Tuesday, January 15, 2013

BERGANTUNG HARAPLAH HANYA KEPADA ALLAH

Ada satu kisah yang ingin saya kongsikan, Diceritakan bahawa dahulu terdapat seorang ulama yang begitu alim, abid dan sentiasa dahagakan ilmu Allah. 

Perasaan jahil ilmu yang ada pada dirinya menyebabkan saban hari dia sentiasa berulang-alik ke mana-mana tempat yang ada majlis ilmu untuk menuntut ilmu agama dari para Wali, ulama dan para ilmuwan islam. Begitulah rutin hariannya setiap hari yang mencari ilmu. 

Suatu hari Allah mengujinya dengan satu Ujian yang tidak disangkanya dan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Di dalam perjalanannya ke masjid , dia telah bertemu dengan seorang wanita cantik dan wanita itu memanggilnya.

“Wahai saudara, saya ingin meminta pertolongan dari kamu. Saya ingin mengangkat barang di rumah saya tetapi kudrat saya tidak mampu untuk mengangkat barang itu. Jadi, saya ingin meminta pertolongan kamu. Sudikah kamu menolong saya?” kata wanita itu.

Ulama itu menjawab "InsyaAllah”

Lalu wanita itu membawa dia ke rumahnya. Apabila sampai ke rumahnya, wanita itu mempelawanya masuk dan pintu itu cepat-cepat di tutup dan dikunci, kemudian wanita itu menyelitkan kunci rumahnya di dalam dadanya. 

“Sebenarnya tiada barang yang perlu diangkat. Kamu hanya perlu mengangkat saya. Marilah kita bersetubuh, hanya kita berdua di rumah ini.” Goda wanita itu.

Wanita itu mula menanggalkan pakaiannya dan berkata lagi , "Marilah berzina denganku. Di rumah ini hanya kita sahaja. Kau setubuhilah aku kemudian kau pulang ke rumahmu dan  bertaubat. Allah itu kan Maha pengampun dan penerima taubat”.

Ulama itu terpinga-pinga dan hanya memalingkan pandangannya dari wanita cantik yang separuh bogel dihadapannya. Bagaimana aku ingin keluar dari rumah ini bisik hatinya. Di dalam hatinya berdoa, “Ya Allah andai Engkau menerima ibadahku selama 80 tahun ini, aku Mohon selamatkanlah aku dari dosa ini Ya Allah.”

Tiba-tiba dia terdengar suara ghaib berkata, “Wahai abid, andai dikau ingin selamat dari wanita ini pergilah dikau ke tandas rumahnya” Dia yakin itu adalah bantuan dari Allah! Lalu dia membuat helah dan berkata pada wanita itu, “Baiklah aku akan berzina denganmu tetapi, izinkan untukku pergi ke tandas untuk melepaskan hajatku”. “Silakan.” Kata wanita itu. 

Lalu setelah ia masuk ke tandas, dia masih terpinga-pinga apa yang harus dia lakukan di dalam tandas, dia pun berdoa lagi di dalam hatinya “Ya Allah andai Engkau menerima ibadahku selama 80 tahun ini, Kau selamatkanlah aku dari dosa ini Ya Allah”. Tiba-tiba suara ghaib itu menyapa lagi, “Wahai abid, jika kamu ingin selamat dari wanita itu, ambillah najis (tahi) yang ada di lubang tandas itu dan lumurkanlah ke seluruh badanmu dan kembalilah dikau kepada wanita itu”. 

Lalu dia pun mengambil tahi itu dan melumurkan ke badannya. Kemudian dia keluar dari tandas dan terus berjumpa dengan wanita yang menunggunya tadi. “Ish, busuknya, lelaki apa kau ini? Aku mengajakmu untuk menyetubuhi aku tetapi mengapa kau lumurkan najis di seluruh badan mu?” Soal wanita itu sambil menutup hidungnya. “Keluar kau dari sini!” Kata wanita itu lagi.

Setelah dia keluar , dia pun mencari anak sungai yang terdekat untuk menyucikan dirinya kemudian dia terus ke masjid untuk meneruskan pengajiannya.

Setelah dia sampai di masji, dia pun duduk di barisan yang paling hujung dan belakang untuk mendengarkan ilmu yang disampaikan oleh seorang ulama. Sedang asyik ulama itu menyampaikan syarahannya kepada anak-anak muridnya. Tiba-tiba Tuan Guru itu memberhentikan syarahannya. Dia bagai menghidu sesuatu bau yang menarik perhatian hidungnya. Kemudian dia bertanya kepada semua anak muridnya. “Sesiapa yang di antara kamu yang berbau?” Soalan ini diulang beberapa kali oleh Tuan Guru itu.

“Akulah insan yang berbau itu” bisiknya di dalam hati. Dia tidak mampu untuk mengangkat tangan kerana fikirnya dia telah melumuri badannya dengan najis sebentar tadi. “Baiklah, jika tiada siapa yang ingin mengaku akanku hidu kamu seorang demi seorang” Kata Tuan Guru itu.

Dia bingkas bangun dan menghidu seorang demi seorang anak muridnya namun masih tiada dia jumpa sehinggalah sampai kepadanya. Dia menghidu lalu bertanya, “Wahai Abid, di manakah kamu perolehi bau ini?” Soalan itu ditanya berulang kali.

Akhirnya dia menceritakan apa yang terjadi dan menyatakan bahawa dia telah melumurkan najis dibadannya untuk selamatkan diri dari zina, kemudian dia membersihkan dirinya di sebatang anak sungai. Tuan guru itu begitu terkejut mendengarnya dan berkata, “Ketahuilah olehmu wahai abid bau yang aku hidu bukanlah bau busuk tetapi bau wangi, bau ini sama dengan bau wangian para nabi dan rasul. Kamu sudah memperolehnya wahai kekasih Allah. Kata Tuan Guru itu yang juga merupakan seorang Wali Allah. “Wahai abid, mulai dari sekarang kaulah yang layak mengajar di tempat ini” Ujar Tuan Guru itu sambil memeluknya.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment