Thursday, January 21, 2010

PERANG KEDAH

Dari pengalaman di Pulau Songsong dan di Pulau Bunting, Tunku Muhamad Saad telah mengkaji semula kedudukan angkatan perangnya. Akhirnya Tunku Muhamad Saad mendapat persetujuan dari Dato’ Muhamad Ali Datok Setia Segera, Panglima Muhamad Taib Hitam dan lain-lain panglima kanan supaya angkatan perang kali ini dibahagi kepada empat pasukan.

Pasukan pertama ialah pasukan penyerang yang terdiri dari pejuang-pejuang handalan-pahlawan dan panglima-panglima yang tahan di pahat biji mata dan boleh menangkap peluru yang terbang dengan tapak tangan. Ketua pasukan ini ialah Tunku Muhamad Saad sendiri. Matlamat pasukan ini ialah menduduki Kota Sanggora.

Pasukan kedua dikepalai oleh Dato’ Muhamad Ali. Matlamat pasukan ini ialah menyerang Negeri Terang, Negeri Krabi dan Pulau Panjang yang letak bertentangan dengan Negeri Pangnga. Angkatan ini akan bergerak dari laut dan darat. Serentak menuju ke utara. Pasukan-pasukan kedua ini mengandungi sekumpulan pahlawan-pahlawan yang digelar “Puak Tulang Besi”.

Kumpulan ketiga terdiri dari orang-orang Kedah dan orang-orang Pattani yang mempunyai sasaran membebaskan Negeri Pattani dengan apa jalan dan cara sekalipun. Angkatan ini diketuai oleh seorang putera Pattani yang tidak lagi diketahui namanya.

Kumpulan keempat diketuai oleh Tunku Muhamad Akib ditugaskan menjadi angkatan simpanan yang setia. Selepas menduduki Kota Kuala Kedah dan mengawal ketenteraman seluruh negeri, mereka akan diminta membantu mana-mana pasukan yang belum selesai dengan matlamatnya.

Detik untuk melancarkan serangan ditetapkan oleh pahlawan yang tua-tua yang kebetulan telah berada di Temasya Tambun, Bangkok semasa Maharaja Siam membakar jasad seorang Maharaninya. Pada masa ini semua gabenor-gabenor wilayah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan berkumpul di Bangkok menghormati Maharani yang akan di hantar ke menuju ke alam baqa. Masa itulah Tunku Muhamad Saad sampai di Hatyai dan Dato’ Muhamad Ali sampai di Puket.

Dalam bulan Muharram tahun itu turun dari Mekah seorang ulama yang terkenal bernama Sayyid Abdus Al-Samad iaitu anak kepada Syeikh Abdur Rahman Al-Jawi yang menjadi guru kepada Sultan. Syeikh Abdul Samad bernaung di Mekah sejak kecil lagi dengan saudaranya yang menjadi mufti di Kedah iaitu Syeikh Abdul Kadir Dato’ Maharaja Kadi. 

Mereka berdua berlainan ibu. Syeikh Abdul Kadir ibunya orang Kedah manakal Syeikh Abdul Samad ibunya orang Palembang, maka dikenali beliau sebagai Syeikh Abdul Samad al-Falembani. Kedua-dua orang Syeikh ini telah turut berjuang berganding bahu dengan Tunku Muhamad Saad dan memberi perangsang serta galakan yang besar kepada kejayaan perjuangan merebut negeri Kedah kali ini.

Angkatan perang Kedah menuju ke utara dari tiga hala serentak dan telah berjaya melumpuhkan pertahanan Siam di mana-mana mereka pergi. Negeri Pattani telah berubah tangan ke tangan orang-orang MELAYU semula. Terang dan Pulau Phuket telah diduduki oleh Dato’ Muhamad Ali, dan beliau mara ke timur bagi membantu Tunku Muhamad Saad yang telah berjaya menawan Hatyai lalu bergerak ke utara bagi menduduki Sanggora.

Kuala Kedah dengan diambil oleh kumpulan keempat dengan perjuangan yang agak berlaku di Alor Ganu selama beberapa waktu. Phya Buri Seknutun yang bertahan di Alor Ganu telah berundur ke Petalung dengan beberapa baki sisa tenteranya. Negeri Kedah telah bebas semula dan Kota Kuala Kedah telah diduduki oleh orang-orang MELAYU. Penghulu Kota dilantik dengan serta merta dan penghulu kali ini ialah Syed Hussein.

Dalam perjalanan ke utara, angkatan perang Tunku Muhamad Saad sampai ke hutan belantara, yang asalnya adalah sebuah kampung dan sawah. Perkampungan itu berada di pinggir-pinggir bukit dan di tempat-tempat yang terpencil di lurah-lurah pergunungan. Di sanalah mereka menanam pokok-pokok durian dan lain-lain pokok buah-buahan sehingga hasilnya masih kelihatan namun tanpa penghuni. 

Ramai hulubalang-hulubalang yang menitiskan air mata melihat suasana ini, perkampungan tinggal dengan hasil yang masih banyak belum dimanfaatkan. Manisan madu lebah menitik dari sarangnya membanjiri perdu tualang. Tiada lagi orang yang memungut madu. Inilah kesan dan akibat daripada peperangan. Angkatan perang yang berjalan kaki ini sampai di Kuala Perlis dan Kuala Sanglang kemudian menuju ke Bukit Kayu Hitam dan terus ke Hatyai. Dari sini mereka mara sehingga ke Sanggora dan Pattani.

Kapal-kapal orang MELAYU pada masa itu tidaklah besar seperti kapal-kapal sekarang. Kapal-kapal MELAYU hanya memakai layar ataupun dayung. Jenis yang agak besarnya ialah jong, pilang, pusta atau galis. Diantara yang banyak-banyak itu terdapat sebuah yang amat besar, sagurnya berlapis-lapis dan boleh dibuat benteng perisai daripada ditembak. Kapal inilah yang menjadi kenaikan Dato’ Muhamad Ali.

Diantara pejuang-pejuang yang melibatkan diri menyerang Terang dan Pulau Puket dari tangan Thai ialah orang-orang Illanun dan beberapa orang Balanini dari Selatan Filipina-Burnei. Orang Illanun dan Balanini ini cekal dan berani menghadapi musuh dan tidak mudah meninggalkan perjuangan yang belum selesai. Mereka memilih mati dari menjadi tawanan perang atau hamba abdi orang.

Pada satu masa perahu-perahu mereka telah ditembak oleh sebuah kapal perang Inggeris hingga berkecai didalam laut. Mereka tidak rela dipungut-pungut oleh kapal tersebut supaya diselamatkan. Mereka lebih rela mati dari hidup tidak bermaruah.

Orang-orang Illanun dan Balanini ini gempal tetapi pendek tubuhnya, berambut panjang menjijak bahu, berlilit kepala, berseluar ketat tetapi pantang berbaju. Tulang pipinya tinggi, hidung penyet, mata merah dan mulut pun merah juga sebab kuat makan sirih.

Perahu mereka ialah bangsa perahu panjang- ada yang sehingga sembilan puluh lima kaki dari haluan ke buritan, didayung oleh sembilan puluh orang pendayung, empat puluh lima orang sebelah. Jika keadaan memaksa, mereka mendayung siang dan malam tanpa henti dan akan menggosok mata yang mengantuk dengan daun lada pedas supaya tidak terlena. Lela lentaka ataurentaka dan meriam kecil menghiasi kiri dan kanan perahu mereka. Orang-orang laut ini sangat pandai menggunakan lela, istanggar dan meriam perang dengan tepat keatas perahu-perahu musuh.

Perahu-perahu MELAYU didalam angkatan ini terdiri dari perahu-perahu nelayan yang biasa, bermacam-macam jenis dan saiz. Tetapi tidaklah kurang handalnya merempuh laut yang luas dan dapat pula yang memudik anak-anak sungai yang sempit serta bergerak dengan senyap-senyap dicelah pokok-pokok nipah dan hutan api-api. Perahu-perahu MELAYU amat senang menyelit-nyelit dicelah-celah batu dan diantara pulau-pulau yang bergugus di Nusantara ini.

Angkatan laut beginilah yang telah berjaya mengusir Siam dari Negeri Kedah.

Bagi menandakan kejayaan Tunku Muhamad Saad dalam perjuangan ini, Syeikh Abdul Shamad al-Falimbani telah mengarang serangkap syair dalam Bahasa Arab yang diabadikan diatas sekeping kain sutera merah, dan disimpan oleh anak cucu Dato’ Muhamad Ali Setia Segera turun temurun di Pulau Langkawi. Syair ini memuji-muji Tuhan Semesta Alam yang menganugerahkan kejayaan cemerlang kepada pimpinan Tunku Muhammad Saad:-

Putera bukan sebarang putera
Putera Raja Sultan Pilihan
Negeri Kedah telah berjaya
Mengecap nikmat anugerah Tuhan
Ugama Islam bergerak semula
Begitu lama dalam tekanan

Penyatuan tonggak kekuatan, Kedah tidak mampu memerangi sendiri Siam tanpa mendapatkan bantuan daripada saudara-saudaranya. Dan keutuhan satu-satu negeri itu tergantung pada kesatuan hati rakyat dalam mentaati pemimpin dan cintakam tanah air.."

Wahai Sekalian saudaraku. Ingat, tanpa jasa saudara kita yang lain daripada Aceh, Pattani, Borneo, Sulu, Jawa dan Sulawesi. Nenek moyang kita tidak mampu mempertahankan Negeri MELAYU yang terakhir ni, yang jatuh di tangan British. Kekalkan tradisi budaya kita, ramah mesra pada tetamu.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment