Saturday, February 6, 2010

SIAPA SI RAJA HITAM JATUKHAM RAMATHEP?

Jatukham Ramathep, satu nama yang sangat asing bagi kita malah bagi sesiapapun yang tidak mengetahui bahasa thai. Malahan nama ini juga adalah tidak popular di Thailand sebelum tahun 1987. Pada tahun 1987 seorang pegawai polis bersara bernama Phantharak Rajjadej telah mendedahkan rahsia kejayaan beliau menangkap penjenayah dengan mudah dan dapat menyelesaikan kes-kes berat dengan pantas. 

Beliau juga berkata rahsia tersebut juga membuatkan beliau masih kuat dan sihat walaupun sudah lanjut usianya. Beliau mendedahkan bahawa beliau selama ini mengamalkan penyembahan kepada dewa khas Wilayah Nakhon Sithammarath iaitu Jatukham Ramathep. Ada apa dengan Jatukham Ramathep? Mengapa ia begitu istimewa dan dianggap begitu hebat oleh pesara polis tersebut?


Pada tahun 1986 seorang Mejar Jeneral telah menghadiri suatu upacara keagamaan di sebuah kuil di Wilayah Nakhon Sithammarath. Dalam upacara itu seorang perantara roh telah diresapi roh seorang raja pahlawan pada zaman kegemilangan Negara Sri Dharmaraja iaitu Jatukam. Melalui perantara tersebut beliau disuruh mendirikan sebuah tiang tugu untuk kota Nakhon Sithammarath. Namun beliau juga disuruh merujuk kepada seorang tua yang tahu akan ilmu-ilmu khas bagi mendirikan tugu tersebut serta upacara membuatnya. Orang tersebut adalah pesara polis Phantharak Rajjadej. 


Tugu tersebut akhirnya siap dibina pada tahun yang sama dan pada tahun 1987 dengan panduan yang diberikan oleh Phantharak Rajjadej maka sebuah azimat berbentuk bulat dibuat khas yang mempunyai ukiran Jathukam Ramathep diatasnya. Sejak dari peristiwa itu akhirnya nama tersebut menjadi buah mulut seluruh rakyat Thailand dan mereka semua inginkan kesejahteraan dan keselamatan seperti yang telah dikecapi si pesara polis tersebut. Maka berbuyung-buyunglah orang datang kekuil dimana ianya dibuat sehingga harganya melambung tinggi. Sehingga kini harga tertinggi yang pernah dibayar seseorang untuk mendapatkan azimat ini adalah melebihi 1 juta bath.


Namun persoalannya siapakah Jatukham Ramathep ini? Betulkah dia seorang raja kerajaan Negara Sri Dharmaraja? Jika semua persoalan ini benar maka sudah semestinya si raja adalah seorang Javaka atau Melayu! Hal ini kerana Negara Sri Dharmaraja adalah sebuah kerajaan Javaka atau Melayu pada zaman dahulu sebelum ditakluki oleh Sukhotai dan Ayuthiya. Dan kita juga sudah tahu bahawa kerajaan Melayu Segenting Kra ini juga mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan Sriwijaya. Oleh itu kajian ini adalah sangat penting untuk kita. Kita juga akan tahu betapa besarnya impak Sriwijaya dan kekuasaan Thalasocrasinya terhadap orang orang thai sehinggakan mereka sendiri sanggup menyembah seorang raja yang berlainan bangsa dengan mereka.


Banyak versi mengenai siapa sebenarnya Jatukham berlegar di seluruh Thailand. Salah satu daripadanya ialah versi dua dalam satu. Yang dimaksudkan dengan dua dalam satu adalah Jatukam itu sendiri. Sebenarnya menurut lagenda orang orang Thai, Jatukham Ramathep adalah dua orang adik beradik iaitu satunya Inthara Sairen dan seorang lagi Inthara Khao Kheo. Mereka berdua dikatakan sebagai anak kepada Raja Jantharaphanu (Chandrabhanu), yang memerintah Sri Dharmasokaraja, yang dianggap orang thai sebagai pusat bagi empayar Siwichai atau Sriwijaya.


Menurut lagenda tersebut lagi akibat daripada ketiadaan ayahanda mereka selama 20 tahun kerana melancarkan perang di selatan India, kerajaan Sri Dharmaraja menjadi lemah. Oleh hal yang demikian kedua adik beradik ini telah menubuhkan sebuah pusat pemerintahan yang baru di Chang Khom Sirithammarat yang sekarang berada di kota Nakhon Sithammarath. Dua beradik tersebut juga dikatakan telah menamakan semula kerajaan mereka sebagai Sriwijaya Suvarnabhumi.


Satu lagi versi lagenda asal usul Jatukham Ramathep mengatakan bahawa ia adalah Chandrabanu sendiri. Mengikut catatan-catatan kuno yang terdapat di wat tertentu di Nakhon Sithammarath, Jatukham Ramathep digelar oleh masyarakat selatan thai sebagai king of the southern sea. Beliau digambarkan sebagai seorang pahlawan yang gagah dan berkulit gelap. Beliau juga digelar sebagai raja hitam penguasa laut selatan atau Phraya Pungparn. Beliau berjaya bermeditasi hingga mencapai tahap nirvana dan bersatu dengan Buddha. Oleh sebab itulah dia disembah oleh masyarakat Buddha selatan thai. Tapi ini semua menurut kepercayaan mereka yang beragama Buddha. Maka betul lah kata orang cerdik pandai, dari peristiwa menjadi sejarah, dari sejarah menjadi lagenda dari lagenda menjadi mitos dan jika tidak direkod dan dikaji oleh anak cucu cicit maka jadilah dongeng tok nenek ala-ala merong. Jadi versi mana sebenarnya yang betul?


Namun demikian apa yang pasti mengenai Jatukham adalah baginda seorang elit Melayu yang disembah tahap dewa oleh orang orang Buddha Thai. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana jika dia Chandarbanu maka tokoh ini bukan lagi asing bagi kita dan kita memang tahu perkaitan tokoh ini dengan wilayah jajahan Sriwijaya. Jika bangsa asing boleh menghargai sejarah nenek moyang kita mengapa tidak kita? Bukanlah saya menyuruh anda semua mendewa-dewakan tokoh sejarah semacam yang dilakukan kaum kafir laknatullah ni. Cukup sekadar penghargaan dengan mengetahui dan menyedari betapa hebat dan pentingnya sejarah dan pendidikan sejarah kepada jatidiri anak-anak Melayu di Kepulauan Melayu.



No comments:

Post a Comment