Pada kali ini kita akan lihat mengapa Funan hilang dan apa kaitannya dengan Sriwijaya. Pendahulu Sriwijaya adalah Funan sebagaimana yang G. Coedes katakan. Funan pada mulanya ditolak jauh ke wilayah selatan Kemboja dan akhirnya ditendang keluar dari Kemboja oleh Chen-la, yakni bekas jajahan utara Funan pada separuh kedua abad keenam masihi. Kelas pemerintah Funan mungkin telah melarikan diri ke salah satu negara bawahannya yakni Pan-pan dengan tentera laut mereka. G. Coedes berfikir kaum elit Funan melarikan diri ke Jawa, tetapi jika difikirkan balik, Funan tidak mempunyai sebab untuk pergi ke tanah asing tersebut dan dikatakan penduduk di sana tidak mesra dengan orang asing.
Dalam tahun 686 Masihi, Sriwijaya telah menghantar ekspedisi dari kem tentera lautnya di Pulau Bangka untuk mendarat di Jawa tengah, yakni Kha-ling (Ho-ling). G. Coedes berfikir bahawa Sriwijaya sebenarnya menyerang Jawa Barat, yaitu kerajaan Tarumanagara. Walau bagaimanapun sebenarnya Sriwijaya tidak mempunyai sebab untuk menakluk Jawa Barat di mana hampir tidak wujud pesaing yang sebenar disana. Sebenarnya Sriwijaya mendarat di Pekalongan Jawa Tengah, sebuah pelabuhan yang mungkin ibu Kota Kha-ling (Sanjaya). Menurut "Zhu-fan-Zhi" Pekalongan adalah satu lagi nama bagi Jawa. Bukti pendudukan Jawa Tengah oleh Sriwijaya adalah inskripsi Sojomerto yang terpahat nama 'Dapunta Selendra'. Selendra ertinya 'Sailendra' dalam bahasa Sanskrit, yang mungkin seorang komander kerajaan Sriwijaya yang dihantar dari Pulau Bangka pada tahun 686. Tidak dapat dinafikan lagi Dapunta Selendra adalah pengasas kerajaan Sailendra di Jawa Tengah.
Bercakap mengenai kerajaan Pan-Pan dan kaitannya dengan Sriwijaya, mari kita sama-sama meneliti tinggalan-tinggalan sejarah yang dikatakan milik Sriwijaya yang berada dibawah wilayah kekuasaannya. Wilayah Pan-pan adalah terdiri dari Teluk Ban Don, termasuk Chaiya, Phunphin dan Surat Thani. Berhampiran Sungai Phunphin, terdapat sebuah gunung kecil (bukit) yang dinamakan 'Khao Si Wichai', yang bermaksud “Gunung Sri Vijaya”. Di atas Khao Si Wichai terdapat 8 kuil Hindu. Struktur yang dibaik pulih menunjukkan imej-imej Visnu.
Quaritch Wales berkata, “Saya kini yakin bahawa penaklukan Funan di rantau ini pada abad ketiga sebahagian besarnya dirangsang oleh keinginan untuk mengawal perdagangan darat”. Apabila I-Ching meninggalkan Canton pada 671, wilayah Sriwijaya meliputi 1/2 bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu termasuk Takua Pa dan Kedah di pantai barat, Chaiya, Ligor, Songkhla, Pattani dan Kelantan di pantai timur. Pada suku terakhir abad ketujuh, Sriwijaya telah menghantar utusan pertama pada tahun 670 sebagai satu-satunya negara jajahan di Semenanjung Tanah Melayu. Chi-tu, Tan-tan dan Pan-pan hilang dan mereka tidak pernah kembali lagi. Fakta ini menunjukkan kepada kita bahawa Sriwijaya menguasai politik dan ekonomi bahagian tengah Semenanjung Tanah Melayu.
Pada peringkat seterusnya, pada awal 680 Masihi, Sriwijaya menyerang Jambi dan Palembang untuk mengawal hujung selatan Selat Melaka. Tambahan pula seperti yang telah disebutkan tadi Sriwijaya menghantar tentera laut untuk menakluk Kha-ling di Jawa. Hasil daripada kempen ini tidak direkodkan, tetapi Sriwijaya berjaya mengatasi kerajaan Sanjaya di Jawa Tengah, yang telah menghantar kedutaan kepada Dinasti Tang pada 646, 666 dan 670. Tarumanagara, sebaliknya tidak mempunyai rekod menghantar utusan ke China. Kemudian nama Sailendra muncul tiba-tiba dalam Inskripsi Ligor pada tahun 775 sebagai negeri terkuat Sriwijaya, yang rajanya berhak untuk digelar sebagai Maharaja. Sriwijaya mempunyai 14 negara-negara kota dan Sailendra di Jawa tengah adalah salah satu daripadanya.
Pada peringkat berikutnya Chaiya telah diserang oleh Chen-la (Khmer) sekitar tahun 745 Masihi dan raja-raja Sriwijaya meninggalkan Chaiya dan Nakhon Si Thammarat. Sriwijaya mengalihkan ibu kotanya ke wilayah selatan, seperti Kedah atau Jambi atau Palembang, namun lokasi sebenar tidak dikenal pasti tetapi saya lebih cenderung untuk mengatakan ia adalah Kedah. Untuk Chen-la menduduki Chaiya ia mengambil masa yang lama, kerana Chaiya adalah pelabuhan utama terpenting yang menghubungkan Takua Pa di pantai barat Semenanjung dengan pantai timur, oleh itu Chaiya mungkin dikawal dengan ketat oleh armada tentera Sriwijaya. Dalam tahun 747 Raja Chen-la melawat kerajaan Tang dan Maharaja menawarkan jamuan khas kepada deligasi Chen-la. Chen-la mula menghantar utusan dan ufti pada tahun 750, selepas 33 tahun tidak berbuat demikian. Pada tahun 753, 755, 767, 771, dan 780, Chen-la menghantar utusannya berturut-turut ke China, mungkin pada tahun-tahun tersebut adalah mudah untuk Chen-la menghantar misi-misi ke Tang selepas menawan Chaiya dan Nakhon Si Thammarat.
Walau bagaimanapun, penawanan Chaiya tidak dapat membinasakan Sriwijaya, kerana Sriwijaya mempunyai 14 negara kota bawahannya dan secara keseluruhannya mereka boleh hidup. Chen-la mempunyai tentera yang kuat, tetapi tentera lautnya tidak cukup kuat untuk mengalahkan Sriwijaya kerana mereka adalah bangsa petani. Sebaliknya, Chen-la mudah dikalahkan oleh tentera laut dari Sailendra yang dipelopori oleh bangsa Malayu Kepulauan Melayu yang hebat dalam ilmu kelautan. Shih-Li-Fo-Shi hilang dari rekod kerajaan Tang sejak tahun 742, dan 'Kha-ling' menghantar utusan semula ke China pada 768. Tetapi misi terakhir dari Kha-ling adalah pada tahun 666 atau 670. Kha-ling' pada masa ini nampaknya adalah Sailendra (Sriwijaya) dari Jawa Tengah yang mewakili empayar Sriwijaya. Ini bermakna kerajaan Sailendra berjaya memulihkan kekuasaannya dan mendapatkan kembali Chaiya dari Chen-la serta menggenggam hegemoni di kalangan konfederasi Sriwijaya.
Peristiwa kemenangan kerajaan Sailendra dapat dibuktikan dengan inskripsi Ligor yang bertarikh 775, di mana hegemoni Sailendra di kalangan konfederasi Sriwijaya telah diisytiharkan dan gelaran 'Maharaja' telah diberikan kepada raja Sailendra. Dahulunya Sailendra hanyalah salah satu dari negeri bawahan Sriwijaya namun sekarang ia menjadi pemimpin kepada empayar Sriwijaya. Pergolakan politik dan pertukaran kuasa yang berlaku pada kurun ke 7 ini tidak direkodkan dalam mana-mana petitih di Semenanjung Tanah Melayu, namun penyerangan Chenla terhadap Chaiya dan perampasan kembali Chaiya oleh Sriwijaya dari tangan Chenla adalah perkara yang memang berlaku sepertimana yang dapat kita bayangkan melalui inskripsi Ligor.
Pada masa yang sama Sailendra juga menyerang Kemboja dan Champa pada tahun 767,774 dan 787. Selain itu kuasa politik antarabangsa Chen-la merudum setelah berlakunya peristiwa penyerangan tersebut sehingga kurun ke 12. Berkemungkinan besar Sriwijaya meletakkan Kamboja dibawah kekuasaannya untuk jangka masa yang lama. Pada masa yang sama juga kita jangan lupa bahawa Champa telah berhenti menghantar utusan ke China sejak tahun 749. Champa telah dimusnahkan dan berada dibawah penguasaan Sriwijaya setelah ia diserang.
Daripada artikel ini ada beberapa perkara yang dapat kita analisa. Yang pertama adalah kita dapat tahu bahawa Sriwijaya adalah penerus kepada kegemilangan Funan yang telah runtuh. Kita juga dapat tahu bahawa elit-elit Funan telah melarikan diri ke salah satu daripada negeri bawahannya yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu yakni di Pan-pan. Dari sini jelas bahawa Funan adalah sebuah Kerajaan Melayu! Mengapa saya berkata demikian? Kerana kita tahu bahawa banyak Inskripsi-inskripsi yang dipahat oleh pemimpin Sriwijaya adalah dalam bahasa Melayu Kuno. Dan seperti yang telah saya katakan Sriwijaya adalah penerus bagi Funan. Jika Funan adalah sebuah kerajaan Khmer maka sudah pasti batu-batu bersurat atau inskripsi yang ditulisnya tak kira walau dimana jajahannya sekalipun maka akan ditulis dalam bahasa Khmer!
Selain itu kita juga dapat melihat aliran perjalanan Elit Melayu Funan ini yakni dari utara iaitu Funan ke selatan Kemboja kemudian ke Pan-pan dan Chaiya serta menggabungkan kuasa negara-negara kota utara Semenanjung menjadi satu yakni Sriwijayamala. Dari situ kita dapat tahu bahawa Sriwijaya telah menghantar seorang jeneralnya yang bergelar Dapunta Selendra untuk menyerang Jawa Tengah iaitu kerajaan Sanjaya. Maka dari sinilah bermulanya pengaruh kebudayaan utara Semenanjung Tanah Melayu meresap dalam masyarakat Jawa!! Anda terkejut? Ya sebenarnya kitalah yang mempengaruhi budaya mereka yang mereka banggakan itu bukan sebaliknya. Semasa era Sriwijaya dibawah pimpinan Sailendralah banyak unsur budaya utara Semenanjung seperti pembuatan batik, wayang kulit, gamelan, pengaruh bahasa dan terutama sekali yang amat jelas bagi saya yang merupakan penggemar masakan Kelantan dan Jawa adalah dari segi makanan tradisi.
Sebagai contoh makanan tradisi adalah seperti Nasi Tumpang yang ada di Jawa dan ada juga terdapat di Kelantan dan Pattani. Kedua adalah nasi kerabu walaupun di Jawa atau lebih tepat di Grisik disebut sebagai Nasi Krawu. Satu lagi masakan Kelantan yang ada kaitan dengan Jawa adalah itik solo, samada ada kaitan dengan wilayah Solo di Jawa atau tidak itu perlu diselidiki.
Nota Tambahan: Setelah meneliti balik segala teori-teori mengenai Sriwijaya di Semenanjung Tanah Melayu, saya berpendapat elit-elit Funan telah melarikan diri bukan sahaja ke Pan-Pan tetapi juga ke negeri kembarnya yakni Chih Tu. Chih Tu dianggap sebagai negeri kembar Funan kerana ada dicatatkan dalam laporan duta dari dinasti Sui yang menyatakan bahawa Chih Tu sendiri didirikan oleh elit dari Funan. Oleh sebab itu adalah lebih tepat sekiranya Chih Tu menjadi lokasi pelarian dari Funan untuk membina kekuatan baru. Seperti yang telah diketahui Chih Tu telah wujud sejak abad pertama masihi lagi sezaman dengan Funan. Malahan Chih Tu dianggap sebuah kerajaan yg terhebat dan terkaya di Semenanjung selain Funan pada zaman tersebut. Kekayaan Chih Tu dapat digambarkan dengan membaca laporan yang dibuat oleh duta Dinasti Sui. Kesimpulannya walaupun masih lagi menjadi tanda tanya samaada benar atau tidak telahan saya ini, namun hakikatnya hanya beberapa negara kota ini sajalah yang mampu menjadi tonggak kebangkitan kerajaan awal Sriwijaya dan semuanya di Semenanjung dan bukan di Sumatera. Samaada Chih Tu, Pan-Pan, Langkasuka atau Holotan, negara-negara kota ini layak menjadi pewaris Funan dan pembina Sriwijaya.
No comments:
Post a Comment