laut, tapi logik tauhid tiada mustahil hingga telah terbukti berlaku kepada Nabi Musa (as).
Logik akal dan adat mustahil boleh berpindah istana yang besar dan jauh hanya sekelip mata boleh berada dihadapan mata namun logik tauhid boleh berlaku hingga telah terjadi di zaman Nabi Sulaiman (as). Logik akal dan adat mustahil tentera yang sedikit dan tiada peralatan akan musuh yang ramai dan lengkap peralatan, namun logik tauhid tiada mustahil berlaku hingga telah diberi kemenangan ALLAH SWT akan tentera Badar.
Yang tiada logik pada akal dan adat, tapi pada logik tauhid ia adalah logik kerana tiada apa yang mustahil disisi ALLAH SWT untuk melakukan apa jua yang dikehendaki pada alam dan makhluknya malah amat mudah, hanya mengatakan “Kun Fayakun”, maka ia akan terjadi. Mukjizat, karamah, maunah dan doa yang mustajab adalah perkara yang berlaku diluar logik akal dan adat namun ia adalah perkara yang logik dalam ketauhidan.
Berada dalam dunia realiti iaitu tauhid hingga merasai diri tenang, kuat dan bebas, jangan terlalu terikat dengan logik akal dan adat hingga anggap mustahil boleh berlaku jika tiada logik pada akal dan adat, ia hanya hukum dan peraturan untuk insan sahaja yang penuh kelemahan, Maka jangan ALLAH SWT juga kita mahu diriNya Yang Agung berada dalam sistem ciptaanNya pada alam dan makhlukNya.
Sesungguhnya berada dalam logik akal adalah fantasi dan kesempitan, berada dalam logik tauhid adalah realiti dan keluasan.
Tiada yang mustahil dalam hukum logik tauhid dalam kehidupan insan dan alam ini jika ALLAH SWT mahu melakukannya, maka jangan berputus asa dan lemah dalam kehidupan ini, banyakkan berdoa dan pasrah padaNya jika sudah buntu dan tiada siapa boleh bantu, Insya Allah di sana pasti akan ada jalan keluar.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment