Antara pesanan yang disampaikan oleh Sheikna Youssef Bakhour Al Hasani, 11 Mei 2016, Markas Dar Hasani El Wahah, Misr.
Jika kau mencintai seseorang kerana sesuatu atau kerana kau mahukan sesuatu daripadanya, kau lah yang bodoh dan memurahkan cintamu. Cinta adalah cinta. Sama ada orang yang kau cintai itu faham atau tidak, terpulang kepada mereka dan bawalah cinta itu sehingga kau bertemu Allah s.w.t. Jangan sibukkan diri dengan apa yang orang lain fikirkan, atau apa yang mereka lakukan dan apa yang kau inginkan daripada mereka. Sebab fikiran ini hanya meletihkan kau tanpa sebab yang munasabah.
Cinta adalah satu-satunya modal yang menjadikan kita sebagai manusia, ketika kita kehilangan cinta, maka kita kehilangan segala-segalanya. Kehilangan terbesar adalah kehilangan nilai kita sebagai seorang manusia. Mungkin ada sesetengah orang yang tak memahami kau. Biarkanlah mereka. Kau boleh sahaja kehilangan orang yang kau cintai, tetapi kau tidak boleh kehilangan nilai cinta yang ada dalam diri kau, kerana cinta itu sudah menjadi sebahagian dari dirimu, sifatmu.
Kita tidak boleh memaksa orang untuk menjadi seperti apa yang kita inginkan. Tetapi yang paling penting kita tidak boleh kehilangan diri kita sendiri. Setelah berlalunya masa nanti dan semakin meningkatnya usia, kita akan dibangunkan dengan satu kesedaran bahawa kita adalah milik-Nya, kita datang daripada Dia dan kita akan kembali kepada Dia, Allah s.w.t.
Maka temuilah Dia dengan membawa sifat cinta ini, kerana menjadi satu kecelakaan ketika kita bertemu dengan Dia tanpa sifat yang satu ini, iaitu cinta. Mustahil membuat semua orang gembira, tetapi kecelakaan la ketika kita kehilangan diri kita, sifat cinta yang ada dlm diri. Ketahuilah cinta ini adalah nikmat yang datang daripada Allah s.w.t, jangan sampai kau kehilangannya dan percayalah padaku bahawa tiada makna daripada kehidupan ini tanpa nikmat cinta.
Duit boleh datang dan pergi, begitu juga ilmu pengetahuan, kawan-kawan dan kesihatan. Tetapi sifat cinta ini, ketika engkau kehilangannya, maka engkau kehilangan dirimu keseluruhannya sebagai seorang manusia.
No comments:
Post a Comment