Saturday, January 30, 2010

JIKA BENAR AYUTHIA ITU ISLAM

Jika benar kerajaan Ayuthia adalah Islam maka kerajaan Turki Utmaniah tidak akan membiarkan ianya jatuh ketangan kafir Portugis ataupun Siam penyembah berhala. Walaupun Hamzah Fansuri pernah belajar ke sana namun beliau bukan belajar atas nama kerajaan Siam tetapi beliau belajar dengan orang Islam dari Parsi yang mengajarkan ajaran Ibnu Arabi. Sewaktu Hamzah Fansuri ke Ayuthia itu orang Islam Parsi menjadi tunggak utama istana Ayuthiya dimana mereka menjadi penasihat utama, wazir dan menteri-menteri kanan dan sangat dipercayai Raja Narai. Namun mereka turut menyatakan bahawa Raja Narai masih tidak mahu meninggalkan agama asalnya iaitu menyembah berhala. Ini adalah daripada catatan Parsi sendiri.

Jika benar Ayuthia adalah Islam maka Sultan Aceh sudah pasti menjalinkan persahabatan erat dengan Ayuthia kerana zaman kegemilangan Ayuthia adalah hampir sama dengan masa zaman kegemilangan Aceh dibawah Sultan Iskandar Muda. Namun tidak ada langsung catatan Aceh yang menyatakan bahawa Ayuthia adalah kerajaan Islam padahal kerajaan Ayuthia tidak berjauhan daripada Aceh. Malahan Kerajaan Pattani yang terletak lebih jauh ke timur juga mempunyai hubungan diplomatik dengan Aceh. Kerajaan Pattani terang-terang menyebut bahawa raja Ayuthia yang menyerangnya adalah raja kerajaan kafir. Mengapa pula mereka hendak bermusuh sehingga mengkafirkan satu sama lain jika benar bahawa kerajaan Ayuthia adalah Islam dan Melayu? 


Alasan pihak tertentu yang menyatakan peperangan diantara Ayuthia dan Pattani yang berlangsung berpuluh-puluh tahun tersebut sebagai perselisihan faham sepertimana bertengkarnya seorang abang dengan adik adalah tidak masuk akal! Adakah orang Kedah dan Pattani begitu takut dengan abangnya Ayuthia sehinggakan mereka sanggup mengkafirkan satu sama lain. Dan adakah adiknya si Pattani dan Kedah ini begitu nakal sehingga perlu diserang, dijarah, perempuannya dirogol, disembelih, diliwat dihadapan ibu bapa, dibelah perut bagi yang mengandung dan diseksa serta dibakar hidup-hidup. Begitulah hakikatnya yang terjadi kepada tawanan perang Siam jika Kedah dan Pattani diserang. Kejam sungguh si abang konon ini! Tambahan lagi semasa Hamzah Fansuri disana beliau tidak pernah menyebutkan bahawa beliau sedang berada di bawah kerajaan Islam.


Selain itu kitab kitab salasilah dan sejarah sama ada dari Aceh, Pasai mahupun Melaka langsung tidak ada menyebut mengenai kerajaan Islam Ayuthia. Namun semua kerajaan Islam yang terdapat di Nusantara ini malahan yang beribu batu lebih jauh daripada Aceh termasuk yang bersebelahan dengan Ayuthia sendiri disebut, iaitu KERAJAAN CHAMPA. Hubungan Champa dengan kerajaan kerajaan Islam lain memang erat terutama dengan Pattani, Kelantan, Pahang dan Johor. Semua ini kerajaan Islam. Namun tidak ada satu pun catatan sejarah daripada kerajaan-kerajaan ini yang menyatakan mengenai keIslaman Ayuthia terutama dari Champa sedangkan Champa adalah jiran paling dekat dengan Ayuthia! Malah Maluku yang nun jauh di timur pun ada hubungan diplomatik dengan Aceh kerana terdapatnya kerajaan Islam disana yang sangat membenci Portugis dan bukan melindunginya seperti di Ayuthia.


Aceh tidak akan berdiam diri sekiranya betul Ayuthia adalah Melayu DAN Islam yang melindungi Portugis, Belanda dan Inggeris. Sudah pasti Aceh dengan sekut Islam yang lain termasuk Turki akan menyerang Ayuthia. Namun mengapa tidak? Ini kerana Ayuthia bukan kerajaan Islam dan Melayu, walaupun ramai rakyatnya terdiri daripada orang Islam. Dalam sejarah Siam hanya bangsa Burma, Khmer dan Melayu sahaja yang pernah menyerang Ayuthia. Malahan bangsa Melayu Pattani pernah berjaya menawan Ayuthia untuk beberapa waktu yang singkat! Sudah terang lagi bersuluh bahawa sebenarnya Ayuthia bukan Islam tetapi kafir juga.


Jika benar Ayuthia adalah Melayu Islam maka kerajaan Turki Utmaniah pasti akan menghantar hubungan diplomatik Islam yang akan membantu dalam hal ehwal pentadbiran dan ketenteraan melawan Portugis. Namun pada masa Aceh dan kerajaan Islam lain di Nusantara sibuk melawan Portugis, kerajaan Ayuthia pula melindungi orang Portugis di kotanya. Adakah Daulah Islamiyah Turki akan membiarkan perkara ini berlaku jika benar Ayuthia adalah Islam. Tidak! Sudah pasti Ayuthia diserang kerana ia bersekongkol dengan kafir. 


Buktinya kita lihat apa yang berlaku dengan Johor dan Pahang yang bersekongkol dengan Portugis Melaka akibat disuap oleh kafir tersebut untuk melawan Aceh. Aceh akhirnya menerima arahan dari Daulah untuk menyerang Pahang dan Johor bagi memastikan kedua buah negeri itu tidak bersekongkol dengan kafir dan menawan keluarga diraja mereka serta merajakan raja yang lebih Islamis. Ini adalah fakta sejarah yang tidak dapat kita sangkal! Catatan dari sejarah Aceh dan Turki ada menyatakan bahawa tentera Aceh yang menyerang Pahang, Johor dan Portugis di Melaka itu adalah terdiri daripada askar-askar Melayu Islam. Askar Turki khas didatangkan dari Daulah untuk melatih tentera Aceh, Askar Malabari Islam dari India, Askar Gujerati Islam, Askar Habsyi atau negro dari negara-negara Afrika Islam dan Arab.


Bala tentera Aceh ini dibekalkan dengan teknologi ketenteraan tercanggih daripada kerajaan dunia yang mempunyai tentera terkuat di dunia pada masa tersebut yakni Daulah Turki Uthmaniah. Malahan kekuatan dan kehebatan tentera Turki ini disebut dalam hadis Rasulullah S.A.W. Dikatakan bahawa semasa berlakunya pengepungan Melaka, tentera Aceh telah menggunakan meriam gergasi dan senjata ALMANJANIK atau Trebuchet gergasi yang dapat menembak bebola api, bebola racun dan bebola asap! Fakta ini disokong dengan catatan yang ditemui daripada laporan pegawai Portugis yang berada di Kota Melaka ketika serangan tersebut.


Ayuthia bukanlah kerajaan Islam. Suatu ketika dahulu sebelum kedatangan orang Thai lebih kurang 800 tahun dahulu memang wujud kerajaan Melayu kuno disini namun bukan pada zaman 1600 an. Kerajaan tersebut telah sirna dek kemasukan orang Thai. Mereka melarikan diri ke selatan, timur dan seidikit di barat. Hanya segelintir Melayu yang tinggal dan berasimilasi dengan Thai. Namun sewaktu Ayuthia berada di puncak kegemilangan, ia bukan sebuah kerajaan Melayu Islam tetapi adalah kerajaan Buddha kafir yg terang terang dicatat oleh bukan sahaja pengembara barat (yang mungkin kurang dipercayai penulisannya) tetapi juga pengembara Nusantara, Islam, Arab, Parsi dan India. Malahan dalam Sulalatus Salatin dan Hikayat Raja-Raja Pasai dan banyak lagi hikayat2 Melayu tempatan yang menyatakan kekafiran kerajaan Siam tersebut. Oleh itu bukalah mata, bukalah telinga luas2 dan bukalah minda untuk menerima kenyataan tersebut.


Aceh, Aru, Barus, Banjarmasin, Martadpura, Demak, Mataram, Banten, Johor, Pahang, Perak, Kedah, Pattani, Kelantan, Terengganu, Singgora, Champa, Ternate, Bone, Mempoawah, Sintang, Deli, Palembang, Asahan, Ideragiri, Pagaruyung, Bangkahulu, Lampong, Siak, Jambi, Madura, Brunei, Magunidanau, Kota Bato, Sulu, Kutai, Samarenda, Kota Waringin, Langkat, Lingga, Natuna, Sambas, Langkat, Serdang dan banyak lagi nama-nama keultanan Melayu silam yang terdapat di Nusantara ini. Mengapa pula Ayuthia yang dipilih oleh orientalis barat untuk dipalsukan dan dipesongkan 360 darjah sejarahnya? Sedangkan banyak lagi kerajaan Islam lain ada di nusntara ini yg lebih mudah untuk ditawan dan di pesongkan sejarahnya. Melaka sendiri sudah berada dibawah jajahan Portugis namun tidak pula dikatakan Melaka dibuka oleh Portugis sebelum orang Melayu wujud disitu lagi.


Semua ini hanya mainan fakta yang dibuat oleh seorang yang berlagak tahu pasal sejarah padahal tidak pernah menerima pendidikan tinggi dalam bidang sejarah. Segala tulisan mereka hanya retorik semata-mata yang penuh dengan semangat assabiah ke Siaman. Pergilah cari ke ceruk dunia manapun samada di Belanda, England, Portugal, Jepun, China, Spain dan mana-mana arkib yang ada mencatatkan mengenai sejarah Nusantara, Siam dan Asia tenggara maka anda akan mendapati tulisan tulisan pengembara dan pencatat tersebut menyatakan dengan jelas bahawa raja-raja Siam penyembah berhala di dalam pagoda! Adakah logik sekiranya seluruh bangsa penjajah di dunia ini termasuk orang Parsi, Arab dan Melayu Nusantara dari kerajaan lain berkomplot dalam satu komplot paling besar dalam alam ini iaitu untuk memastikan agar tidak ada manusia atau haiwan di dunia ini tahu bahawa bangsa Siam adalah Islam sebenar sejak Nabi Muhammad saw diturunkan wahyu. Bangsa Siam adalah jurai keturunan Shih Huang Ti yang hidup 2500 tahun dahulu sebelum datangnya Islam, bangsa Siam menamakan seluruh tempat tempat didunia ini dan bangsa Siam adalah pembentuk monarki terulung di dunia dan memerintah hampir separuh dunia mengalahkan Genghis khan dan Iskandar Zulkarnain. Adakah logik saudara-saudara sekalian? Pikir-pikirlah sendiri. 


Saya menasihati suadara-saudara sekalian supaya jangan membutakan mata hanya kerana pihak-pihak tertentu menggunakan nama Islam sebagai dasar perjuangan mereka. Ada manusia yg perangainya lebih keji daripada syaitan dengan mempermainkan agama untuk kepentingan golongan mereka. Anda juga perlu sedar bahawa seseorang yang ber ‘ekor’ ustaz itu tidak semestinya benar sebenar-benarnya dalam setiap perkara. Mereka juga adalah manusia biasa yang terikat dengan emosi dan perasaan serta nafsu. Mereka bukan maksum walaupun mereka hafiz al quran dan hafiz hadis malah mufti sekalipun. Ingat akan hadis Nabi Muhammad saw yang mengatakan bahawa ulama sebenar-benar ulama pada akhir zaman ini adalah hampir pupus dan ulama yang banyak adalah ulama pengampu pemerintah dan yang tamak serta sayangkan dunia. Jika kita mengikut golongan ini maka kita akan sesat dan termasuk dalam golongan yg bakal difitnah Dajjal.



No comments:

Post a Comment