Monday, January 25, 2010

LAGENDA DRAMA PERSILATAN

Seni silat diangkat dalam dunia lakonan pada tahun 90an dan kembali diangkat pada tahun 2019 melalui filem Geran. Dua drama bersiri yang memaparkan aksi seni silat keMELAYUan sejati yang disiarkan pada awal tahun 90an. Dua drama bersiri ini sangat popular dan digemari oleh peminat siri TV pada masa itu. 

Tentunya batang tubuh pelakon yang popular dengan seni silat, iaitu Eman Manan menjadi tumpuan. Seni silat yang beliau paparkan dalam kedua-dua drama ini sangat real dan hebat. Tambahan pula dengan kewibawaan beliau sebagai pelakon yang berbakat, menjadikan wataknya sebagai seorang Pendekar MELAYU yang dikagumi dibawa dengan cemerlang dan berkesan.

Selain itu, kedua-dua drama bersiri dunia persilatan ini juga dibarisi dengan para pelakon yang berbakat dan mahir dalam seni silat. Antaranya ialah Zambri Othman, Ebby Yus, Ruzaidi Abdul Rahman, Razak Mahat, Fathil Dani dan Halim Rahim. Keris Hitam Bersepuh Emas dan Pendekar Kundur menjadi drama lagenda yang akan sentiasa diingati bagi peminat drama aksi. 

Hari ini dapat kita saksikan kembali dunia persilatan diangkat sekali lagi melalui FILM GERAN yang menjadi tumpuan dan Fenomena di bawah arahan Areel Abu Bakar, Tambahan pula barisan pelakon terdiri daripada anak-anak Pengasas dan Guru Utama Seni Silat Pusaka Gayong Cikgu Abdul Majid Mat Isa iaitu Khoharullah (Lekiu Qohar) yang memegang watak utama sebagai Ali dan dimantapkan lagi dengan pelakon yang memang terkenal dan lagenda iaitu Namron dan seorang lagi anak silat, Ana Ugik yang begitu luar biasa bakat lakonannya iaitu Azlan Komeng serta beberapa orang lagi pelakon terkenal Ariel Zafril dan Taiyuddin Bakar. (Tertinggal pulak Adik si Ali, Fatimah dan Mat arip ataupun nama sebenarnya Hayati Ahmad dan Fad anuar) Depa punya penjiwaan dan lakonan serta stunt pun mantap baq hang. Lagi 1 kalau nak tahu si Fad anuar tu sebenarnya anak saudara kepada Eman manan).

Film ini fully menggunakan Bahasa MELAYU kedah, Memaparkan Ali dan Fatimah dari satu keluarga petani dan pesilat Gayong berasa amat marah dan kesal apabila adik bongsu mereka, Mat Arip, yang terlibat dalam lumba kereta haram dan berjudi, kini lari dengan geran tanah pusaka rumah mereka. Mat Arip telah mencagarkan geran tanah ayah mereka kepada ahlong Haji Daud. Haji Daud pula ialah musuh Pak Nayan dalam silat dan mengugut keluarga mereka. Untuk menjaga nama dan tanah rumah mereka, mereka perlu mencarikan adik supaya tanah mereka tidak diggadai dan membawa adik pulang ke pangkuan ayah mereka.

Antara elemen penting dalam filem Geran adalah adegan aksinya. Secara jujurnya, anda akan terasa cukup puas melihat segala adegan aksi filem, terutamanya apabila menginjak dibahagian pertengahan filem. Antara babak yang harus anda beri perhatian adalah pertarungan watak Fatimah dengan penjahat. Bukan senang hendak melihat seorang gadis MELAYU yang cukup ayu membelasah penjahat sehingga lunyai. Begitu juga ‘final fight’, anda akan terasa aura filem Merantau atau Ong Bak dalam filem ini dimana watak utama iaitu Ali perlu berhadapan dengan puluhan lawannya. Oh ya! segala adegan aksi dalam filem ini dibuat tanpa bantuan CGI dan tidak menggunakan ‘stuntman’, jadi aksinya memang ‘pure’!!!

Walaupun dihasilkan dengan modal yang cukup terhad, tanpa dana dari mana-mana pihak, Geran masih mampu memberikan sebuah karya yang cukup berkualiti, baik dari segi penceritaan, lakonan dan kualiti teknikal filem. Meskipun terdapat kekurangan pada sesetengah bahagian filem, terutamanya dari aspek teknikal, pujian harus kepada pasukan produksi dan barisan kreatif filem ini kerana mampu menutup kelemahan dengan memberikan sebuah filem yang peminat mahukan selama ini, serta sebuah naskah yang cukup berkualiti.

So korang tunggu apa lagi, Pergi pakat pakat bawak mak pak bini pak sedara mak sedara tok nenek anak menakan tengok Film GERAN ini di Panggung Wayang Tempat Masing-masing. Film ini baru ditayangkan pada 5 hari lepas iaitu pada 10.10.2019, So masih sempat lagi nak tengok, Yang dah tengok pun apa salahnya pi repeat lagi sekali Hahaha. Support Film Persilatan Tanah air kita terutamanya para pesilat dari 300 lebih persatuan ataupun perguruan yang ada di Malaysia, Jom kita sama-sama Memartabatkan Seni Bela Diri Nusantara iaitu SILAT. 

PUSAKA KITA, MARUAH KITA

Terima kasih Dato Panglima Megat Ainuddin kerana ingatkan seorang lagi Lagenda atauOtai dunia persilatan dalam film Syahadat (Kalau tak silap Tahun 1992) Gandingan mantap Eman manan iaitu Yusof Wahab atau nama sebenarnya Yusuf bin Sheikh Abdul Wahab. Beliau seorang pelakon antagonis yang begitu terkenal pada Tahun 80-90an, Bila ingat kembali lakonan beliau dalam Syahadat.

Beliau sememangnya seorang pelakon yang sangat berbakat apatah lagi dalam seni persilatan, Antara film lakonan beliau yang saya paling ingati, Syahadat, Anak Sarawak, Sumpahan Mahsuri Dan matinya Seorang patriotik. Alhamdulillah beliau masih sihat walafiat sehingga hari ini. Saya sarankan korang cuba tengok lakonan beliau dalam “Syahadat” kat Youtube ada. Saya jamin korang takkan menyesal.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment