Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Siapa sangka? Lahir di Iraq tapi dikebumikan di Kg Sungai Pusu Gombak! Itu yang berlaku kepada Prof. Dr. Irfan dan Dr. Baha’uddin, 2 pensyarah UIAM yang berasal dari Iraq. Siapa sangka lahir di Malaysia tetapi meninggal dunia di ruang udara Ukraine. Itu pula yang berlaku kepada mangsa nahas kapal terbang MH 17. Siapa pula tahu, al-Marhum Tuan Guru Datok Dr. Harun Din, lahirnya di Perlis tapi disemadikan di California, Amerika Syarikat. Jarak antara dua lokasi ini beribu batu jauhnya.
Apabila mengenang “lokasi semadi” Tuan Guru Datok Harun Din, iman kita kepada Allah sepatutnya mencanak naik. Hebat sekali Allah yang merencanakan segala sesuatu. Benar sekali firman Allah ini:
إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Ertinya: Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); DAN TIADA SEORANGPUN YANG DAPAT MENGETAHUI DI BUMI NEGERI MANAKAH IA AKAN MATI. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya (Luqman[31:34]).
Siapa tahu? Ketika malaikat diarah meniup roh ke dalam janin Tuan Guru Datok Harun Din pada usianya 4 bulan, tarikh dan tempat matinya sudah ditetapkan Allah berlaku di bumi California Amerika Syarikat yang nun jauh di sana. Benar sekali sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ وَيُقَالُ لَهُ اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ الرُّوحُ
Ertinya: Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian ia menjadi segumpal darah selama itu juga (40 hari), kemudian ia menjadi seketul daging selama itu juga (40 hari), kemudian dihantar kepadanya malaikat lalu diarahkan agar menulis 4 perkara. Lalu dikatakan kepada malaikat itu: Tuliskan perihal amalannya, kadar rezekinya, ajalnya dan sama ada dia menjadi orang yang celaka (sebagai ahli neraka) atau bahagia (sebagai ahli syurga). Kemudian ditiup padanya ruh (Sahih al-Bukhari, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad).
Ketika mengulas ayat misteri tempat mati yang ditetapkan bagi manusia, Imam Ibn Kathir membawa sebuah hadith, sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إِذَا أَرَادَ قَبْضَ رُوحِ عَبْدٍ بِأَرْضٍ جَعَلَ لَهُ فِيهَا أَوْ قَالَ بِهَا حَاجَةً
Ertinya: Sesungguhnya apabila Allah mahu mencabut roh hambanya di sebuah bumi, dijadikan bagi hambaNya itu sesuatu hajat (urusan) di bumi tersebut (Musnad Ahmad & Sahih Ibn Hibban)(Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani).
Ketika mengulas ayat 34 surah Luqman di atas, para mufassir membawa sebuah riwayat Isra’iliyyat yang mengkisahkan satu peristiwa ajaib pada zaman nabi Sulayman AS.
“Pada suatu hari Malaikat Maut bertemu dengan nabi Sulayman AS. Malaikat Maut terpaku melihat seorang lelaki dalam majlis nabi Sulayman. Lelaki itu bertanya kepada baginda AS: “Siapakah dia ini?” Nabi Sulayman menjawab: “Dia adalah Malaikat Maut.” Lelaki itu berkata: “Seakan-akan dia mahu mencabut nyawaku, wahai tuanku suruhlah si angin agar ia membawaku jauh ke negeri Hind.” Nabi Sulayman pun melaksanakan permintaan lelaki tersebut. Sesudah itu Malaikat Maut berkata: “Sebenarnya aku melihatnya kehairanan kerana aku diarahkan Allah agar mencabut nyawanya di negeri Hind sedangkan (dalam beberapa ketika sebelum matinya) dia masih berada bersamamu.” (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Baydawi dan Tafsir al-Nasafi).
Mati adalah misteri Allah. Tiada siapa tahu tarikh mati dan di bumi mana dia akan mati atau dikebumikan. Apa yang pasti, ikatan sempadan negara hanya berlaku di alam zahir ini. Alam barzakh yang menjadi negeri persinggahan sementara sebelum sampai alam akhirat pastinya tiada sempadan ruang dan masa seperti alam dunia. Orang beriman seperti al-Marhum Tuan Guru Datok Harun Din mungkin sedang berbahagia di sana bersama orang beriman yang lain. Ya Allah! Jadikan kubur Tuan Guru kami ini sebagai sebuah taman antara taman syurgaMu. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment