Perkongsian kali ini adalah tentang kajian yang dibuat oleh penyelidik kita tentang para ilmuan atau keilmuan Melayu yang mempunyai hubungan dengan negera China. Hasil kajian ini membuahkan sesuatu yang menakjubkan kerana kita dapat membuktikan bahawa keilmuan bangsa Melayu juga setaraf dengan tahap keilmuan bangsa lain seperti China, hinggakan ramai cendekiawan China yang datang untuk menuntut dengan ilmuan Kepulauan Melayu.
Terdapat banyak penulisan tentang kedatangan rombongan atau wakil dari China ke kerajaan-kerajaan di Kepulauan Melayu ini pada masa lampau. Kebanyakan penulisan ini masih lagi dalam bentuk asal yakni tulisan China klasik dan belum lagi diterjemahkan. Manakala ada juga yang telah dikaji dan diterjemah oleh para pengkaji dari Jepun dan China sendiri namun kebanyakannya tidak boleh di dapati dan tidak pernah dilihat oleh para pengkaji tempatan kita. Apa yang para pengkaji kita dapat hanyalah judul-judulnya daripada makalah Shinohara (1988). Dalam penulisan ini kita banyak memanfaatkan maklumat-maklumat yang disampaikan menerusi rujukan sekunder tentang rekod biografi-bibliografi para ilmuan ini.
Kesukaran ditambahkan lagi oleh ketiadaan langsung rekod bertulis yang sama untuk zaman awal ini di dunia Melayu. Yang dapat hanya sedikit adalah dari prasasti (batu bersurat) dalam beberapa kerajaan Melayu tua, seperti Funan-Chenla, Campa, Sriwijaya dan Jawa Kuno. Prasasti-prasasti ini pula selalunya hanyalah tentang hal-hal keistanaan, tiada langsung setanding dengan rekod biografi-bibliografi para ilmuan. Bagi para pengkaji yang ingin teruskan juga kajian terhadap isu ini, seperti yang di nyatakan di atas, mereka terpaksa bergantung kepada rujukan-rujukan sekunder terhadap rekod-rekod biografi-bibliografi para ilmuan yang disediakan khusus untuk merekodkan kegiatan semua para ilmuan yang masuk-keluar dari China dan India.
Daripadanyalah, sedaya mungkin, para pengkaji tempatan telah mengembangkan perbincangan berkenaan hubungan para ilmuan awal dunia Melayu-China. Tentulah beberapa maklumat yang tertera di dalam rekod-rekod biografi-bibliografi para ilmuan tersebut merangkumi juga beberapa para ilmuan yang masuk-keluar dari China dan alam Melayu. Berikut adalah senarai keluar-masuk para ilmuan dari China dan India.
i). INDIA
Tahun 25-220M seramai 4 orang
Tahun 220-316M seramai 4 orang
Tahun 317-420M seramai 17 orang
Tahun 420-589M seramai 22 orang
ii) AN-HSI (PARSI)
Tahun 25-220M seramai 2 orang
Tahun 220-316M seramai 3 orang
iii) YUEH-CHIH
Tahun 25-220M seramai 2 orang
Tahun 220-316M seramai 3 orang
Tahun 317-420M seramai 2 orang
iv) MELAYU ATAU SELATAN
Tahun 25-220M seramai 2 orang
Tahun 220-316M seramai 3 orang
Tahun 317-420M seramai 6 orang
Tahun 420-589M seramai 6 orang
v) LAIN-LAIN
Tahun 220-316M seramai 2 orang
Tahun 317-420M seramai 2 orang
Tahun 420-589M seramai 4 orang
JUMLAH KESELURUHAN
Tahun 25-220M seramai 10 orang
Tahun 220-316M seramai 15 orang
Tahun 317-420M seramai 27 orang
Tahun 420-589M seramai 32 orang
JUMLAH PENUNTUTU CHINA KE INDIA
Tahun 220-316M seramai 3 orang
Tahun 317-420M seramai 51 orang
Tahun 420-589M seramai 89 orang
Senarai di atas menunjukkan bahawa sehingga tahun 590M, seramai 143 para ilmuan China telah datang ke India untuk menuntut agama Buddha. Tiga per empat para ilmuan China pertama yang datang ke India adalah Chu Shi-hing, Fa-ling, Chi-I dan Ho-yun, seperti yang dilaporkan oleh I-Tsing dan diulangi oleh Samuel Beal. Chavannes pula melaporkan bahawa I-lang, Chih-ngan, I-hsuan dan Taolin singgah dahulu di Lang-chia-shu (Langkasuka) sebelum meneruskan perjalanan ke India. Para ilmuan yang akan kita bincangkan di sini iaitu Shih Fa-Hian yang tersadai di Jawa pada November 413M hingga April 414M tergolong dalam kumpulan 51 para ilmuan seterusnya dalam jadual ini. Siapakah 50 para ilmuan yang lainnya?
Kebanyakan jalan yang mereka pilih untuk datang ke India dan pulang semula ke China adalah menerusi jalan darat Asia Tengah. Jika ini jalan yang mereka pilih, maka tidaklah boleh dikatakan bahawa mereka memiliki hubungan para ilmuan dengan dunia Melayu, sebab mereka tidak langsung singgah ke dunia Melayu. Namun, terdapat juga diantara mereka yang memilih jalan pulang menerusi jalan laut melintasi Asia Tenggara, seperti pilihan Shih Fa-hian. Mereka ini ada berhubungan para ilmuan dengan dunia Melayu, itupun jika ada aktiviti para ilmuan dilaksanakan. Tidak pula kita jumpa adanya yang memilih jalan darat melalui IndoChina untuk pulang ke China.
Walaupun mereka mengetahui boleh mudik dari Funan-Chenla menerusi Sungai Mekong (Lanchangjiang) sampai ke China. Juga tidak kedengaran adanya yang memilih jalan pulang menerusi jalan darat Asia Tengah selepas datang menerusi jalan laut Asia Tenggara. Mungkin disebabkan mereka juga maklum bahawa betapa bahayanya jalan Asia Tengah yang bergunung-ganang dan banyak perompak. Jalan pergi-balik yang kedua popular adalah menerusi jalan laut Asia Tenggara. Mereka yang menggunakan jalan ini akan berhubungan langsung dengan dunia Melayu dan berkemungkinan melakukan hubungan dengan para ilmuan dunia Melayu.
Senarai diatas juga menunjukkan bahawa seramai 84 para ilmuan luar telah masuk ke China untuk mengembangkan agama Buddha. Dua orang daripada empat para ilmuan pertama yang datang dari India ke China tersebut mungkin bernama Chih-lou-Chia-ch’ien dan Yen Fa-t’iao. Dua para ilmuan pertama yang datang dari An-hsi (Parsi) tersebut adalah An Shih-Kao dan An Hsuan. Manakala dua para ilmuan pertama yang datang dari Yueh-chih tersebut adalah Dharmaraksha dan Lokashshema. Ini diikuti oleh ramai lagi para ilmuan selepas mereka. Ini juga bermaksud ada dikalangan para ilmuan ini membawa bersama mereka puluhan malahan ratusan karya-karya yang menjelaskan agama Buddha dari pelbagai aspek ke China.
Perkara yang paling menarik adalah, sehingga tahun 590M, seramai 17 para ilmuan Melayu juga turut serta dalam misi para ilmuanan China ini. Jika dihalusi maklumat tentang semua kerajaan yang ada di selatan China sehingga tahun 590M, tentulah kita tahu bahawa para-para ilmuan tersebut tentunya datang dari Funan, Chenla, Campa, Chih tu, Pan Pan, Sriwijaya mala dan mungkin Jawa Kuno. Apa yang kita mahu tumpukan adalah, bagaimanakah boleh diperolehi maklumat berkenaan 17 para ilmuan Melayu yang masuk ke China untuk mengembangkan agama Buddha? Adakah mereka benar-benar berbangsa Melayu atau hanyalah merupakan para ilmuan India yang bertugas di dalam Kerajaan Melayu? Apakah judul karya-karya yang mereka bawa? Adakah mereka berkarya? Apakah institusi tempat mereka bertugas di dunia Melayu dan China?
2). SHIH FA-HIEN DAN GOLONGAN PARA ILMUAN JAWA
Sekitar tahun 249-254M, di Louyang, Dharmakala seorang ilmuan dari India Tengah, menterjemahkan Mahasamghika-vinaya-hrdaya ke bahasa China. Kemudiannya, Dharmakirti (bukan Dharmakhirti Suvarnabhumi) ilmuan Parthia, menterjemahkan Dharmagupta-karman. Bhiksupratimoksa juga diterjemahkan pada masa yang sama. Kesusasteraan inilah yang mendorong Shih Fa-Hien untuk memulakan pengembaraan ke India pada tahun 399M. Beberapa tahun selepas itu, iaitu pada tahun 404M, Punyatara, ilmuan dari Kasmira, bersama Kumarajiva, ilmuan Kucha, menterjemahkan Sarvastivada-vinaya, namun tidak tamat sebab Punyatara meninggal dunia selepas kerja terjemahan siap sepertiga. Tugasnya disambung oleh Dharmaruci, ilmuan Kucha, yang bekerjasama dengan Kumarajiva.
Pada tahun 410M, Buddhayasas menterjemahkan Dharmagupta-vinaya. Tatkala Shih Fa-Hien kembali ke China pada 414M, beberapa daripada buku-buku ini turut dibawanya bersama. Namun beliau lebih dikenali kerana menterjemahkan Mahasamghika-vinaya bersama Buddhabhadra, para ilmuan Kapilavastu, pada tahun 418M. Buddhabhadra juga menterjemahkan Avatamsaka-sutra pada tahun 418M. Kemudiannya, Buddhajiva, ilmuan Kasmira, menterjemahkan Mahisasaka-vinaya pada tahun 424M, empat tahun selepas kematian Shih Fa-Hien. Begitulah serba sedikit latarbelakang keilmuan di zaman Shih Fa-Hien, tetapi, apakah kaitannya maklumat di ini semua dengan golongan para ilmuan Jawa? Inilah yang kita akan cuba hipotesiskan di bawah.
Di dalam catatan perjalanannya, sekitar Ogos 413M, Shih Fa-Hien, sewaktu ingin kembali dari India ke China, beliau menumpang sebuah kapal perdagangan. Selepas 3 hari belayar, beliau dan 200 penumpang kapal tersebut dilanda ribut. Mereka dilanda ribut selama 13 hari dan tersadai di sebuah pulau. Tidak diketahui apakah nama pulau ini. Mereka kemudian mengambil bekalan baru dan terus belayar tanpa arah tujuan yang tertentu menuju timur. Selepas 74 hari belayar, mereka tersadai di Yavadvipa (mungkin Jawa), iaitu sekitar November 413M.
Shih Fa-Hien menetap selama 5 bulan di Jawa dan belayar semula dengan kapal perdagangan yang lain ke China pada April 414M. Beliau sampai di China 12 hari kemudian. Sewaktu di Jawa, beliau hanyalah melaporkan bahawa tiada langsung orang yang beragama Buddha di sana. Semua penduduk Jawa beragama Hindu. Masyarakat pulau Jawa hanyalah memeluk agama Buddha sekitar 560M, itupun hanyalah masyarakat Jawa yang menghuni kerajaan Melayu Sailendra, yang dikatakan warisan daripada kerajaan Funan yang dikalahkan oleh kerajaan Chenla.
Tinggalan utama masyarakat Buddha Jawa adalah Borobodor yang dibina oleh masyarakat Buddha tetapi disiapkan oleh masyarakat Hindu sekitar kurun ke-8M. Lebih seratus tahun sebelum itu, agaknya memanglah benar seperti kata Shih Fa-Hien bahawa tiada langsung masyarakat Jawa yang beragama Buddha. Tetapi, yang peliknya keadaan ini langsung memberi kesan bagi seorang para ilmuan seperti Shih Fa-Hien dalam catatannya. Adakah beliau tidak melakukan apa-apa aktiviti para ilmuan sepanjang 5 bulan di Jawa? Ini amat mustahil memandangkan kontroversi mengenai polimik berkaitan kefalsafahan di antara para ilmuan Hindu dengan para ilmuan Buddha amat kerap berlaku di India, dimulai oleh Nagarjuna bagi pihak Buddha sekitar kurun ke-2M. yang membantah fahaman falsafah yang dibawa oleh sekurang-kurangnya 6 golongan falsafah Hindu, iaitu Jain, Samkhya, Yoga, Vedanta, Mimamsa dan Nyaya-Vaisesika.
Kalaupun sebahagian dari golongan Hindu ini berada di Jawa, pasti Shih Fa-Hien akan terlibat dalam perdebatan falsafah dengan mereka. Kenapa Shih Fa-Hien membisu selama 5 bulan? Kita akan mengemukakan alasan utama kenapa Shih Fa-Hien mendiamkan diri selama 5 bulan di Jawa. Sebelum mengembara ke India pada 399M, Shih Fa-Hien tidak maklum tentang gerakan falsafah Nagarjuna kerana buku-buku Nagarjuna hanyalah diperkenalkan oleh Kumarajiva ke China mulai 401M. Inilah juga sebab kenapa Shih Fa-Hien tidak langsung mendapatkan buku-buku Nagarjuna di India.
Kalaupun beliau bertemu dengan buku-buku Nagarjuna, ataupun bertemu dengan pengikut-pengikut Nagarjuna, Shih Fa-Hien mungkin gagal pula menguasai perdebatan berkaedahkan falsafah dan logik, sesuatu yang baru kepada penganut-penganut Buddha di India, apalah lagi kepada pengikut-pengikut Buddha di China. Tanpa mentelaah buku-buku Nagarjuna, memanglah Shih Fa-Hien tidak merasakan perlunya beliau melibatkan diri dalam perdebatan dengan golongan falsafah Hindu di Jawa, itupun kalau ada gerakan falsafah Hindu di Jawa.
Pengikut-pengikut Nagarjuna membentuk fahaman falsafah yang digelar Madhyamika, disamping tiga yang lain, iaitu Vaibhasika, Sautrantika dan Yogacara. Hipotesis kami ini amat sukar diselesaikan bersebabkan rekod-rekod bertulis di Jawa bertarikh lewat daripada apa yang berlaku pada kurun ke-5 ini. Kalau adapun, belum tentu tepat menyentuh aktiviti para ilmuan antara Shih Fa-hian dengan para ilmuan-para ilmuan Jawa.
3). MANDRASENA, PENGHUBUNG PARA ILMUAN FUNAN DAN CHINA
Mandrasena bukanlah ilmuan asal Funan, sebab beliau adalah asal dari India dan bertugas sebagai penterjemah di Funan. Tugas beliau tentulah menguruskan sebuah atau beberapa buah perpustakaan diraja Funan, disamping menterjemahkan buku-buku India yang berbahasa Sanskrit/Pali ke bahasa tempatan (kun-lun-yu/ bahasa Melayu kuno), dengan bantuan para ilmuan tempatan. Kalangan penyelidik Funan belum mendapat apa-apa maklumat berkenaan bahasa kun-lun-yu atau bahasa Funan ini, sebab tiada langsung ditemui prasasti Funan yang berbahasa selain Sanskrit. Namun, seringkali pula Raja China mengutus duta ke Funan meminta Raja Funan menghantar penterjemah ke China, Madrasena adalah salah seorang daripadanya yang tiba di China pada tahun 503M dengan membawa beberapa puluh buah karya.
Mengikut kajian terhadap Taisho Shinshu Daizokyo (TSD), iaitu himpunan karya-karya Buddha yang masuk ke China dan Jepun, lihat Zahrin Afendi dan Mohammad Alinor (2009), kami mendapati bahawa karya-karya berikut diusahakan terjemahannya oleh Mandrasena :
i). 453M, Ratnameghasūtra / Pao yün ching (terjemah pada 503M) (TSD 658);
ii). Dharmadhātuprakṛti-asambhedanirdeśa(sūtra) / Fa chieh t’i hsing wu fen pieh hui(ching) (503M) (TSD 310.8);
iii). 470M, Saptaśatikaprajñāpāramitāsūtra / Wen shu shuo pan jo hui (ching), (503M) (TSD 310.46 & TSD 232).
Apa yang pasti adalah, karya-karya ini berada di Funan dalam versi asal Sanskrit dan terjemahan kun-lun-yu, dan berada di China dalam terjemahan China oleh Mandrasena pada 503M. Pengkaji kita gagal mendapat maklumat lanjut berkenaan dua karya yang pertama itu. Namun, untuk karya yang ke-3, maklumat menunjukkan Mandrasena menterjemahkannya sebanyak dua kali (TSD 310.46 & TSD 232), atau mungkin sahaja seorang lain yang rapat dengannya menterjemahkan yang sebuah lagi itu. Ada 3 lagi terjemahan dilakukan ke dalam bahasa China, iaitu TSD 220.7, TSD 230 dan TSD 233.
Apapun, karya yang membicarakan doktrin kesatuan wujud (prajnaparamita) ini merupakan antara beberapa puluh karya lain yang berusaha menjelaskan doktrin tersebut. Doktrin ini mungkin mula diperkenalkan menerusi terjemahan karya-karya Nagarjuna oleh Kumarajiva mulai tahun 401M. Selepas daripada tarikh itu, tentunya para ilmuan-para ilmuan China berusaha untuk mendapatkan beberapa karya lain yang menjelaskan apa yang disebut dalam karya-karya Nagarjuna tersebut, termasuklah tentang prajnaparamita. Seperti yang dijelaskan oleh Obermiller (1933), doktrin prajnaparamita tersebut terbahagi kepada 5 tahap, iaitu:
Jalan Mengumpulkan Kebaikan/Faedah (Sambhara-marga), yang terdiri daripada 4 cara mengenal penampakan wujud, 4 cara mengenal punca penampakan wujud, 4 cara mengenal boleh hapusnya penampakan wujud, dan 4 prinsip jalan;
Jalan Latihan (Prayoga-marga);
Jalan Intuisi (Darsana-marga);
Jalan Penumpuan Perhatian (Bhavana-marga);
Jalan Puncak (Asaiksa-marga).
Kita pasti boleh menunjukkan bahawa doktrin ini diajarkan, kalaupun tidak berkembang dengan baik, di Funan dan China. Di China, doktrin ini agak berkembang baik kerana dari semasa ke semasa karya-karya yang menjelaskannya diusahakan dicari lalu diterjemahkan.
4). SAMGHAPALA, PENGHUBUNG PARA ILMUAN FUNAN DAN CHINA
Samghapala juga adalah para ilmuan berkelahiran India yang bertugas sebagai penterjemah di Funan. Nampak seolah-olah beliau adalah pembantu kepada Mandrasena di Funan, kerana Raja Funan kemudiannya mengarahkan beliau untuk membantu Mandrasena di China. Beliau tiba di China pada tahun 506M. Beliau juga membawa karya-karya yang berada di Funan ke China, lihat Zahrin Afendi dan Mohammad Alinor (2009). Diantara yang beliau terjemahkan di China adalah:
1). 460M, Aśokarājasūtra / A-yu-wang ching (terjemah pada 512M) (TSD 2043);
2). Karmāvaraṇapratipraśrabdhi(sūtra) / P’u-sa tsang ching (517M) (TSD 1419);
3). 470M, Saptaśatikāprajñāpāramitāsūtra / Wen shu shih li so shuo mo ho pan jo po lo mi ching (TSD 233);
4). 457M, Sarvabuddhaviṣayāvatārajñānalokālaṃkārasūtra / Tu i ch’ieh chu fo ching chieh chih yen ching (TSD 358);
5). Aṣṭabuddhaka(sūtra) / Pa chi hsiang ching (TSD 430);
6). Mahāmāyūri(vidyārājñī)-(sūtra) / K’ung ch’iao wang chou ching (TSD 984);
7). Anantamukhasādhakadhāraṇī(sūtra) / She li fu t’o lo ni ching (506M) (TSD 1016);
8). 470M, Mañjuśrīparipṛcchā(sūtra) / Wen shu shih li wen ching (518M) (TSD 468);
9). 460M, Daśadharma(ka)(sūtra) / To ch’eng shih fa ching (TSD 314);
10). Upatisya (?)/ Chieh t’o tao lun (515M) (TSD 1648);
11). Da cheng bao yun jing (TSD 659);
12). Erh shih pa yeh ch’a ta Chun wang Ming hao (DZ 736).
Senarai di atas menunjukkan bahawa karya berjudul Saptaśatikāprajñāpāramitāsūtra, yang mengandungi doktrin prajnaparamita itu sekali lagi diminta kepada Samghapala untuk diterjemahkannya. Karya Asokarajasutra yang dikarang pada 460M, iaitu sekitar 700 tahun daripada zaman Asoka, dan diterjemahkan ke China oleh Samghapala pada tahun 512M, boleh sahaja menunjukkan bahawa cara kepemimpinan dan kepengurusan Raja Asoka dikaji di Funan dan di China. Kajian ini ditumpukan oleh Shaharir (2008) bagi mendapatkan teori-teori kepemimpinan dan kepengurusan Melayu, yang setakat ini menunjukkan bahawa teori kepemimpinan Melayu tertua adalah yang dinukilkan pada sebuah batu bersurat bertarikh 1010S/1088M dalam bahasa Melayu Campa! Teorinya digelar cakravantin, dan model teori ini yang pertama adalah Raja Asoka. Yang sepatutnya dijawab, adakah cakravantin juga dihayati di Funan, yang dimaklumi terkenal dengan model kepemimpinan bergelar rajadewa, dan di China? Sudah tentu ya.
5). PARAMARTHA, BERHUBUNG PARA ILMUAN FUNAN DAN CHINA
Seperti juga Mandrasena dan Samghapala, Paramartha juga adalah berkelahiran Ujjini, India, dan datang bertugas sebagai penterjemah di Funan mulai sekitar tahun 545M. Beliau dibantu oleh para ilmuan-para ilmuan tempatan, salah seorang daripadanya bernama Subodhi. Dua nama para ilmuan tempatan yang lain adalah Brahmadatta dan Brahmasimha, namun dua mereka ini bertugas sebagai doktor perubatan diraja. Paramartha kemudiannya diminta oleh Raja Rudravarman, atas permintaan Raja China, untuk menyambung kerja-kerja terjemahan yang dilakukan oleh Mandrasena dan Samghapala. Lalu beliau membawa karya-karya yang berada di Funan ke China. Beliau membawa sejumlah 240 karya ke China pada tahun 546M, lalu menterjemahkan sejumlah 76 buah daripadanya.
Dalam senarai 37 yang berjaya diperolehi sekali lagi kita bertemu dengan judul karya yang mengandungi doktrin prajnaparamita, iaitu Vajracchedikāprajñāpāramitāsūtra yang diterjemahkan oleh Paramartha sebagai Chin kang po jo po lo mi ching pada tahun 569M. Memang ini menunjukkan doktrin prajnaparamita berkembang luas di Funan dan China sekitar kurun ke-6M. Pengkaji kita sebenarnya memperoleh beberapa karya dalam senarai di atas dalam bentuk terjemahan Inggeris, Perancis dan Jerman, untuk di telaah. Shaharir telah mentelaah karya Nagarjuna berjudul Arya Ratnavali (Rājaparikathāratnamālī) bagi menunjukkan wujudnya teori kepemimpinan dan kepengurusan Buddha yang diserap masuk ke Funan, dan mungkin juga China. Suatu hal lagi yang kerap di tumpukan perhatian adalah karya-karya berbentuk perbahasan kefalsafahan. Ini boleh digali daripada karya-karya ahli falsafah seperti Asvaghosa, Nagarjuna, Aryadeva, Asanga, Vasubandhu dan Ishvara Krisna dan Dignaga.
Amat memeranjatkan sebenarnya karya-karya Dignaga berada di Funan, dan akan ditunjukkan di bawah sebagai juga berada di Sriwijaya, kerana fakta ini mencabar kefahaman sebelum ini bahawa tiadanya minat yang agak mendalam terhadap epistemologi dan logik dikalangan para ilmuan-para ilmuan awal di Funan dan Sriwijaya. Kami katakan “mendalam” kerana karya-karya Dignaga dan Dharmakirti (seorang lagi para ilmuan epistemologi dan logik) adalah karya-karya yang begitu teliti membahas pelbagai isu berkaitan falsafah pengetahuan. Perbahasan mereka setaraf perbahasan yang dilakukan oleh Plato dan Aristotle, al-Farabi dan Ibn Sina, Thomas Aquinas dan Roger Bacon, dan Immanuel Kant dan Hegel. Contohnya, kami akan membincang sedikit berkenaan epistemologi dan logik yang dibawakan oleh Dignaga.
Karya terpenting dihasilkan oleh Dignaga bertajuk Pramanasamuccaya, namun karya ini tidak dikesan wujud di Funan, Campa dan Sriwijaya. Karya ini sebenarnya adalah himpunan karya-karya beliau yang lainnya dalam bidang epistemologi dan logik, sejumlah 14 buah, Alambanapariksa dikesan wujud di Funan, manakala Upadayaprajnaptiprakarana, Samanyalaksanapariksa dan Nyayamukha dikesan wujud di Sriwijaya (akan dibincang kemudian). Apa yang dibincangkan oleh Dignaga? Dalam kesemua karya epistemologi dan logiknya, Dignaga sebenarnya membahas isu-isu yang timbul dalam usaha memahami bagaimana seseorang manusia mendapat pengetahuan. Apakah sebenarnya pengetahuan itu? Adakah benda luar fikiran itu sebenarnya terpisah atau tercantum/berhubung dengan juzuk pengetahuan yang dihasilkannya, yang diminati oleh fikiran manusia? Menariknya, Dignaga membuat sorotan terhadap semua pandangan epistemologi dan logik di India sebelumnya, iaitu teori-teori pengetahuan yang dihasilkan oleh golongan-golongan Nyaya, Vaisesika, Samkhya dan Mimamsaka. Sorotan ini seolah-olahnya berbentuk sejarah perkembangan epistemologi dan logik di India.
6). SEJUMLAH 1350 BUKU CHAMPA YANG DIRAMPAS OLEH LIU FANG PADA 605M
Sukar sebenarnya untuk kita menerima fakta bahawa adanya apa-apa “perhubungan keilmuan” dalam apa-apa peperangan. Namun, itulah yang akan kita bincangkan di sini, iaitu adanya “perhubungan para ilmuan” dalam peperangan yang melibatkan China dan Campa. Tatkala segerombolan tentera China yang diketuai oleh Liu Fang menyerang Campa pada tahun 605M, yang mengakibatkan kekalahan dipihak Campa dan Raja Shambhuvarman (mati pada tahun 629M) melarikan diri keseberang laut, Liu Fang kemudiannya merampas salasilah bertinta emas yang menukilkan maklumat 18 Raja yang memerintah Campa sebelum Raja Shambhuvarman dan sejumlah 1350 buku ajaran agama Buddha yang ditulis dalam bahasa Campa / Kun-Lun berabjad Sanskrit yang diikat dalam 546 berkas.
Yang menjadi isunya di sini adalah, ada laporan yang mengatakan bahawa buku-buku ini dimusnahkan oleh Liu Fang, dan ada juga laporan yang mengatakan buku-buku ini dibawa pulang ke China dan diminta Hsuan Tsang melakukan terjemahan terhadapnya. Namun, setelah beberapa tahun dapat dikesan kewujudan buku-buku ini, kita tidak berolah apa-apa maklumat, walaupun mengaitkannya dengan Hsuan Tsang. Begitu juga dengan maklumat yang baru sahaja di jumpai, seperti yang dilaporkan dalam abstrak, kajian belum mendapat apa-apa maklumat tambahan berkenaan Fo-Che, selain mengetahui bahawa beliau adalah seorang pemuzik Campa yang terbaik. Beliau diminta datang ke China dan Jepun untuk membuat persembahan dan mengajar tentang muzik Campa di beberapa sekolah muzik disana.
7). I-CHING, PENGHUBUNG PARA ILMUAN SRIWIJAYA DAN CHINA
Para pengkaji kita telah mengetahui agak lama juga berkenaan maklumat yang mengatakan I-Ching menghabiskan masanya selama 14 tahun melakukan penterjemahan di Sriwijaya. Sebelum melakukannya, beliau sempat berguru kepada 4 orang ilmuan Buddha di Sriwijaya dan India. Salah seorang daripada gurunya, yang berada di Sriwijaya, bernama Sakyakirti yang mengarang buku bertajuk Hastadanda Sastra, sebuah buku undang-undang. Buku ini diterjemahkan oleh I-Ching sebagai Shou Chang Lun (TSD 1657) pada tahun 711M. Oleh sebab I-Ching menjangkakan bahawa beliau tidak mampu melakukan penterjemahan seorang diri, beliau kembali ke China untuk menjemput 4 orang ilmuan yang lain membantu beliau melakukan tugas-tugas penterjemahan. Sungguh banyak sekali karya yang patut beliau terjemahkan, malahan mencapai ribuan judul. Maklumat ini sebenarnya dibiarkan sahaja statik tidak berkembang, sekurang-kurangnya untuk penyelidikan di alam Melayu, sehinggalah pengkaji kita berjaya mendapatkannya.
Sebenarnya senarai tajuk-tajuk yang diterjemah oleh I-Ching terlalu banyak maka ia tidak akan dipaparkan dalam penulisan ini. Jika mahu juga anda boleh lihat Zahrin Afendi dan Mohammad Alinor (2009). Oleh kerana setakat ini pengkajian yang dibuat hanyalah menumpukan perhatian kepada karya-karya epistemologi dan logik, malah kita masih mencari-cari karya-karya ini sebab tidak semua yang berjaya dibawa balik, makanya tidaklah banyak perkara yang mahu di tambahkan bagi membincang senarai penulisan I-Ching tersebut. Apa yang pasti bahawa 3 lagi karya Dignaga yang utama tentang epistemologi dan logik berada dalam senarai I-Ching.
KESIMPULAN
Bagi mengembangkan lagi kepustakaan keilmuan Alam Melayu saya berharap agar kajian-kajian lanjut diusahakan bagi mendapatkan semua karya-karya yang telah di senaraikan, malah banyak lagi karya yang tidak disenaraikan. Secara tidak langsung, ini akan menunjukkan bahawa tamadun-tamadun manusia yang awal di Asia Tenggara, seperti Funan, Campa, Sriwijaya dan Jawa sebenarnya memiliki kepustakaan pengetahuan tentang segala perkara yang memungkinkan mereka mengendalikan kehidupan mereka seharian. Juga, secara langsung, kepustakaan ini dikongsi bersama dengan tamadun-tamadun timur jauh, seperti China, Korea dan Jepun.
Korea dan Jepun sebenarnya pada masa yang lebih kurang sama memanfaati kepustakaan pengetahuan yang masuk ke China. Namun, apa yang jauh lebih penting difikirkan bersama adalah, apakah kepustakaan pengetahuan yang berlegar di Asia Selatan, Asia Tenggara, Asia Timur dan Asia Tengah ini mampu digunakan untuk menerbitkan konsep-konsep penting dalam bidang Sains dan Teknologi, atau apa sahaja nama tempatan lain yang lebih sesuai menggantikan kedua-dua istilah Latin (Scientia) dan Greek (Techne) tersebut, bagi memperbaiki atau mencabar konsep-konsep utama dalam perkembangan Sains dan Teknologi Barat Moden/Pascamoden. Konsep-konsep seperti ruang, masa, nombor, pernyataan, benar/palsu, dan lain-lainnya. Sudah tiba masanya kita tukar perkataan-perkataan latin tersebut dengan perkataan Melayu yang asli supaya terlihat bahawa ilmu Melayu itu ilmu yang bertaraf antarabangsa, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan ilmu-ilmu barat.
Rujukan:
1). Fa-Hien. 1884/1983. Fo-kwo-ki (Travels of Fa-Hien), dalam Beal, S. Si-yu-ki (Buddhist Records of the Western World. New Delhi : Oriental Reprint. ms xxiii-lxxxiii.
2). Fa-Hien. 2002. The Journey of the Eminent Monk Faxian, terj. oleh Li Rongxi, dalam Lives of Great Monks and Nuns. BDK English Tripitaka. Berkeley : Bukkyo Dendo Kyokai dan Numata Center Buddhist Translation and Research. ms 155-214.
3). Hattori, M. 1968. Dignaga, On Perception : Being the Pratyaksapariccheda of Dignaga’s Pramasamuccaya from the Sanskrit and Tibetan versions. Cambridge : Harvard University Press.
4). Obermiller, E. 1933. The Doctrine of Prajna-paramita as exposed in the Abhisamayalamkara of Maitreya. Acta Orientalia 11 : 1-131 & 334-354.
5). Shaharir Mohd Zain. 2008. Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu. Kuala Terengganu : Penerbit UMT.
6). Shinohara, K. 1998. Evolution of Chan Biographies of Eminent Monks. BEFEO 85 : 305-324.
7). Xinru Liu. 1988. Ancient India and Ancient China : Trade and Religious Exchanges AD 1-600. New Delhi : Oxford India Press.
8). Zahrin Afendi Mohd dan Mohammad Alinor Abdul Kadir. 2009. Laporan Penyelidikan tentang Manuskrip Melayu Pra-Islam. JAWHAR 6(2) : 84-102.
9). Zurcher, E. 1972. The Buddhist Conquest of China : The Spread and Adaptation of Buddhism in Early Medieval China. Vol. I & II. Leiden : E.J. Brill.
No comments:
Post a Comment