Ujian paling awal yang akan ditempuhi para calon pengikut tarekat ialah perkara berkaitan niat. Apakah motivasi yang mendorongnya masuk tarekat itu betul-betul didasari oleh niat ikhlas semata-mata menjalankan perintah Allah dan Rasulullah, atau terdapat niat-niat yang lain. Kenyataannya tidak sedikit orang masuk tarekat telah tersasar pada tapisan yang pertama ini lantaran salah soal "nawaitu". Ada yang niat kerana mengikuti ajakan kawan, niat mencari kesembuhan, niat mencari kemakmuran ekonomi atau malas kepada orang tuanya. Ada pula niat untuk kepimpinan dan kemegahan di mata masyarakat, ada yang niat supaya menguasai ilmu pengubatan, ada yang niat untuk kesaktian serta sebagainya.
Bagi penempuh jalan tarekat seharusnya berhati-hati pada kesalahan niat ini, kerana ianya akan mempengaruhi keberhasilannya kelak. Dan setelah masuk tarekat, kerap kali akan muncul godaan-godaan yang mengiringi para penempuhnya. Ada godaan yang timbul dari luar diri kita seperti persoalan beratnya perekonomian, fitnah dari orang lain, masalah pekerjaan, masalah keluarga dan lain-lain. Ada pula godaan yang muncul dari dalam diri kita sendiri seperti berikut:
Sebelum Dan Ketika Amaliyah
1). Kasal: Ertinya malas. Malas untuk menjalankan ibadah kepada Allah S.W.T, pada hal sebenarnya mereka mampu dan sanggup untuk melaksanakannya. Kasal ini seringkali menghantui dalam fikiran dan hati manusia yang berniat menjalani amali tarekat. Kesempatan ada, kemampuan juga ada tetapi malas untuk melaksanakannya. Terkadang untuk menutup rasa malasnya supaya tidak dipersalahkan orang lain, maka ia akan berusaha mencari-cari alasan dan argumentasi agar tidak dipersalahkan kerana kemalasannya tersebut.
2). Futur: Ertinya bimbang dan ragu-ragu atau lemah bila bersendirian dan tidak memiliki tekad yang kuat. Terkadang muncul keraguan dalam hati, apakah amalan yang baik tersebut perlu dilaksanakan atau tidak. Adakalanya bimbang kerana terbayang-bayang beratnya untuk menjalani amalan tersebut, terkadang bimbang apakah ia akan dapat merasakan hasil atau manfaatnya, atau hanya sia-sia saja. Adakalanya bimbang apakah ia mampu menghadapi rintangan-rintangannya, atau ia bimbang kerana keliru manakah yang lebih penting antara urusan duniawi atau urusan ukhrawi.
3). Malal: Ertinya bosan dan jenuh. Kadangkala hati manusia dihantui oleh fikiran dan perasaannya sendiri kerana sudah menjalani pelbagai macam amali yang baik dalam tarekat, sudah berpuluh-puluh tahun lamanya tetapi tetap saja tidak ada peningkatan rohani atau kesejahteraan yang dapat dirasakannya, sehingga menganggap bahawa amali baik yang sudah dilaksanakannya selama ini seperti tidak ada manfaatnya. Akhirnya bosan dan jemu, kemudian beribadah secara ala kadarnya daja, bahkan muncul sifat meremehkan terhadap amal ibadah tersebut.
Timbulnya hal-hal tersebut adalah disebabkan kurang kuatnya keimanan, kurang mantapnya keyakinan dan banyak terpengaruh oleh hawa (nafsu / kepentingan peribadi)-nya sendiri. Apabila hal-hal tersebut dibiarkan saja bersarang dalam fikiran dan hati kita, maka boleh mengakibatkan gagalnya mencapai tujuan dalam bertarekat. Na'uzubillahi min zalik, wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment