Masjid Ulul Albab adalah masjid yang diperbuat menggunakan kayu cengal tanpa menggunakan paku, Masjid ni terletak di Seberang Jerteh, Terengganu. Senibina ini menjurus kepada senibina MELAYU berciri Islam. Masjid ini boleh menampung 1500 jemaah pada satu masa. Kos pembinaan masjid ini sebanyak RM12.3 juta di atas tapak seluas 2 hektar bagi menggantikan masjid lama yang uzur dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.
Masjid ini hasil rekaan Wan Musatafa Wan Su dari syarikat Khazanah Seni Warisan. Beliau seorang pengukir ternama yang merupakan anak jati Besut dan diangkat sebagai Adiguru Ukiran Kayu Malaysia dipertanggungjawabkan memberi sentuhan kepada wajah masjid ini. Banyak motif songket Terengganu digunakan dalam senibina masjid ini. Tiang dan lantai masjid tiga tingkat ini menggunakan simen dan bersalut kayu. Masjid ini diilhamkan dari senibina masjid Kampung Laut Tumpat iaitu masjid tertua di Malaysia yang dikatakan berusia lebih 250 tahun. Secara keseluruhan 90% masjid ini menggunakan kayu cengal disamping nyatuh dan bala bagi melapisi konkrit menggunakan kaedah tebuk pasak.
Masjid Ulul Albab mempunyai enam tangga utama. Enam kepala tangga masjid berkenaan dilakarkan ukiran abstrak yang mengambarkan ombak dan penyu yang membawa simbol perjalanan berona yang belum terhenti dan masih jauh. Biarpun reka bentuk tradisional mengikut acuan moden, namun ia masih boleh dianggap sebagai maha karya sezaman yang sewajarnya menjadi kemegahan bagi mereka yang mencintai resam dan budaya MELAYU.
Tempayan dan gayung pula diletakkan di anak tangga masjid Ulul albab untuk bilasan kaki yang mungkin mengingatkan agar langkahan untuk ke ruang sujud perlu bermula dengan jasad dan jiwa yang bersih. Bumbung masjid Ulul Albab berbentuk atap tumpang, bertingkat tiga yang meruncing ke atas untuk melancarkan pengaliran air hujan agar tidak mudah mereputkan bahan kayu. Di antara tingkat-tingkat masjid Ulul Albab terdapat ruang berbentuk jendela untuk pengaliran udara dan cahaya untuk menyaman dan memberikan keselesaan, manakala dinding, dan jendela menepati fungsinya.
Di sekeliling bumbung masjid Ulul Albab ini juga dikenali sebagai andam-andam dipasang dengan kaligrafi kayu. Ia memancarkan ketinggian senibina dan seni pertukangan MELAYU silam yang sekian lama seolah-olah dilupakan oleh penguasa atau perancang apabila setiap masjid ini didirikan.
Keseluruhan bangunan masjid Ulul Albab dilapisi dinding janda berhias manakala 12 pintu utama ruang solat dihiasi corak awan larat. Terdapat ukiran ayat suci Al-Quran dan doa di pintu utama masjid tersebut iaitu doa keluar dan masuk masjid. Menurut arkitek yang mereka Masjid Ulul Albab, beliau berasa gembira kerana membenarkan masjid sebegini muncul, apatah lagi ia bersesuaian dengan keadaan setempat kerana di sini masih merupakan lubuk para pengukir dan tukang MELAYU yang terus mewarisi kemahiran dan kecintaan. Beliau juga menyifatkan ia permulaan kepada menyuburkan senibina Islam.
Masjid Ulul Albab ini mempunyai tiga tingkat, tingkat bawah masjid dijadikan dewan manakala tingkat kedua adalah ruang solat serta tingkat ketiga berfungsi sebagai perpustakaan. Turut dibangunkan dua tempat berwuduk dan tandas untuk kemudahan jemaah atau orang yang berkunjung di masjid tersebut.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment