Ayuthia Pengaruh Keris sebenarnya bukan sahaja terhad kepada dunia Melayu sahaja malahan ianya telah melimpah ke dunia masyarakat IndoChina yang bukan dalam rumpun Melayu atau lebih tepat dikatakan orang Siam atau Thai pada zaman Ayuthia.
Pada zaman kegemilangannya, kota Ayuthia adalah diantara salah satu kota metropolitan yang terbesar di Asia Tenggara sekitar 1600 M. Raja Thai ketika itu yakni King Narai adalah diantara pemerintah Siam yang bersikap paling terbuka sepanjang sejarah kerajaan Siam. Hal ini berkemungkinan besar bertitik tolak daripada kisah hidup beliau yang banyak bercampur gaul dengan kaum-kaum asing sejak beliau kecil lagi. Keterbukaan beliau terhadap bangsa asing yang datang ke Ayuthia menyebabkan beliau tidak tergak-agak untuk memberi suaka kepada mana-mana masyarakat dari seluruh dunia yangn datang menyembah kepadanya.
Beliau dikatakan telah menyediakan kawasan-kawsan penempatan bagi para pendatang asing ini di sekitar kotanya. Antara bangsa asing yang dianggap paling awal dan paling ramai di Ayuthia pada ketika itu adalah bangsa Melayu. Menurut sumber-sumber dari Perancis, Belanda mahupun Siam sendiri, bangsa Melayu yang tinggal di Ayuthia pada peringkat awal berjumlah lebih daripada 5000 orang.
Sekitar tahun 1658-1659 Raja Narai telah membenarkan sejumlah 773 orang Minangkabau yang melarikan diri dari tanah air mereka akibat perang saudara untuk menetap di Ayuthia. Selain itu pada tahun 1664 pula baginda telah membenarkan seramai 250 orang Makassar untuk membina penempatan atau kampung mereka bersebelahan dengan perkampungan orang-orang Melayu samaada dari keturunan Minang atau Melayu Pattani yang dianggarkan ketika itu mencapai kemuncak bilangannya seramai 26 ribu orang penduduk.
Hal ini membuktikan bahawa bangsa Siam atau Thai ini juga pada suatu ketika dahulu mengamalkan sikap terbuka dan masyarakatnya adalah heterogenos sepertimana masyarakat dalam kerajaan-kerajaan Melayu di Alam Melayu. Jika kita lihat bilangan penduduk Melayu yang sangat ramai di Ayuthia adalah sangat tidak logik sekiranya tidak ada lansung kesan-kesan tinggalan masyarakat tersebut yang masih boleh kita lihat sehingga sekarang.
Sebagai contohnya rumah ibadat atau masjid. Sudah semestinya mereka ini adalah beragama Islam. Hal ini di kukuhkan dengan catatan-catatan daripada para pengembara dari Perancis dan Belanda yang mengatakan bahawa orang-orang Melayu adalah beragama Mohamedan dan bermazhab yang berbeza daripada orang-orang Parsi yang juga ramai terdapat di Ayuthia ketika itu.
Selama lebih kurang seratus tahun orang-orang Islam mendapat kedudukan yang sangat tinggi dikalangan istana Siam. Sebahagian besar daripada mereka diambil oleh pihak istana untuk menjadi pegawai kerajaan dari serendah-rendah pangkat sebagai pengawal pintu, sehinggalah kepada jawatan-jawatan penting seperti menteri dan syahbandar. Menurut satu catatan Perancis, orang Melayu terutamanya, mendapat tempat khusus dalam istana Narai. Mereka dianggap sebagai bangsa yang paling sesuai dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan raja dan kaum kerabatnya.
Oleh kerana itu ramai orang Melayu diambil sebagai pengawal peribadi kepada raja terutama orang Melayu Makassar yang di katakan handal bermain senjata dan tidak takut mati. Mereka diletakkan dalam pasuka elit diraja yang mengiringi raja kemana sahaja. Salah seorang daripada orang Melayu yang berpengaruh dalam istana Narai adalah pembesar yang bernama Raden Ibrahim. Catatan mengenai beliau ada dibuat oleh duta Parsi dari kerajaan Sasanid yang membuat lawatan rasmi ke Ayuthia. Beliau menyatakan bahawa Raden Ibrahim adalah seorang pedagang yang berjaya dan sangat berpengaruh terhadap Raja Narai.
Tambahan lagi orang Melayu Champa juga telah diserapkan dalam masyarakat Ayuthia sejak beberapa ratus tahun sebelumnya yakni apabila Kemboja dan Angkor dijarah dan dimusnahkan oleh orang-orang Thai. Kebanyakan orang-orang Champa atau Cham ini datang ke Ayuthia akibat daripada kejatuhan kerajaan Champa kepada kerajaan Annam atau Vietnam. Komuniti Melayu Champa yang beragama Islam ini memainkan peranan penting dalam masyarakat Siam di Ayuthia. Sebenarnya merekalah yang memulakan pasar terapung di Menam Chou Praya yang dibangga-banggakan oleh orang Thai. Kaum Melayu Cham juga berkhidmat di dalam pasukan tentera elit diraja Ayuthia yakni Krom Asa Cham.
Salah seorang daripada pegawai pemerintah tentera yang bertanggungjawab dalam mengepalai divisi tentera Melayu Cham ini adalah Phraya Raj Wangsan. Beliau adalah seorang Melayu Islam. Selain itu orang Melayu juga dijadikan Laksamana kepada angkatan laut Ayuthia. Salah seorang daripada laksamana Melayu ini telah di kerahkan untuk menghapuskan pemberontakan yang berlaku di Ligor yang pemerintahnya juga adalah Melayu Islam. Selain itu orang Melayu turut digaji oleh kerajaan Siam pada zaman dinasti seterusnya untuk mentadbir daerah-daerah kekuasaan Siam terutama di selatan seperti Patthalung dan Ranong. Mereka turut menjadi penterjemah dalam Istana, malahan ada diantara anak-anak perempuan mereka menjadi isteri dan gundik kepada raja Siam.
Catatan sejarah Ayuthia juga ada menyebut tentang para pegawai Melayu yang berkerja sebagai polis atau pengawal kepada keselamatan sesebuah penempatan, antaranya ialah Koja Ishak and Khun Raja Setdhi. Mereka berdua dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan kawasan penempatan Islam. Tambahan lagi golongan agamawan dan mistik Melayu juga seperi Ulama dan Orang Sufi turut memainkan peranan dalam istana Ayuthia. Sebagai contohnya pada zaman pemerintahan Raja Taksin setelah Baginda berjaya merampas semula Ayuthia daripada Burma, Baginda dikatakan selalu mendapatkan nasihat dan panduan sprirtual daripada tokoh-tokoh Melayu seperti Toh Rid, Toh Thong and Toh Nok. Toh adalah pelat Siam bagi perkataan Tok atau Datok yang bererti seorang yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat Melayu.
Maklumat ini adalah sesuatu yang amat menarik bagi saya. Dalam buku The Ship Of Sulaiman juga penulis ada menyatakan mengenai perilaku orang-orang Makassar yang tidak pernah lekang dengan keris mereka baik lelaki mahupun wanita. Orang Makassar juga dikatakan sering mempersembahkan tarian-tarian yang mempunyai unsur trance atau bersawai dan menunjukkan kekebalan mereka dengan menikam badan mereka sendiri. Orang Makassar juga ditakuti kerana kepakaran mereka dalam Ilmu kebal dan jampi serapah yang lainnya. Oleh sebab itulah mereka dijadikan pengawal diraja.
Oleh kerana besarnya pengaruh orang-orang Melayu di dalam istana kerajaan Narai maka penggunaan keris sebagai senjata rasmi para pegawai kerajaan telah dilaksanakan. Kesemua para pegawai istana Raja Narai pada zaman tersebut mengenakan keris di pinggang sebagai salah satu alat kebesaran seperti mana kebiasaan orang-orang Melayu. Oleh sebab itulah pada suatu ketika dahulu pernah memaparkan gambar seorang menteri Siam yang berpakaian bangsawan Siam serta mengenakan keris di pinggang.
Pemakaian keris dalam istana pada zaman itu adalah perkara yang menjadi kelaziman kerana Raja Narai sendiri suka memakai senjata Melayu tersebut. Hal ini boleh jadi akibat daripada pengaruh orang-orang Melayu yang amat kuat di istana pada ketika itu dan orang Melayu sudah diketahui sejak dahulu kala lagi tidak akan sekali-kali berpisah dengan keris mereka walau dimana mereka berada sekalipun kerana ia adalah sebahagian daripada pakaian mereka.
Berkemungkinan besar juga pembesar berkeris seperti dalam lakaran tersebut adalah pembesar berketurunan Melayu. Hal ini kerana telah diketahui melalui catatan pengembara barat bahawa ramai orang-orang Melayu Islam yang dijadikan pegawai istana malah ada yang berpangkat menteri. Namun sudah menjadi adat kebiasaan orang Thai atau Siam untuk memastikan agar semua rakyatnya tidak mengira bangsa untuk menggunakan nama dan gelaran bahasa Thai, jadi kita tidak akan tahu dengan tepat samada pembesar yang menggunakan keris tersebut betul-betul orang thai atau adalah bangsa Melayu.
Para pegawai Melayu di istana Ayuthia juga ramai yang dipertanggung jawabkan untuk menyelenggara hal ehwal perdagangan dan hubungan antara bangsa. Berkemungkinan besar diplomat atau menteri hubungan luar Ayuthia yang amat terkenal itu yakni Kosa Pan adalah seorang Melayu. Namun akibat daripada revolusi dan penstrukturan semula kebudayaan dan kebangkitan semangat nasionalisme Thai yang melampau pada zaman Dinasti Chakri, maka segala yang tidak ada kaitan dengan bangsa Thai dihapuskan dari lembaran sejarah mereka. Maka benarlah kata-kata yang menyatakan bahawa sejarah adalah milik pemenang.
Catatan daripada seorang pengembara Perancis mengesahkan lagi dakwaan bahawa keris yang digunakan dalam istana Ayuthia adalah berasal daripada pengaruh Melayu. Disini saya lampirkan catatan tersebut yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris:
"I have often said that the city of Campeng Pet is famous for its mines of excellent iron. Local people forge weapons according to their usage, such as swords, daggers and knifes. The knife, which they call pen is used by everybody and is not considered as a weapon, although it may be used as such; the blade is three to four fingers wide and a foot long. The king gives the sword and the dagger. They wear the dagger on their left side, slightly on front. Portuguese call it "christ", a deviation from the word crid, which Siamese use. This word comes from the Malay language and is famous in the Oriental world, and the crids made in Achem, in the island of Sumatra, are considered as the best of all. As for the sword, it is always carried by a slave in front of his master, on the right shoulder, like we hold or muskets on the left side."
sumber: Simon de La Loubère "Du royaume de Siam" 1691
Jelas daripada kenyataan pengembara tersebut bahawa Keris telah digunakan dalam istana Siam sebagai sebuah sejata kehormat yang hanya boleh diperolehi melalui pemberian daripada raja sepertimana adat dalam kerajaan-kerajaan Melayu. Keris dijadikan sebagai lambang kuasa bagi pembesar dalam istana. Penulis juga menyatakan bahawa Keris yang terbaik dan yang mungkin digunakan oleh pebesar-pembesar dalam istana Ayuthia adalah dari Aceh. Sudah pastinya Keris ini diimport dari sana, yakni sebuah kerajaan Melayu yang sama kuat dan sama hebatnya dengan Ayuthia pada zaman tersebut. Satu lagi catatan seorang pengembara barat yang berada di Ayuthia dapat memberikan penjelasan tetang kepentingan Keris kepada bangsa Melayu:
"This captain [the Macassar captain], with no hesitation, answered «I agree, but they will disembarked armed.» Then, looking at him and smiling : «Are we in war? I asked him. - No, he answered: but the crit that I have on my side, and which is the weapon that we wear, is such a honor among us that we could not leave it without infamy.» I could not reply to this argument, I agreed, not thinking that what seemed to me such a despicable weapon would be as dangerous as I would later experience it.
This crit is a kind of dagger, a foot long and an inch and half wide at the bottom; it is wavy, the tip like a snake tongue, made of a good tempered steel; it is as sharp as a razor, and on each side; it is enclosed in a wooden sheath, and never leaves it."
sumber: Le voyage du Comte de Forbin à Siam - 1685-1688
Kenyataan pengembara tersebut juga dapat menyangkal hipotesis tentang Broadsword yang digunakan oleh salah seorang Raja Siam pada zaman berikutnya sebagai sebuah keris kerana ternyata para pengembara baik Portugis, Belanda, Perancis mahupun Inggeris amat tahu dan arif mengenai senjata Melayu yang satu ini dan mereka juga tahu bagaimana rupanya sebuah keris yakni dari segi ukuran dan bentuknya serta loknya yang beralun-alun seperti ular. Jika Raja Narai dan para pembesar berbangsa Thainya berkeris sekalipun, ini bukan bermakna mereka adalah Islam dan Melayu.
Sebuah unsur kebudayaan itu boleh dipinjam atau diserap oleh bangsa lain, malahan ianya boleh ditiru atau diadaptasi oleh bangsa lain untuk dijadikan sebahagian daripada budaya mereka. Sebagai contohnya pemakaian kain pelekat yang asalnya adalah pakaian orang-orang Tamil dari Calicut akhirnya menjadi pakaian kebangsaan bangsa Melayu Nusantara, begitu juga dengan pemakaian songkok yang turut berasal daripada budaya India. Masyarakat Melayu juga ada menyerap banyak unsur-unsur fizikal kebudayaan lain antaranya dalam makanan tradisi kita kari, roti canai malahan teh tarik juga adalah berasal dari India Selatan. Adakah dengan hanya memakan kari dan meminum teh tarik serta roti canai menjadikan kita Hindu dan India. Tidak sama sekali.
Begitu jugalah dengan pemakaian keris di dalam istana kerajaan Ayuthia. Malahan untuk membuktikan bahawa ianya hanyalah budaya yang dicedok dari orang Melayu, dapat kita lihat bahawa setelah pengaruh orang Melayu dan orang Islam secara amnya merosot sebaik sahaja pengaruh Kristian semakin berleluasa di Istana Narai dan setelah berlakunya pemberontakan Makassar dan Melayu di Ayuthia maka kita tidak melihat lagi keris digunakan di istana-istana Siam terutama pada zaman dinasti chakri yang anti bangsa lain.
Bukan sahaja pengaruh Melayu yang hilang dari istana Siam, malahan Raja Narai sendiri digulingkan oleh pembesar dan rakyatnya yang merasa kurang senang dengan sikap raja mereka yang terlalu bebas membenarkan orang asing berkuasa dalam kerajaan. Segala aspek dan kebudayaan baru yang telah atau cuba diterapkan oleh Raja Narai dalam kerajaan sewaktu pemerintahannya telah cuba ditutup dan dikambus oleh raja-raja dan pembesar kemudiannya. Malahan istana Raja Narai di Lopburi yang banyak mendapat pengaruh Parsi dari segi senibinanya juga dimusnahkan kerana ada unsur-unsur bangsa asing. Ianya tidak ada kena-mengena dengan bangsa Siam itu Islam.
No comments:
Post a Comment