Ketahuilah, tujuan pencipta alam ini menjadikan kita adalah semata-mata untuk diriNya dikenal sebagaimana firmanNya yang bermaksud “Aku khazanah yang tersembunyi maka Aku suka dikenali oleh sebab itu Aku jadikan makhluk agar ia mengenaliKu.” Kemudian Ia jadikan Nur Muhammad selaku makhluk pertama yang dijadikanNya dan dari Nur Muhammad itu dijadikanNya alam semesta ini. Maka wujudlah dunia ini dan segala makhluk lain didalamnya termasuklah kita yakni manusia. Awal-awal bangsa manusia yang dijadikan ialah seorang lelaki yakni Adam didalam syurga yang jasadnya berasal daripada tanah bumi manakala rohnya terus berasal daripada Nur Muhammad. Didalam syurga, Adam telah pun mengenali penciptanya malah bentuk kejadian Adam adalah mengikut wajah penciptaNya. Kemudian manusia kedua yang dijadikan ialah seorang perempuan yakni Hawa yang jasadnya dijadikan daripada tulang rusuk kiri Adam manakala rohnya terus berasal daripada Nur Muhammad.
Adapun tujuan penciptaan manusia adalah untuk mendiami muka bumi sebagai khalifah maka Sang Pencipta menjadikan asbab turunnya Adam dan Hawa ke muka bumi dari syurga melalui kelupaannya dan penglaknatanNya terhadap Azazil (Iblis) yang akhirnya dengan dendamnya terhadap Adam, ia berjaya membuatkan Adam dan Hawa terpedaya dengan memakan buah larangan dari pohon khuldi. Kemudian Sang Pencipta berfirman kepada Adam, “Turunlah kamu semua dari surga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, niscaya tidak ada kekhawatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” Maka turunlah Adam dan Hawa ke muka bumi dan beranak-pinak untuk mengembangkan zuriat diatasnya.
Adapun petunjuk yang dimaksudkan didalam firman itu tiada lain melainkan petunjuk ke jalan yang benar yakni petunjuk kepada jalan bagi memperkenalkan diriNya kerana pada hakikatnya manusia dijadikan untuk tujuan itu. Masa terus berlalu dan manusia yang mendiami bumi semakin ramai yang terpesong dari petunjuk Sang Pencipta oleh ulah Iblis. Kemudian Sang Pencipta mengutuskan selepas kewafatan Adam a.s rasul-rasulNya kepada seluruh umat manusia demi memperbetulkan kembali jalan mereka. Dalam proses itu betapa ramai rasul-rasul dari kalangan Bani Israel yang telah dibunuh oleh umatnya sendiri (yahudi) lantaran kebutaan hati mereka untuk memahami firman-firman Sang Pencipta.
Akhirnya diangkat seorang Rasul yang terakhir dari bangsa Arab bernama Muhammad ibn Abdullah pada ketika usianya 40 tahun yang digelar al-Amin oleh kaumnya lantaran sikapnya yang tidak pernah mendatangkan mudharat kepada orang lain samada dengan lidahnya atau perbuatannya. Beliau dan kaumnya sejak awal beriman dengan Tuhan yang bernama Allah yang ditaati oleh nabi Ibrahim yang membawa agama samawi namun dizaman beliau agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim itu telah berlaku penyelewengan yang serius terutama pada sudut aqidah, ibadah dan akhlak. Pada nabi Muhammad diberi Al-Quran untuk meluruskan kembali aqidah, ibadah dan akhlak ummah disamping sebagai pelengkap kitab-kitab yang telah diturunkan sebelumnya kepada nabi Daud (kitab Zabur), nabi Musa (kitab Taurat) dan nabi Isa (kitab Injil).
Kepada rasulNya yang ummi ini, Allah memperkenalkan hakikat diriNya dan memperkenalkan kedudukkan makhluk disisiNya yang kemudian dari itu menjadi tanggungjawabnya pula untuk disebarkan kepada umatnya. Awal-awal pengenalan tentang diriNya yang diwahyukan kepada Muhammad melalui Jibril di gua Hira’ ialah memperkenalkan keTuhananNya bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Menjadikan segala sesuatu (96:1) dan yang Maha Mengetahui segala hal ehwal makhlukNya (96:2) bahkan hal ehwal yang tersembunyi. Kemudian demi kemuliaanNya (96:3) Ia ajarkan kepada manusia akan ilmu-ilmuNya melalui perantara (96:4). Jadi adalah jelas berdasarkan firman pertama yang diwahyukan kepada Muhammad ini bahawa Ia memperkenalkan diriNya adalah berkedudukan sebagai Tuhan semesta alam yang menjadikan segala sesuatu bahkan Ia mengetahui hakikat segala sesuatu samada yang nyata atau yang tersembunyi dan Ia akan mengajarkan ilmu-ilmuNya kepada manusia secara langsung melalui perantara.
Kemudian dalam firmanNya yang lain yang bermaksud, “sesungguhnya Aku bernama Allah, tiada ilah melainkan Aku maka taatilah Aku, dirikanlah solat untuk mengingatiKu.” Maka Sang Pencipta yang berkedudukkan sebagai Tuhan itu akhirnya memperkenalkan diriNya bernama Allah malah kewujudanNya adalah tunggal. Firman Allah yang berbunyi “la illaaha illa ana” dalam ayat diatas sebenarnya bukanlah sekadar sebagai ayat penyata untuk Allah menyatakan tentang ketunggalanNya bahkan lebih jauh daripada itu sebagai perintah agar manusia mencari jalan untuk mengetahui bagaimanakah tunggalnya Allah itu yang akhirnya menjadi asas kepada berdirinya ilmu tawhid terlangsung menjadi kunci pembuka khazanah makrifatullah bagi manusia. Makrifatullah itulah Awaluddin.
Oh alangkah dukacita kerana nabi Muhammad saw telah tiada maka zaman kegemilangan Islam yang menjadi aturcara hidup suci telah kembali kepada suasana kelam jahiliyah. Memang Muhammad saw telah membekalkan Al-Quran dan sunnahnya kepada umat zaman ini namun Al-Quran dan sunnah itu seolah-olah tidak dapat membentuk siasah diri mereka lantaran Al-Quran dan sunnah hanya dijadikan sekadar simbol keislaman umat yang mengaku islam sedangkan Al-Quran dan sunnah menuntut kita agar mengamalkan isi kandungannya iaitu makrifatullah sebelum melaksanakan hukum Allah. Inilah sebenar-benarnya syariat Allah dan Rasul. Melaksanakan hukum Allah tanpa terlebih dahulu makrifatullah maka natijahnya dizaman ini akan kita saksikan betapa ramai ulama-ulama su’ yang bakal lahir dan yang lebih membimbangkan apabila mereka akan menduduki kerusi-kerusi dijabatan agama. Inilah punca kekelaman ad-din apabila ‘awaludin makrifatullah’ diabaikan. Lihat sahajalah bagaimana ad-din ini telah diperkosa semahu-mahunya oleh pemerintah yang mengamalkan aturcara hidup kafir. Hati menangis siapalah yang tahu.
Dari Anas bin Malik ra katanya Rasulullah saw bersabda, “Sebahagian diantara tanda-tanda hari kiamat ialah hapusnya ilmu, berjangkitnya kejahilan, melimpahnya minuman keras dan berleluasanya penzinaan.”
Perhatikan, bukankah dengan banyaknya pembuangan bayi dan pengguguran janin yang berlaku dalam masyarakat sekarang ini sebagai tanda berleluasanya penzinaan? Bukankah dengan banyaknya pusat-pusat hiburan yang diberi permit oleh pihak berkuasa untuk beroperasi telah dijadikan sebagai medium penjualan arak secara berleluasa? Bukankah dengan ramainya masyarakat yang melanggar syariat serta berlumba-lumba untuk menyertai acara-acara hiburan dengan diwujudkan program seperti program Reality TV sebagai tanda berjangkitnya kejahilan? Dan bukankah telah terjadi dizaman ini pewartaan terhadap ilmu dan amal ahli Tasawuf difatwakan sebagai ajaran sesat oleh penguasa agama dan larangan mengajarkannya disurau dan dimasjid sebagai tanda terhapusnya ilmu-ilmu makrifatullah? Maka saksikanlah bahawa kita ini sedang duduk pada zaman dimana tanda-tanda kiamat telah pun berlaku. Maka ke manakah tempat untuk mengadu sedang Rasulullah saw telah bersabda,
Dari ‘Abdullah bin ‘Amru bin ‘Ash katanya dia mendengar Rasulullah saw bersabda, “Allah tidak menghapuskan ilmu dengan cara mencabutnya dari dada seluruh manusia tetapi dengan jalan mewafatkan para ulama. Apabila ulama sudah habis, umat manusia mengangkat orang-orang bodoh menjadi pemimpin mereka. Lalu mereka bertanya kepada para pemimpin yang bodoh. Si pemimpin memberi fatwa tanpa pengetahuan, menyesatkan orang banyak maka sesatlah mereka semua.”
Ilmu yang dimaksudkan dalam kedua-dua hadis diatas ialah ilmu untuk mencapai makrifatullah dan ulama yang dimaksudkan ialah ulama pewaris nabi yakni ulama yang mewarisi ilmu-ilmu nubuwah yakni makrifatullah. Ketahuilah, makrifatullah ini untuk mendapatkannya tiada didalam silibus ilmu Feqah, ilmu Kalam atau ilmu Falsafah melainkan jika seseorang itu mengamalkan ilmu-ilmu Tasawuf. Maka dalam masyarakat yang telah mengalami kehuru-haraan ad-din ini kepada ulama pewaris nabi inilah sewajibnya sebagai tempat dituju dan merekalah yang bergelar guru-guru Mursyid.
No comments:
Post a Comment