Thursday, January 21, 2010

AL-KISAH FILEM 6 JAHANAM

Kata Guru Haji Abdul Sani, “Saya berasa terhutang budi pada Allahyarham Tan Sri P Ramlee kerana memperkenalkan tekpi dalam filem. Ramai yang mengkritik Allahyarham ketika itu hingga ada yang mencemuh P Ramlee akan hanyut dengan 6 Jahanam.

“Di sebaliknya, ramai tidak tahu melalui 6 Jahanam P Ramlee menyedarkan orang MELAYU betapa ada lagi pusaka bangsa yang harus dibangga dan digeruni musuh iaitu senjata tekpi,"
. 
Perkenalan Cikgu Sani dengan P Ramlee terjalin di Singapura sekitar usianya 25 tahun. Ketika itu Cikgu Sani dihantar ke sana untuk menjalani Kursus Risikan Tentera di Port Canning selama setahun. “Bila hari cuti, saya ambil peluang berjalan-jalan di Studio Jalan Ampas, maklum saja orang bujang. Di sinilah saya mula mengenali P Ramlee dan beliau tahu keturunan saya ahli dalam tekpi.

“Ini yang dikata takdir Allah, apabila P Ramlee berpindah ke Kuala Lumpur bertugas di Merdeka Studio, Hulu Klang, saya pula bertugas di Mindef Bahagian Risikan. Kami kerap berjumpa di Setapak.

“Dalam berbual-bual kosong itulah, tiba-tiba P Ramlee berkata lazimnya dalam filem MELAYU pendekarnya asyik main keris, pedang atau parang, lalu terlintas di fikiran beliau mengenai tekpi.

“Allahyarham yang saya panggil abang bertanya boleh atau tidak mengajarkannya bermain tekpi jika difilemkan? Ibarat kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan, saya jawab, mengapa tidak,” katanya.

Menurut cikgu Sani, keluhuran budi P Ramlee itu memudahkannya menerima ilmu yang diperturunkan. Cikgu Sani mengambil masa sebulan mengajar P Ramlee cara menangkis dengan menggunakan tekpi.

Sekalipun cuma satu saja filem MELAYU menampilkan tekpi, cikgu Sani bersyukur seni silat itu sempat diperkenalkan oleh Seniman Agung. Berbeza pula dengan seniman Allahyarham A Rahim, sekalipun hasrat beliau memfilemkan tekpi tidak kesampaian, tetapi beliau sempat berguru dengan cikgu Sani.

“Selepas P Ramlee tiada, A Rahim mula berguru dengan saya ketika di Ampang Jaya. Allahyarham mencapai tali pinggang merah bermakna boleh menjadi guru. Malah melalui majalah Pendekar (Mac 1991), A Rahim dicatat sebagai jurulatih veteran perguruan Seni Silat Kuntau Tekpi,” katanya.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment