Apa yang menyebabkan Chihtu menjadi sebuah kerajaan yang hebat dan penting untuk diketahui adalah kerana legasi yang ditinggalkannya. Legasi yang dimaksudkan adalah ia melahirkan para pemerintah elit Sriwijaya, Sri Dharmaraja, Sailendra dan beberapa lagi buah dinasti yang hebat-hebat. Tambahan lagi sepertimana yang dicatat oleh pengembara China ke kerajaan tersebut, Chihtu adalah sebuah kerajaan yang besar tamadunnya. Ianya bukan sebuah kerajaan orang gasar yang tidak bertamadun dan ketamadunan Chihtu ini menyebabkan teori mengenai kelahiran raja-raja dinasti Funan adalah tepat. Hal ini ditambah lagi apabila catatan dari Dinasti Sui menyebut bahawa Funan diasaskan oleh orang-orang dari Chihtu dan Pan-pan.
Terlalu banyak teori tentang kedudukan kerajaan ini telah dikemukakan. Antaranya di India, Sumatera, Singgora, Vietnam, Kemboja dan semestinya Semenanjung. Teori yang dikemukakan oleh seorang pengkaji China Shen Fuwen pada tahun 2002 adalah diantara teori yang terkini. Namun teori beliau ini sebenarnya adalah pengukuhan kepada teori yang sebelum ini dipelopori oleh Kuwata Rokuro pada tahun 1921 yang meletakkan Chihtu di Semenanjung. Selain itu beliau juga menyatakan dengan jelas bahawa Chihtu adalah pemula bagi Sriwijaya di mana elit-elit Melayu pemerintah Sriwijaya berasal.
Hari ini mari kita mengembara ke Chihtu dan merasai sendiri apa yang dirasai oleh para utusan dari China. Kita akan melihat mengapa China sanggup menghantar utusannya ke sebuah negara asing yang jauh lebih kecil darinya dan apa yang mereka lihat dan menarik perhatian mereka di situ.
Semuanya bermula pada tahun 589 Masihi dimana pada masa ini Dapunta Hiyang Jayanasa yang mengagungkan kerajaan Sriwijaya di Palembang belum wujud lagi. Perlu anda ketahui bahawa kerajaan misteri yang bernama Chihtu ini hanya pernah disebut dalam catatan China sahaja tidak ada dalam catatan tempatan mahupun dari negara luar yang lain. Hal inilah yang menjadikan Chihtu sebuah subjek yang hangat untuk dikaji. Ianya bersifat terlalu misteri bagi saya. Pada tahun yang sama juga kerajaan Dinasti Sui telah berjaya menawan Dinasti Chen di selatan dan buat pertama kalinya dalam 400 tahun berjaya menyatukan semula negara China. Dinasti Sui yang baru naik ini amat komited dengan hubungan antarabangsa dan perdagangan. Pada tahun 607M, Maharaja Dinasti Sui telah menghantar dua orang duta ke kerajaan Chihtu sebagai balasan kepada duta yang dihantar Chihtu sekitar tahun 589M. Rombongan Maharaja Sui telah membawa 5000 jenis hadiah yang berbeza untuk Raja Chih tu dan pada saat ketibaan rombongan ini, mereka dihidangkan dengan pelbagai barangan hasil tempatan sebagai hadiah pembalasan.
Kerajaan Chihtu disebut sebagai sebahagian dari kerajaan Funan, dan terletak di Laut China Selatan dan ianya terletak 100 hari perjalanan melalui laut dari China. Sumber China menyebutkan bahawa nama kerajaan ini berasal dari warna tanahnya yang sebahagian besarnya berwarna merah. Berdasarkan catatan China juga, lokasi Chihtu telah banyak diperdebatkan oleh para sarjana. Namun demikian lokasi yang paling sesuai adalah bahagian pantai timur Semenanjung Malaysia, di sekitar daerah hulu Sungai Kelantan. Selain dari pertimbangan umum, termasuk geografi, iklim dan warna tanah, salah satu alasan utama untuk meletakkan lokasi Chih tu di Hulu Kelantan adalah apabila digambarkan bahawa lokasinya boleh dicapai hanya selepas satu bulan perjalanan ke hulu sungai.
Sungai Kelantan adalah pilihan yang paling sesuai kerana ia merupakan laluan air utama yang dilalui kapal-kapal bersaiz kecil dan sederhana untuk perjalanan lebih kurang 160 kilometer ke arah hulu dan juga sebagai laluan utama ke lombong-lombong emas di Kelantan dan Pahang. Daerah ini dikenali sebagai Ulu Kelantan, telah dihuni selama sekurang-kurangnya 10,000 tahun, sebagaimana dibuktikan dengan jumpaan pengebumian prasejarah di Gua Cha. Penyelidikan dan ekskavasi di Gua Chawas, Ulu Kelantan telah mendedahkan sejumlah besar jumpaan votive tablets Buddha Mahayana yang mungkin berasal dari zaman Sriwijaya. Hal ini menjadikan lokasi Chihtu sebagai salah satu daripada lokasi awal Sriwijaya yang amat sesuai.
Dalam penulisan Tatsuo Hoshino seorang pengkaji dari Jepun beliau menyatakan bahawa sesungguhnya Chihtu mempunyai kaitan rapat dengan Sriwijaya. Beliau membuat kenyataan berikut adalah kerana terdapat catatan dari dinasti Tang yang mengaitkan Chihtu dengan empayar kelautan tersebut. Ensaiklopedia pada zaman Tang sering menyebut Chihtu berserta dengan kerajaan Sriwijaya. Menurut Hoshino, hal ini adalah berkemungkinan disebabkan terdapatnya indikasi bahawa kerajaan Chihtu diasaskan atau diperintah oleh etnik Melayu Cham.
Dalam catatan China mengenai sistem pentadbiran Chihtu ada disebutkan bahawa jika mengikut ranking pembesar Chihtu yang terbawah sekali ianya dipanggil sebagai Pati. Dan menurut Hoshino, Pati adalah satu gelaran khas para pembesar dari kerajaan orang orang Melayu seperti Champa dan Sriwijaya. Selain itu dalam setiap catatan mengenai kedudukan Chihtu ada disebut tentang sebuah pulau dalam bahasa Melayu iaitu Pulau Kas. Namun demikian Hoshino mempunyai pendapat yang berbeza dengan Ceodes dan Pelliot yang mengatakan bahawa Chihtu berada di Semenanjung Tanah Melayu.
Sebaliknya dia percaya bahawa Chihtu berada di sebelah timur delta Mekong di IndoChina berdekatan dengan Kampong Cham sekarang. Namun ini hanyalah salah satu daripada banyak teori-teori yang pernah diutarakan oleh ahli sejarah. Setakat ini semuanya masih samar-samar dan tidak ada satu teori yang dapat memberikan konklusi yang tepat. Apa yang pasti ramai sejarawan tidak bersetuju dengan teori beliau dan mengaggap ianya tidak benar sama sekali. Namun demikian apa yang penting tetang pendapat pengkaji Jepun ini adalah terdapatnya bukti bahawa adanya perkaitan awal diantara Sriwijaya dengan Chihtu dan wujudnya kelas pemerintah Melayu di Chihtu.
Berbalik kepada rombongan dari Sui, semasa rombongan dari China ini sampai di muara sungai untuk ke Chihtu, mereka telah disambut oleh seorang pembesar Brahmin yang bergelar Kumara berserta dengan 30 buah kapal besar yang diiringi dengan bunyi-bunyian dan paluan gendang. Apabila sampai di ibu kota Chihtu, duta China tersebut disambut mesra oleh Raja dan Putera Mahkotanya. Duta China ini telah diarak dengan dua ekor gajah berserta dengan para pengawal yang memegang payungan yang terbuat dari bulu merak bagi menyambut kedatangan tetamu kehormat. Lebih dari seratus orang lelaki dan wanita memainkan alat musik yang terbuat dari cengkerang dan memalukan gendang yang diketuai oleh dua orang Brahmin.
Banyak aspek sosial-politik dan budaya kerajaan Chihtu dijelaskan dalam catatan China hasil daripada kunjungan mereka ini. Menurut sumber tersebut, kerajaan ini diperintah oleh keluarga yang dikenali sebagai Chudan. Raja Chihtu, Li Fo Duo Se, menaiki takhta ketika ayahnya melepaskan takhtanya untuk menyebarkan ajaran Buddha kepada dunia. Pada saat kunjungan utusan Maharaja Sui, Raja Chihtu telah memerintah selama 16 tahun dan mempunyai tiga isteri yang merupakan puteri raja tetangga. Perhatikan nama raja ini, sebutan China ini ada persamaan dengan sebutan sanskrit bagi Sriwijaya.
Istananya dikatakan terletak di hulu Seng Zhi yakni ibu kotanya dan digambarkan mempunyai “tiga gerbang yang terletak lebih dari seratus langkah setiap satu”, dilukis dengan gambar Bodhisattva dan digantung dengan bunga dan loceng. Gerbang ini dikawal oleh empat orang lelaki berpakaian seperti raksasa penjaga gerbang (seperti yang terdapat pada kuil-kuil Buddha di Thailand sekarang). Terdapat juga berpuluh-puluh wanita yang memegang panji-panji dari bunga-bunga emas dan ada juga yang bermain musik. Mereka yang ditempatkan di luar gerbang dilengkapi dengan senjata, manakala yang tinggal di dalam kota memegang kain putih dan jaring putih untuk mengumpul bunga. Istana ini dikatakan mempunyai beberapa pavillion dan tingkat. Menarik bukan budaya orang Melayu pada zaman dahulu. Sekarang cuba anda bayangkan dengan minda anda betapa grand dan cantiknya istana dan kota Chihtu yang berlukis dengan lukisan-lukisan Buddha seperti yang anda boleh lihat di Tibet.
Berdasarkan rekod Dinasti Sui lagi, kekayaan kerajaan Chihtu dapat dilihat ketika rombongan China tiba di sana. Rombongan tersebut terkejut melihat kekayaan yang dimiliki oleh kerajaan Chihtu termasuklah tiga puluh buah kapal besar dan beratus orang hulubalang yang mengawal istana. Chihtu mempunyai satu sistem pemerintahan yang teratur termasuklah pentadbiran di peringkat daerah. Hasil keluaran negeri ini adalah pelbagai antaranya ialah beberapa jenis fabrik berwarna seperti berwarna kuning keemasan, berwarna awan pagi, pelbagai jenis kain kapas berwarna dan lain-lain. Tambahan lagi bumi Chihtu turut mengeluarkan padi, kekacang, bijan hitam, arak tebu, arak kelapa dan banyak lagi yang sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.
Pada hari yang sama Raja telah menghantar anaknya Nayaka untuk melayan utusan dari Sui ini. Beberapa orang suruhan lelaki telah dihantar untuk membawa sedulang emas bunga-bunga wangi, cermin dan peralatan dari emas serta dua balang minyak wangi, lapan gurik air wangian dan empat helaian panjang kain kapas putih dan semua ini hanya untuk mandian para duta. Pada hari yang sama kemudiannya pula Nayaka telah menghantar dua ekor gajah yang membawa beberapa buah payungan terbuat dari bulu merak yang indah serta bunga-bungaan emas dan surat watikah dalam dulang emas sebagai tanda menyambut kedatangan mereka. Setelah selesai semua upacara ini barulah mereka berangkat ke balairung seri. Setelah selesai bertukar watikah di balairung seri, rombongan duta Sui ini diiringi untuk ke kediaman penginapan mereka. Di sini para Brahmin telah dihantar untuk menyajikan makanan kepada mereka. Makanan yang disajikan dikatakan dihidang diatas tikar dari daun yang sebesar 10 kaki persegi.
Mengenai istana Chihtu, dikatakan bahawa kesemua pintu yang terdapat pada bangunan istana adalah menghadap kearah utara. Takhta atau peterana tempat bersemayam raja dibuat berlapis tiga tingkatan yang juga menghadap kearah utara. Setiap hari raja akan bersemayam di takhta tersebut dengan memakai sejenis jubah berwarna merah mawar dan baginda memakai pelbagai kalung dan perhiasan dari emas. Mahkotanya dihiasi dengan pelbagai bunga-bungaan yang terbuat dari emas dan bertatahkan pelbagai hiasan daripada batu-batu permata. Di sisi kanan dan kirinya ada empat orang wanita. Dikatakan juga pengawal yang terdapat di dalam balai tersebut adalah lebih dari seratus orang. Di belakang takhta raja wujud seakan-akan gerbang yang diperbuat daripada lima jenis kayuan wangi yang disepuh dengan emas dan perak, serta dibelakang gerbang tersebut terdapat sebuah disk logam yang berbentuk seperti api yang menyala yang turut diperbuat dari emas yang berkilauan.
Di setiap sisi takhta bertingkat tersebut terdapatnya dua buah cermin dari logam berwarna perak dan di hadapan setiap cermin ini terdapat setempayan emas manakala dihadapan tempayan emas tersebut pula adalah sebuah dupa dengan kemenyan yang dibakar yang juga diperbuat dari emas tulin. Di tingkat bawah sekali peterana diraja tersebut terdapat patung seekor lembu jantan yang diperbuat dari emas dan dilitupi dengan payungan. Terdapat juga pelbagai jenis kipas-kipas berharga di sekeliling peterana atau takhta tersebut. Daripada diskripsi tersebut juga kita boleh dapati bahawa istana atau balairong tersebut adalah besar sehingga boleh memuatkan lebih dari seratus orang Brahmin dan para pembesar serta pengawal yang lain. Dikatakan bahawa para Brahmin duduk bersila menghadap satu sama lain dalam dua barisan di sisi balairong dan terdapat beberapa lapisan pembesar yang mempunyai tugas masing-masing. Kedudukan seperti ini adalah selari dengan kedudukan tempat duduk para pembesar di zaman Melaka yang merupakan warisan Sriwijaya yang dinamakan sebagai Naga-naga. Hal ini berbeza dengan cara duduk para menteri dan bangsawan thai yang duduk dihadapan raja memenuhi ruang balairung.
Para guo ji atau pentadbir tertinggi adalah mereka yang menyusun dan menyenaraikan pegawai-pegawai yang berjawatan dalam pentadbiran raja, mereka ini boleh disamakan dengan pembesar berempat. Ini termasuk mereka yang ditugaskan untuk mengatur urusan politik dan satu lagi untuk menjalankan pentadbiran undang-undang jenayah. Chihtu juga mengawal dan berkuasa terhadap beberapa kerajaan lain di mana pentadbiran dikendalikan oleh mereka yang dilantik oleh raja. Catatan dari utusan Maharaja Sui ini juga menyatakan bahawa adalah menjadi satu adat bagi laki-laki dan perempuan di Chihtu untuk menindik telinga, mengurapi tubuh mereka dengan minyak wangi, dan memakai bunga mawar dan kain berwarna polos.
Para wanitanya memakai sanggul di rambut yang kelihatan terjuntai di bahagian tengkuk. Sanggul seperti ini adalah satu tradisi bagi para wanita Melayu terutama di Semenanjung dan Jawa berbanding sanggul tinggi yang dipakai orang Thai dan Khmer. Namun demikian rakyat harus mendapatkan izin dari raja untuk memakai loket emas yang istimewa, bahkan keluarga kaya juga harus mendapatkan kebenaran kerajaan untuk hak istimewa ini. Upacara pernikahan pula dilakukan pada hari yang difikirkan bertuah dan diberkati mengikut ajaran agama mereka. Keluarga pengantin wanita dirayakan selama lima hari sebelum upacara perkahwinan. Pada hari ketujuh, upacara perkahwinan diselesaikan dan pengantin bersatu. Setelah berkahwin, pasangan itu berpindah ke sebuah rumah yang berasingan. Namun, jika yang berkahwin itu adalah putera bongsu maka ia diwajibkan untuk tinggal bersama ayahnya.
Jika berlakunya kematian sama ada salah satu orang tuanya atau adik-beradiknya, orang yang berkabung akan mencukur kepala mereka dan memakai pakaian yang polos dan terang. Tubuh si mati akan dibakar di atas tempat pembakaran yang diperbuat daripada buluh dan diletakkan di atas sungai dengan tujuan apabila mayat dibakar abunya akan jatuh ke sungai. Upacara pembakaran mayat itu disertai dengan dupa atau kemenyan dan peniupan bunyi-bunyian daripada cangkerang yang berlingkar dan paluan bunyi gendang.
Upacara pembakaran mayat dengan kaedah ini diguna pakai untuk para bangsawan kelas atasan dan juga rakyat jelata, tetapi abu Raja dipelihara dalam botol emas dan disimpan di sebuah kuil. Kepercayaan agama mereka dilaporkan sebagai Buddha, tetapi masyarakat Chihtu lebih mengabdikan diri mereka kepada para Brahman yang menunjukkan bahawa kepercayaan Hindu juga mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat seperti mana amalan pembakaran mayat dilakukan. Hal ini bukanlah perkara yang luar biasa di Asia Tenggara kerana kebanyakan kerajaan disini mengamalkan ajaran Hindu-Buddha.
Makanan utama masyarakat Chih tu adalah nasi dan catatan China ada menyebut semasa majlis keraian dijalankan terhadap rombongan Maharaja Sui, mereka dihidangkan dengan kek atau kuih yang berwarna kuning, merah, putih dan ungu (mungkin prototaip awal kuih lapis?) bersama-sama dengan daging lembu, daging kambing, ikan, penyu dan kerbau pendek. Putera Raja Chih tu Na ya jia atau Nayaka kemudiannya mengiringi rombongan Maharaja Sui kembali ke China dengan membawa hadiah-hadiah berupa barangan hasil keluaran tempatan dan ini termasuklah mahkota emas berbentuk bunga raya dan kapur barus sebagai ufti kepada Maharaja. Hadiah ini sebagai balasan kepada pemberian Maharaja Sui kepada Raja Chih tu dan tanda bermulanya hubungan diplomatik dengan Maharaja China tersebut.
Daripada diskripsi di atas kita dapat bayangkan betapa maju dan mewahnya kerajaan Chihtu. Hal ini menjadi bukti bahawa ketamadunan bangsa Melayu sememangnya telah lama bertapak di Kepulauan Melayu dan tidak dapat disangkal lagi. Adakah dari kerajaan ini Dapunta Hiyang Jayanasa berlayar untuk menawan Palembang dan membentuk Sriwijaya?
No comments:
Post a Comment