Ada satu kisah Khalifah Harun Ar-Rasyid yang sedang menunggang kuda telah terserempak dengan si Bahlul ketika di perjalanan. Bahlul yang dianggap gila itu kebetulan sedang duduk termenung di atas kuburan.
Khalifah Harun pun mendekatinya dan berkata, "Hai Bahlul orang gila. Bila lah kau nak sembuh dan berfikir dengan waras?”
Bila si bahlul mendengar Khalifah harun berkata sedemikian, dia terus lari dan panjat atas pokok. Lalu ia menjerit dan berkata “Hai Harun, hai orang gila. Bila kau nak sembuh dan berfikir dengan waras?”.
Kemudian Khalifah Harun pun mendekatinya ke bawah pokok tempat si bahlul naik, Lalu Ia berkata pada Bahlul, “Aku yang gila atau kamu yang gila duduk di atas kubur itu sambil termenung”.
“Kamu yang gila” kata si Bahlul .
“Mengapa pula aku yang gila?” jawab Khalifah Harun.
“Kerana aku tahu, bahwa itu (sambil menunjuk ke arah istana Khalifah Harun) tidak kekal dan ini (sambil menunjuk ke arah kuburan) akan abadi. Dan aku pun membuat kubur ini sebelum masuk ke situ. Sedangkan kamu hanya membangunkan istana dan merobohkan (melupakan) kubur mu. Kau lebih memilih istanamu daripada kubur mu, padahal mahu atau tidak kubur adalah tempat kau masuk kelak. Sekarang katakan padaku, siapa sebenarnya yang gila, aku atau kamu?" Kata si Bahlul.
Jawaban cerdik si Bahlul itu pun membuat hati Khalifah Harun tersentap. Ia mulai menyedari kesalahannya yang terlalu sibuk memikirkan istana dan melupakan kubur (mati) . Lalu ia pun menangis sehingga janggutnya basah dengan air matanya.
"Demi Allah, kau benar wahai Bahlul, tambahkan lagi nasihatmu padaku wahai Bahlul!" kata Khalifah Harun.
“Cukup dengan Kitab Allah, peganglah erat-erat!” kata si Bahlul.
"Apa kau punya keperluan atau keinginan, aku akan memenuhinya” Kata Khalifah Harun.
Bahlul pun menjawab, “Iya aku punya tiga keinginan, jika kau memenuhinya aku akan sangat berterima kasih padamu”.
“Katakan apa yang kau mahu” jawab si Kahlifah Harun.
“Tambahkan umurku!" kata Bahlul.
“Aku tak boleh” jawab Khalifah Harun.
“Lindungi aku dari malaikat pencabut nyawa!”
"Itu juga aku tak boleh” kata si Khalifah harun.
“Masukkan aku ke dalam syurga dan jauhkan aku dari api neraka!”
"Aku tak boleh” jawab khalifah Harun.
Lalu Bahlul berkata, “Maka itu sedarlah, Kau hanya seorang hamba, bukan raja! Maaf, aku tak punya apa-apa keinginan darimu melainkan dari Tuhanku”.
KISAH 2
Pada suatu ketika Syeikh Junaid Al-Baghdadi keluar ke Kota Baghdad bersama dengan beberapa muridnya, lalu Syeikh Junaid bertanya kepada muridnya apakah mereka kenal si Bahlul.
Muridnya menjawab, “Si Bahlul tu adalah orang gila”.
“Tolong cari dia, aku ada keperluan dengannya.” Kata Syeikh Junaid Al-Baghdadi.
Murid-muridnya lalu mencari si Bahlul dan bertemu dengannya di gurun. Mereka lalu menghantar guru mereka Syeikh Junaid ke tempat si bahlul. Ketika Syekh Junaid mendekati si Bahlul, beliau melihat si Bahlul sedang gelisah sambil menyandarkan kepalanya ke tembok. Syeikh Junaid kemudian memberikan salam dan si Bahlul menjawab salam dan bertanya kepadanya, “Siapakah engkau?”
“Aku adalah Junaid Al Baghdadi” kata Syeikh Junaid.
“Apakah engkau si Abul Qasim?” Tanya Bahlul.
“Ya” Jawab Syeikh Junaid.
“Apakah engkau Syeikh Baghdadi yang memberikan petunjuk rohani kepada ramai orang?” Tanya si Bahlul.
“Ya” jawab Syeikh Junaid.
“Apakah engkau tahu bagaimana cara makan?” Tanya Bahlul.
Syeikh Junaid lalu menjawab, “Aku mengucapkan Bismillah, aku makan yang ada di hadapanku, aku menggigitnya sedikit, meletakkannya di sisi kanan dalam mulutku dan perlahan mengunyahnya, aku tidak menatap suapan berikutnya, aku mengingat Allah sambil makan, apapun yang aku makan aku ucapkan Alhamdulillah, aku cuci tanganku sebelum dan sesudah makan”.
Bahlul berdiri mengibaskan pakaiannya dan berkata, “Kau ingin menjadi Guru Rohani di dunia tapi kau bahkan tidak tahu bagaimana cara makan.” Sambil berkata demikian ia kemudian berjalan pergi.
Para Murid Syeikh Junaid kemudian berkata, “Wahai Syeikh, Demi Allah dia adalah orang gila, biarkan saja dia pergi."
Syeikh Junaid berkata, “Sesungguhnya dia adalah orang gila yang cerdas dan bijak, bersabarlah dan dengarkan kebenaran darinya”. Si Bahlul berjalan mendekati sebuah bangunan yang telah ditinggalkan lalu kemudiannya ia duduk, Syeikh Junaid pun datang mendekatinya sekali lagi.
Si Bahlul kemudian bertanya “Siapakah engkau?"
“Saya Syeikh Junaid yang tidak tahu bagaimana cara makan.” jawab Syeikh Junaid.
“Engkau tidak tahu bagaimana cara makan, tapi tahukah engkau bagaimana cara berbicara?” Tanya si Bahlul.
“Ya” jawab Syeikh Junaid.
“Bagaimana cara berbicara?” Tanya si Bahlul.
Syeikh Junaid kemudian menjawab, “Aku berbicara tidak kurang tidak lebih dan apa adanya, aku tidak terlalu banyak bicara, aku berbicara agar pendengar dapat mengerti. Aku mengajak orang orang kepada Allah SWT dan Rasulullah S.A.W, aku tidak berbicara terlalu banyak agar orang tidak menjadi bosan, aku memberikan perhatian atas kedalaman pengetahuan zahir dan batin.”
Lalu si Bahlul berkata “Lupakan tentang makan, kerana kau pun tidak tahu bagaimana cara berbicara”. Sekali lagi si Bahlul pun berdiri mengibaskan pakaiannya dan berjalan pergi.
Murid murid Syeikh berkata, “Wahai Syeikh, Syeikh lihat dia adalah orang gila, apa yang Syeikh harapkan dari seorang gila?” Syeikh Junaid menjawab, “Ada sesuatu yang aku perlukan darinya, kalian tidak tahu”.
Syeikh Junaid lalu mengejar Bahlul lagi hingga mendekatinya. Bahlul lalu bertanya, “Apa yang engkau inginkan dariku, kau yang tidak tahu cara makan dan berbicara, apakah kau tahu bagaimana cara tidur?”
“Ya aku tahu” jawab Syeikh Junaid.
“Bagaimana caramu tidur?” tanya Bahlul.
Syeikh Junaid lalu menjawab, “Ketika aku selesai Solat ‘Isyak dan membaca do’a, aku mengenakan pakaian tidurku.” Kemudian Syeikh Junaid menceritakan cara cara tidur sebagaimana yang lazim dikemukakan oleh Para Ahli Agama.
“Ternyata kau juga tidak tahu bagaimana caranya tidur” kata si Bahlul sambil bangkit dari duduknya.
Tapi Syeikh Junaid menahannya dan berkata, “Wahai Bahlul aku tidak tahu. Demi Allah ajarkan padaku"
Bahlul pun berkata, “Sebelumnya engkau mengaku bahawa dirimu berpengetahuan dan berkata bahawa engkau tahu, maka aku menghindarimu. Sekarang setelah engkau mengakui bahawa dirimu kurang berpengetahuan, Maka aku akan mengajarkan padamu. Ketahuilah, apapun yang telah engkau gambarkan itu adalah permasalahan bukan yang utama, kebenaran yang ada di belakang memakan makanan adalah, bahawa kau memakan makanan halal. Jika engkau memakan makanan haram dengan cara seperti yang engkau gambarkan, dengan seratus sikap pun tidak akan bermanafaat bagimu melainkan akan menyebabkan hatimu hitam”.
“Semoga Allah memberimu pahala yang besar” kata Syeikh Junaid.
Bahlul lalu melanjutkan, “Hati harus bersih dan mengandungi niat baik sebelum kau mulai berbicara. Percakapanmu haruslah menyenangkan Allah. Jika itu untuk duniawi dan pekerjaan yang sia-sia maka apapun yang kau nyatakan akan menjadi malapetaka bagimu. Sebab itulah mengapa diam adalah yang terbaik. Dan apapun yang kau katakan tentang tidur, itu juga bernilai tidak utama. Kebenaran darinya adalah hatimu harus terbebas dari permusuhan, kecemburuan dan kebencian. Hatimu tidak boleh tamak akan dunia atau kekayaan di dalamnya. Dan ingatlah Allah ketika akan tidur”.
Syeikh Junaid kemudian mencium tangan Bahlul dan berdo’a untuknya.
MasyaAllah. Dari kisah di atas jangan lah kita semua memandang hina pada sesiapapun waima seorang gila. Janganlah menganggap diri kita lebih baik dan hebat dari orang lain. Sesungguhnya Allah Lebih Maha Mengetahui dan Menyembunyikan para WaliNya.
Siapa sebenarnya SI BAHLUL? Nama sebenar beliau adalah Al- Arifbillah Wahab ibn Amr. Wahab ibn Amr atau Bahlul hidup pada zaman Khalifah Harun Al-Rasyidin yang merupakan adiknya. Sebenarnya asalnya si Bahlul itu terkenal sebagai seorang hakim dan juga ilmuan ISLAM pada zamannya. Dia dikenali atau digelar sebagai Bahlul kerana dia telah meninggalkan kekayaannya dan hidup dengan gaya yang selekeh.
Pada pengamatan saya si Bahlul ini adalah seorang Wali Mazjub, yang menerima kesan yang kuat daripada pengalaman kerohanian yang dinisbahkan kepada suasana ketuhanan. Kesedaran kepada alam maujud dan diri sendiri hilang. Tabiat dan sifat kemanusiaan juga tertanggal. Kesan yang muncul daripada ‘pertembungan’ dengan suasana ketuhanan itu dinamakan jazbah dan orang yang mengalami jazbah dinamakan majzub. Jazbah adalah hal yang dialami oleh hati berhubung dengan aspek ketuhanan yang tidak dapat dicapai oleh akal. Hijab diangkatkan dan mata hati mereka menyaksikan perkara ghaib dan kenyataan tentang Tuhan.
Jazbah merombak keperibadian mereka secara menyeluruh. Mereka menjadi orang yang sangat berlainan daripada keadaan mereka sebelum kedatangan jazbah. Mereka tidak suka bergaul dengan orang ramai. Mereka lebih merasakan kedamaian dan kebahagiaan jika mereka bersendirian dalam keasyikan dengan Allah s.w.t. Apa yang berlaku di sekeliling mereka, baik atau buruk, tidak menarik minat mereka. Kegoncangan yang berlaku dalam masyarakat dan keluarga tidak mampu menarik mereka keluar daripada keasyikan mereka. Mereka hanya gilakan Allah s.w.t. Setiap detik mereka teringatkan Allah s.w.t sahaja. Mereka tidak suka mendengar cerita yang selain Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t dan yang mengenai Allah s.w.t sahaja yang dapat menembusi hati mereka.
Si Bahlul hilang minat kepada makhluk dan kehidupan dunia seluruhnya. Hatinya hanya mencintai Allah s.w.t. Mereka menjadi hamba yang gilakan Allah s.w.t. Apa sahaja yang dipandang membalikkan sesuatu tentang Allah s.w.t. Dalam keasyikan mereka mengalami berbagai-bagai hakikat ketuhanan yang menambahkan pengenalan mereka tentang Tuhan. Puncak kecintaan hamba kepada Allah s.w.t adalah pengalaman Allah Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya. Selepas pengalaman tersebut mereka memasuki suasana baqa dengan Allah s.w.t. Suasana kebaqaan membuat mereka merasakan yang mereka tidak berpisah dengan Allah s.w.t yang mereka cintai, walau di mana mereka berada dan apa juga yang mereka lakukan. Bila suasana demikian sudah menguasai hati mereka baharulah mereka boleh terima kehadiran makhluk kerana pada tahap ini kehadiran makhluk tidak lagi memisahkan mereka dengan Tuhan.
Setiap orang majzub mempunyai jalannya sendiri yang berbeza dengan majzub yang lain. Masing-masing ditarik kepada jalannya oleh ‘kuasa ghaib’ yang diistilahkan sebagai Tarikan Rahmani (ketuhanan), Pembimbing Hakiki ataupun Perintah Batin. Orang majzub menerima Tarikan Rahmani tanpa mereka boleh menahannya. Tarikan tersebut membawa mereka kepada jalan khusus yang Tuhan sediakan untuk mereka. Tarikan tersebut juga mengarahkan mereka melakukan sesuatu perkara tanpa terikat dengan hukum logik. Tarikan yang langsung dari Tuhan itu juga memandu orang majzub sehingga selamat sampai kepada matlamat. Orang yang di dalam keadaan demikian sering mendapat peringatan dari dalam diri mereka sendiri. Peringatan yang demikian dinamakan Suara Hakiki.
Jika timbul cita-cita mereka untuk berhenti tatkala terjadi kasyaf suara dari dalam diri mereka akan memberi peringatan: “Apa yang kamu cari masih jauh di hadapan. Oleh itu jangan berhenti!” Jika terbuka kepada mereka rahsia alam maya, mereka diperingatkan oleh hakikat alam maya: “Sesungguhnya kami adalah ujian, kerana itu janganlah kamu kufur!” Hamba yang dipimpin itu menafikan apa juga yang ditemui di sepanjang jalan. Apa yang mereka saksikan adalah gubahan Tuhan, hikmat kebijaksanaan-Nya dan tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia. Zat Ilahiat tetap tinggal terhijab, tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun. Akhirnya hamba menemui kenyataan bahawa Dia yang sebenarnya mengenali Diri-Nya. Dia yang mencari, Dia yang dicari dan Dia yang menemui. Tidak ada sesiapa yang ikut campur dalam urusan-Nya.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment