Friday, February 5, 2010

KAUM SE MALA DARI SUNDALAND (KEPULAUAN MELAYU)

Mungkin masih ada yang tertanya-tanya bagaimanakah rupa bangsa Melayu awal. Putihkah? Atau hitamkah atau kelabu? Persoalan ini mungkin nampak kompleks, namun tuan-tuan sekalian penjelasannya memang ada jika kita tahu dimana untuk mencarinya. Artikel kali ini cuba untuk memberi sedikit penerangan mengenainya.

Kita telah tahu bahawa wujud satu tamadun yang hebat di Kepulauan Melayu ini suatu ketika dahulu. Namun yang kita tidak tahu siapakah bangsa yang membina tamadun ini. Adakah mereka dari keturunan Melayu proto atau mereka adalah dari Suku Mon-Khmer yang juga menjadi penduduk terawal Asia Tenggara terutama Semenanjung Tanah Melayu. Ada yang menyatakan tentang terdapatnya kota purba di Tasik Chini, namun yang peliknya suku kaum asli yang tinggal di Tasik Chini bukan dari golongan Melayu Proto atau Kepulauan Melayu tetapi dari golongan Mon-Khmer. Jadi Milik siapakah kota tersebut? Berkemungkinan ia milik Mon Khmer.


*(Ralat: Telah diberikan penjelasan bahawa kaum yang tinggal di sekitar Tasik Chini adalah kaum Jakun iaitu dari kaum Melayu proto Kepulauan Melayu dan bukan Mon-Khmer dan saya juga mengesahkannya dengan membuat lebih kajian. Jadi adalah berkemungkinan kota yang berada dibawah Tasik Chini juga adalah kota Bangsa Melayu Proto atau Mala, ditambah lagi dengan lagenda Naga Seri Gumum yang juga milik bangsa Melayu Proto ini).


Siapakah suku proto Melayu? Bagaimanakah rupa orang Melayu zaman dahulu? Ini persoalan kita. Jawapannya mudah sahaja. Kita boleh lihat rupa orang Melayu dahulu dengan melihat rupa orang Semelai dan Jakun. Sebenarnya menurut ahli-ahli Kajian Kemanusiaan (Antropologi) tempatan, kaum Semelai adalah kaum yang paling dekat dengan Melayu Deutro atau modern. Hidung mereka, warna kulit mereka, rambut mereka adalah tidak ubah seperti kaum Melayu. Malahan jika kita perhatikan betul-betul kebanyakan mereka berwarna kulit yang cerah dan bukan gelap seperti suku-suku asli yang lain. Suku kaum Semelai terdapat banyak di Negeri Sembilan dan Pahang terutama di sekitar Tasik Bera. Adat dan upacara mereka juga adalah hampir sama dengan adat Melayu. Satu lagi keunikan mereka ialah mereka pandai membina perahu yang baik serta alatan muzik bertali serta gong.


Persoalannya adakah mereka ini bangsa yang pernah mendiami Funan, Chih Tu, Tan Mo Ling dan Pan-pan. Ianya masih belum terjawab. Namun clue nya ada pada nama kaum Semelai itu sendiri yakni Se Melai, Melai atau Malai = Mala? Mungkinkah mereka adalah turunan kaum Mala yang masih mengekalkan cara hidup sebelum tamadun Hindu-Buddha? Dalam kisah kisah masyarakat kaum Temuan yakni juga kaum proto Melayu di Kepulauan Melayu, ada diceritakan tentang banjir besar yang berlaku beribu tahun dahulu. Dalam banjir tersebut yang terselamat hanya dua orang sahaja yang kemudiannya menjadi leluhur kepada orang Temuani. Adakah peristiwa banjir besar Sundaland terpahat dalam petitih kuno mereka sejak turun temurun? Jika benar bermakna mereka adalah suku yang tertua di Kepulauan Melayu ini dan telah ada sejak sebelum tenggelamnya Sundaland dalam banjir Nabi Nuh as.


Teori ini juga telah disokong oleh Human Genome Organization yang telah mengkaji DNA atau genetik kaum-kaum di Asia dan Asia Tenggara dan hasilnya mereka mendapati teori keluar dari Yunan adalah kurang tepat. Sebaliknya mereka menyetujui teori keluar dari Sundaland atau Kepulauan Melayu. Sebelum ini saya ada sebut dalam artikel saya bahawa sebenarnya setelah diselidik didapati bahawa suku kaum di Asia Timur ini semuanya berleluhurkan suku Kepulauan Melayu di Asia Tenggara dan bukan sebaliknya. Orang China, Jepun dan Korea teras nenek moyang mereka adalah orang orang Kepulauan Melayu. Orang Kepulauan Melayu ini mengembara hingga ke Yunnan, Taiwan dan kemudian ke China dan bercampur dengan kaum-kaum Monggoloid serta Siberian dan membentuk kaum-kaum di Asia timur sekarang. Hasil penyelidikan ini menggemparkan dunia dan tak ramai yang mahu menerimanya lagi.


Jika benar kaum Semelai adalah kaum asal Mala bermakna sahlah Melayu bukan pendatang, sebaliknya telah wujud beribu-ribu tahun yang lalu. Satu lagi keunikan mereka adalah dari segi bahasanya. Walaupun ahli-ahli Kajian Kemanusiaan telah membuat kesimpulan bahawa mereka adalah Proto Malay namun bahasa mereka bukan sahaja mengandungi suku kata Melayu tetapi terdapat juga campuran bahasa Mon-Khmer. Ini dapat memberikan kita gambaran bahawa betapa eratnya hubungan diantara suku-suku Melayu pada zaman dahulu dengan suku-suku Mon-Khmer. Hubungan yang dimaksudkan mungkin hubungan diantara pertanian dan kelautan. Suku Mon Khmer yang di ketahui sebagai bangsa petani mungkin menjadi pembekal barang-barang dagangan dari hutan manakala suku Melayu Proto membekalkan barangan dari tasik, sungai dan laut kepada mereka.


Masih banyak lagi rahsia-rahsia yang boleh kita kaji mengenai orang-orang Melayu proto ini. Mungkin mereka masih ingat kota-kota hebat yang dibina saudara mereka pada suatu ketika dahulu dan terpahat dalam petitih-petitih tradisi mereka. Mungkin mereka tahu dimana terletaknya kota-kota purba ini. Amat perlu rasanya ahli-ahli kaji purba tenpatan dan sejarawan berkerjasama dengan mereka untuk membongkar rahsia bangsa Mala yang telah terkubur lama ini.



No comments:

Post a Comment