Friday, February 5, 2010

HANG TUAH AND KNIGHT OF THE ROUND TABLE

Sejak beberapa bulan yang lepas saya sering terbaca di laman-laman sesawang tentang isu Hang Tuah dan lima saudaranya. Wujud atau tidak wujud? Itulah persoalan yang sering dimainkan. Bagi saya, sama ada Hang Tuah itu wujud atau tidak sebenarnya bukanlah perkara yang paling utama. Saya tahu ini adalah suatu kenyataan yang pelik bagi seorang yang berlatar belakangkan pendidikan sejarah.

Kita sering mendengar tetang lagenda King Arthur dan Knight Of The Round Table bukan? Saya pasti tidak ada anak-anak atau orang dewasa yang mendapat pendidikan modern dan mempunyai TV di rumah masing-masing tidak pernah dengar tentang Raja Arthur dan pembantunya Merlin si ahli sihir. Malahan sudah beberapa kali kisahnya difilemkan dari pelbagai sudut dan pelbagai tafsiran oleh penerbit-penerbit barat yang amat yakin bahawa mereka ini wujud.


Padahal sebahagian besar daripada masyarakat yang berpendidikan tinggi tahu bahawa ia hanyalah lagenda semata-mata. Namun adakah ini akan memberhentikan para peminat fanatik lagenda tersebut daripada terus mencari bukti kewujudan sang raja misteri ini.Tentulah tidak! Mengapa agaknya ini berlaku? Ini semua kerana sences of pride atau rasa kebanggaan atau kemegahan yang dibawa oleh kisah-kisah lagenda Merlin dan Raja Arthur ini.


Ianya memberikan kesan yang sangat mendalam dalam sanubari masyarakat barat terutama yang berketurunan Inggeris. Bagi mereka Arthur adalah lambang kehebatan bangsa Inggeris dan Arthur adalah hero bangsa Inggeris yang berjuang demi rakyatnya untuk keamanan dan lambang pengorbanan seorang raja  adil yang mewujudkan sebuah kerajaan yang aman makmur yakni Camelot dan lambang good vs evil.


Inilah yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Apa yang mereka dahagakan adalah perasaan bangga terhadap kewiraan Hang Tuah sepertimana kebanggaan orang Inggeris terhadap Arthur. Mereka perlukan seseorang yang boleh dilihat dan dipandang sebagai wira bangsa yang sentiasa menang dalam setiap pertarungan dan sentiasa bernasib baik dalam setiap rintangan. Setiap bangsa di dunia ini mempunyai wira.


Sehingga hari ini masih ada ahli sejarah yang tercari-cari bukti-bukti kaji purba di sekitar wilayah Cornwall dan sekitarnya untuk membuktikan bahawa Arthur dan Kerajaan Camelotnya pernah wujud suatu ketika dahulu, dan ada diantara mereka telah menjumpai beberapa bukti yang memberansangkan. Namun adakah penemuan ini menandakan Arthur benar-benar wujud? Namun ia membangkitkan persoalan bahawa adakah semua kisah itu dogeng belaka atau sebenarnya ia bermula daripada satu kisah  benar yang telah ditokok tambah? Kita sepatutnya mempunyai  semangat ingin tahu dan ingin kaji yang tinggi seperti ahli-ahli sejarah terpinggir ini dalam mencari bukti-bukti kewujudan Hang Tuah dan rakan-rakannya.


Kalau dibandingkan kisah King Arthur dengan kisah Hang Tuah, kita berada dihadapan sedikit dengan bahan-bahan rujukan yang lebih banyak terutama dari segi manuskrip-manuskrip seperti Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah sendiri. Jadi adalah tidak mustahil sekiranya Hang Tuah sebenarnya wujud. Hal ini ada diceritakan sendiri di dalam Sulalatus Salatin yang memang telah diyakini oleh sejarawan kita bahawa mempunyai banyak unsur sejarah yang ternyata benar. Malahan di dalamnya juga ada tercatat salasilah Hang Tuah sehinggalah ke anak cucunya. Salah seorang anaknya kalau tak silap saya adalah Hang Nadim yang sememangnya wujud dan memainkan peranan yang penting dalam penyerangan balas terhadap pihak Portugis dalam zaman empayar Johor Riau.



No comments:

Post a Comment