Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Manam B. Mohammad
Al-Qur’an dan hadis menyebut tentang persoalan zikir dengan menyentuh pelbagai aspek dan kaitan. Antaranya menyentuh tentang perintah dan galakan melakukan zikir, kelebihan zikir, hakikat zikir, kaifiyyat melakukan zikir, waktu keutamaan melakukan zikir, hubungan zikir dengan perkara-perkara lain, kesan dan faedah zikir, golongan ahli zikir dan sebagainya lagi. Antara perkara yang disebut tentang zikir ini ialah suruhan supaya memperbanyakkan dhikrullah. Terdapat banyak ayat al-Qur’an dan hadis yang menyuruh supaya memperbanyakkan zikir. Antaranya ialah firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan Allah dengan ingatan yang banyak.
Demikian juga saranan supaya memperbanyakkan zikir ditemui dalam banyak hadis Nabi s.a.w., antaranya diriwayatkan bahawa seorang lelaki bertanyakan Nabi s.a.w. dengan berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ شَرَائِعَ الْإِسْلَامِ قَدْ كَثُرَتْ عَلَيَّ فَمُرْنِي بِأَمْرٍ أَتَثَبَّتُ بِهِ فَقَالَ لَا يَزَالُ لِسَانُكَ رَطْبًا بِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam begitu banyak ke atas diriku, maka suruhlah aku dengan sesuatu yang aku boleh menekuninya”. Baginda bersabda “Lidahmu sentiasa basah dengan dhikrullah”.
Apakah sebenarnya hakikat zikir yang banyak? Seseorang itu tidak mencapai peringkat zikir yang banyak sehinggalah dia mengingati Allah dalam semua keadaan dan ketika iaitu satu tingkatan di mana zikir sudah menjadi sesuatu yang hidup dalam hati, sebati dengan diri dan berterusan.
Hakikat ini dapat dilihat pada tafsiran yang diberikan oleh para ulama. Mengenai zikir yang banyak ini Ibn `Abbas menjelaskan bahawa ia bermaksud engkau tidak lupa kepada Allah selama-lamanya. Dalam riwayat yang lain Ibn `Abbas menjelaskan bahawa zikir yang banyak itu ialah zikir dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring, malam dan siang, di daratan dan lautan, dalam pelayaran dan menetap, dalam keadaan kaya dan miskin, sihat dan sakit, tersembunyi dan terang-terangan, dan dalam setiap keadaan.
Pendapat Ibn Abbas ini diperkukuhkan dengan pendapat Mujahid di mana beliau menjelaskan bahawa seseorang itu tidak dikira sebagai orang yang banyak ingat kepada Allah sehinggalah dia ingat kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring. Demikian juga al-Mawardi di mana beliau menjelaskan bahawa terdapat dua pendapat dalam menjelaskan maksud zikir yang banyak ini iaitu zikir hati secara berterusan yang membawa kepada taat kepadaNya dan menjauhi maksiatNya, dan zikir lisan yang banyak.
Oleh itu dapat dikatakan bahawa hakikat zikir yang banyak itu ialah zikir yang hidup dalam hati dan berterusan. Keadaan ini tidak tercapai menerusi lisan dan fikiran, tetapi tercapai menerusi dhawq (rasa hati) dan wujdan (dapatan batin). Ia pada asasnya tidak tercapai dengan mudah dan dalam sekelip mata, tetapi perlu kepada latihan rohani dan tunjuk ajar daripada orang-orang yang berkeahlian dalam perkara ini. Wallahu a’lam.
Oleh itu dapat dikatakan bahawa hakikat zikir yang banyak itu ialah zikir yang hidup dalam hati dan berterusan. Keadaan ini tidak tercapai menerusi lisan dan fikiran, tetapi tercapai menerusi dhawq (rasa hati) dan wujdan (dapatan batin). Ia pada asasnya tidak tercapai dengan mudah dan dalam sekelip mata, tetapi perlu kepada latihan rohani dan tunjuk ajar daripada orang-orang yang berkeahlian dalam perkara ini. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment