Monday, January 14, 2013

AZAN MERDU YANG TIDAK DIDENGARI PENDUDUK LANGIT

Merdu itu bukan menjadi ukuran bagi “Azan”. Zaman sekarang ramai yang berlumba-lumba nak tunjukkan azan siapa lagi merdu dan lunak. Tidak kurang juga yang merakam laungan azan diri sendiri dan post ke media sosial untuk mendapatkan perhatian orang ramai dan pujian bahwa dia memiliki suara merdu dalam melaungkan azan. 

Merdu itu memang perlu dan harus, tetapi sebelum merdu itu ada perkara yang lebih utama yang perlu dijaga iaitu “Ikhlas”. Jika kita melaungkan azan kerana nak tunjukkan bahwa kita ni ada suara yang lebih merdu dari muazzin ataupun orang lain, ia sudah menjurus kepada "Riak dan Ujub". 

Sesetengah orang melaungkan azan dengan niat untuk menyeru muslim solat berjemaah di masjid mahupun solat dirumah, tetapi ada sesetengah orang melaungkan azan kerana nak pujian dan orang tahu bahwa dia memiliki suara merdu. 

Saya pernah membaca satu hadis yang dikisahkan pernah berlaku suatu hari datang seorang pemuda bertemu Rasulullah Sallalahu Alayhi Wa'Sallam dan dia berkata, “Ya Rasulullah, Bilal azannya cuma senada, kedengaran tidak merdu. Apa kata esok kita tukar muazzin supaya azan yang dilaungkan lebih merdu”.

Dipendekkan cerita Baginda Nabi pun mengizinkan permintaannya itu untuk membiarkan orang lain untuk melaungkan azan subuh. Maka pada waktu subuh, pemuda tersebut datang menggantikan tempat Bilal Bin Rabbah. Dia pun melaungkan azan dengan begitu merdu sekali sehingga semua penduduk Madinah terpegun dengan suaranya dan ramailah yang datang untuk melihat siapakah yang melaungkan azan begitu merdu sekali. 

Setelah selesai solat subuh dan diwaktu paginya Baginda Nabi pun keluar dari masjid untuk menjalani rutin harian baginda. Tiba-tiba Malaikat Jibril turun bertemu dengan Baginda Nabi.. 

Malaikat Jibril pun berkata “Ya Rasulullah, apakah kamu dan para sahabat kenapa sudah menunaikan solat subuh?” Baginda Nabi merasa hairan dengan pertanyaan Malaikat Jibril, lalu Rasulullah pun berkata bahwa mereka sudah menunaikan solat subuh.

Maka berkata Malaikat Jibril lagi, “Adakah kamu memulai solat subuh dengan azan?”

Jawab Baginda Nabi, “Ya kami sudah melaungkan azan dan ramai yang mendengar azan itu”

Malaikat Jibril berkata, “Sesungguhnya kami tidak mendengar laungan azan sampai ke langit seperti selalu”.

Maka tahulah Rasulullah saw mengapa para penduduk langit tidak mendengar seruan azan. Walaupun laungan azan Bilal Bin Rabbah tidak semerdu pemuda itu tetapi kerana keikhlasannya laungan azan Bilal bin Rabbah terdengar sehingga ke langit 7.

Sesungguhnya laungan azan yang di laungkan atas dasar mahu menunjuk kemerduan suara justeru tidak didengar oleh penduduk langit. Semenjak kejadian itu tiada siapa pun dibenarkan mengantikan tempat Bilal. 

Walaupun laungan azan Bilal Bin Rabbah hanya senada dan biasa. Tetapi ada keikhlasan dalam suara itu, ada kejujuran dan kesungguhan sebagai seorang muazzin dalam suara itu dan ada pengharapan dalam suara itu agar semua yang mendengar laugan azan akan turun bersama mendirikan solat.

Suara itulah yang dinantikan setiap penduduk Madinah dan penduduk langit. Para malaikat sentiasa menantikan laungan azan yang mempunyai keikhlasan seperti Bilal Bin Rabbah. 

Diharap kalian faham apa perkara yang saya cuba sampaikan, janganlah menilai kualiti azan dari kemerduannya sahaja, Kerana saya tahu kita hanya begitu takjub dengan azan yang merdu merdu sahaja. Sedangkan kualiti azan itu terletak pada keikhlasan dan bukan merdu yang menjadi ukuran.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment