Monday, January 14, 2013

IBNU SINA - BAPA PERUBATAN DUNIA

Diceritakan bahawa pada sekitar abad ke-9 Masihi, seorang anak muda telah dilahirkan di Bukhara, yang kemudiannya akan menggegarkan persada ilmu untuk beberapa abad lamanya. Menurut alim ulama, ilmuwan dan pendidiknya, anak muda ini dikenali sebagai si genius yang aneh.

Sifat aneh ini dapat dilihat apabila beliau berjaya menghafal serta mengkhatam kitab suci Al-Quran dan puisi-puisi Arab. Selepas itu, beliau mempelajari ilmu hisab al-Khawarizmi dan fiqh. Seterusnya, beliau mendalami ilmu falsafah apabila keluarganya diziarahi ahli falsafah Abu Abdullah an-Nateli. Pada usia 13 tahun, beliau mengkhususkan pengajiannya terhadap ilmu perubatan. Nama anak muda ini ialah Abu Ali Al-Husain bin Abdullah bin Hasan bin Ali bin Sina.

Kariernya sebagai seorang tabib bermula semasa beliau berumur 16 tahun. Selang 1-2 tahun, raja Bukhara kerajaan Samaniyyah, Nuh bin Mansur jatuh gering dek penyakit di dalam perut. Tiada siapa pun yang mampu merawat penyakit baginda, termasuk tabib-tabib diraja. 

Mendengarkan kemahsyuran Ibn Sina kerana memperkenalkan kaedah rawatan yang baru, Raja Nuh bin Mansur memanggil tabib muda itu untuk merawatnya. Ibn Sina mengejutkan orang ramai apabila beliau berjaya merawat rajanya yang gering. Sebagai balas budi, Ibn Sina dijadikan tabib diraja dan dibenarkan menggunakan perpustakaan diraja yang dipenuhi 30,000 manuskrip dan buku ilmu.

Selepas kematian ayahnya dan kemangkatan Raja Nuh bin Mansur, kerajaan Samaniyyah menjadi kucar kacir kerana pemberontakan. Melihatkan keadaan tersebut, Ibn Sina merantau ke negeri Jurjaniyyah. Di situ, Ibn Sina disambut baik oleh rajanya dan diangkat menjadi ahli akademi ilmu, sekaligus memberikan peluang kepada Ibn Sina untuk terus mencari ilmu. Pada waktu inilah, beliau mula menulis opus magnum-nya, al-Qanun fi al-Tibb. Ibn Sina sekali lagi terpaksa merantau keluar ke negeri lain kerana masalah politik di Jurjaniyyah. Perantauannya itu membawa beliau ke negeri-negeri lain dan akhirnya bermastautin dengan aman di Isfahan (Iran).

Ibn Sina merupakan seorang penulis tegar. Dalam beberapa riwayat, beliau telah menulis lebih kurang 7 buah buku setahun. Beliau juga mempunyai seorang sahabat, ahli fiqh bernama Abu Ubaidah al-Jurjani yang mencatat dan mengimlakkan apa-apa yang terkeluar daripada bibir Ibn Sina berkenaan ilmu seperti perubatan. Dalam riwayat yang lain, sahabatnya ini telah menyalin karangannya semasa beliau dalam peperangan. Bukunya yang pertama ditulis semasa beliau berumur 21 tahun dan jumlah kesemua buku-buku yang ditulisnya ialah 456 buah buku. Hampir kesemuanya ditulis dalam bahasa Arab dan beberapa lagi dalam bahasa Parsi.

Karya agungnya, al-Qanun fi al-Tibb, merupakan buku teks perubatan yang sangat berpengaruh dan dijadikan bahan bacaan sekolah perubatan selama 600 tahun sejak zaman beliau masih hidup. Di negara-negara barat, buku ini dianggap sebagai buku sangat penting, seperti kitab Injil. Qanun ini boleh dibahagikan kepada 5 jilid besar yakni:

-Buku yang membicarakan perkara-perkara asas dan umum.
-Buku ubat-ubatan ringkas.
-Buku penyakit organ-organ
-Buku penyakit yang boleh merebak ke seluruh badan. 
-Buku ubat-ubatan kompoun.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment