Friday, January 22, 2010

DINAMIKA KESULTANAN PAHANG MODEN

YANG di-Pertuan Agung ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang di­tabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 mewarisi dinamika ‘Kesulta­nan Pahang Moden’ yang kini sudah berusia 135 tahun.

Baginda merupakan Sultan Pahang ke-6 meneruskan legasi tradisi Kesultanan Pahang yang diasaskan oleh Almarhum Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah ibni Almarhum Raja Bendahara Seri Wak Raja Tun Ali yang menaiki takhta di Istana Kota, Pekan Lama pada 1884 selepas mengalahkan abangnya, Wan Mutahir dalam ‘Perang Saudara’ yang berlarutan kira-kira enam tahun.

Anthony Milner dalam buku ‘Kerajaan: Budaya Politik Me­layu di Ambang Pemerintahan Kolonial’, Edisi Kedua (2016) menyatakan, Sultan Ahmad I, Sultan Pahang pertama ketika dilahirkan telah diramalkan dalam Hikayat Pahang bahawa “anak ini, Ahmad pada suatu masa nanti akan memperoleh daulat, suatu kuasa kesaktian yang hanya dimiliki oleh raja-raja sahaja!”. Baginda juga digambarkan oleh Hikayat Pahang sebagai seorang raja yang pemurah lagi dermawan yang tiada tolok bandingnya.

“Apabila berperang dengan Wan Mutahir, selepas kematian ayahanda mereka, Ahmad melawat Terengganu di mana ‘tingkah lakunya yang sangat elok’, ‘halus dan manis dalam berbicara’ dan ‘lemah lembut perangai­nya’ itu telah menambat kasih sayang dan sokongan orang kepada beliau.

“Kemudiannya, hubu­ngan Ahmad dengan pengikut-pengikutnya sekali lagi dihuraikan baginda ‘pandai mengambil hati’ dan ‘berbicara dengan manis kepada semua pengiring dan hamba sahayanya’ dan hasil daripada itu semua yang bekerja untuk baginda dengan rela hati sanggup mati demi baginda tanpa sedikit keraguan pun” (Anthony Milner 2016: 89).

Milner menyimpulkan bahawa populariti Ahmad sebagai seorang Sultan Pahang moden yang hebat banyak didorong oleh kesopanan dan lemah lembut tingkah laku baginda semasa bersama pengikutnya sehingga mencapai kemenangan besar dalam Perang Saudara di Pahang.

“Hikayat Pahang memberitahu kita bahawa Ahmad memberi hadiah berupa pakai­an kepada mereka yang menyertai baginda dan baginda menjamu mereka makanan dan juga kuih-muih serta ma­nisan. Setelah baginda memenangi Perang Pahang tersebut baginda seringkali digambarkan mengurniakan persalinan pakaian dan memberikan jamuan makanan serta minuman kepada orang besar dan pegawai-pegawainya” (Anthony Milner 2016: 95).

Milner menyatakan, apabila Ahmad sudah memenangi Perang Saudara tersebut, sebuah istana telah dibina dan setiap orang besar duduk di balai menghadap (balairung seri) dan pegawai-pegawai diminta menyampaikan permasalahan rakyat untuk tindakan baginda.

Hikayat Pahang menca­tatkan, sifat ‘kepemurahan’ atau ‘kedermawan’ Sultan Ahmad jelas tergambar apabila dalam masa kebuluran (kemelesetan ekonomi), ba­ginda memberi beras kepada rakyat sebagai balasan di atas ketaatan dan kesetiaan yang tidak ber­belah bahagi mereka kepada baginda.

Menurut buku The Palace of Pahang (Istana Pahang) oleh Halim Ibrahim dan Norhasni Zainal Abiddin (2017), Sultan Ahmad yang mangkat pada 1914 digantikan pula oleh Sultan Mahmud ibni Almarhum Sultan Ahmad Muazzam Shah yang diisytiharkan sebagai Sultan Pahang ke-2 pada tahun tersebut.

Pada 1906, kerajaan Se­langor membayar pampasan terakhir kepada Pahang kerana Pahang membantu Selangor dalam Perang Saudara di Ke­lang sejak 1872. Hasil daripada bayaran tersebut Tengku Besar Mahmud ibni Almarhum Sultan Ahmad Muazzam Shah telah membina sebuah istana iaitu Istana Seri Terentang sebelum ditabalkan sebagai Sultan Pahang ke-II pada 1914.

“Konsep istana ini begitu unik kerana sesiapa yang masuk ke dalamnya tidak akan terjumpa jalan keluar. Selepas kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud dalam tahun 1917, adinda Almarhum iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Sultan Abdullah Mu’tassim Billah (Sultan Pahang ke-III) turut bersemayam di istana ini (Halim Ibrahim dan Norhasni Zainal Abiddin 2017: 353).

Malah, Sultan Pahang ke-IV, Sultan Abu Bakar turut bersemayam di Istana Seri Teren­tang sejak menjadi Sultan Pahang pada 1932 dan kemudiannya berpindah ke Istana Kota Beram (kini Muzium Sultan Abdu Bakar) setelah Istana Seri Terentang dirobohkan pada 1950-an.
Menurut majalah Mastika edisi Jun 1974, Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang ke-4 bersemayam di atas takhta singgahsana selama 42 tahun.

“Dan satu rahsia yang tidak banyak diketahui orang termasuk sebahagian rakyat ne­geri Pahang sendiri ialah tentang kebolehan baginda dalam ‘ilmu jampi’ sebagai bomoh yang handal. “Di mana sahaja kampung yang dilawati, Almarhum tidak sunyi daripada menerima penghadapan rakyat yang memohon dijampikan limau, kemenyan atau memohon dikabulkan sesuatu hajat” (Mastika Jun 1974: 47).

Kegemilangan Kesultanan Pahang diteruskan apabila Sultan Ahmad Shah naik takhta pada 1975. Baginda merupakan Sultan Pahang pertama yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada 1980. Anakanda baginda, Al-Sultan Abdullah turut mencipta sejarah apabila turut ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. 

DAULAT TUANKU!

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment