Ketahuilah bahwa di sisi Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rah dan sekalian para pengikutnya telah tsabit bahwa pada setiap insan terhimpun Sepuluh Latifah. Begitulah juga seperti yang telah dikatakan oleh Guruku kepadaku bahwa lima Latifah adalah dari Alam Amar dan lima Latifah lagi adalah dari Alam Khalaq. Alam Amar dan Alam Khalaq adalah alam yang berada dalam lingkungan Daerah Imkan. Lima Latifah Alam Amar itu adalah:
1 Qalb
2 Ruh
3 Sirr
4 Khafi
5 Akhfa
Lima Latifah Alam Khalaq itu adalah:
1 Nafs
2 Angin
3 Api
4 Air
5 Tanah
Ruhaniah setiap insan telah diciptakan dengan Bayangan Sifat-Sifat Allah s.w.t dan ianya berasal dari Alam Amar. Santapan Ruhaniah adalah cahaya Nur Allah yang dapat diperolehi dari Alam Amar menerusi Baginda Rasulullah s.a.w yang mana kedudukannya di Alam Keruhanian adalah seumpama Matahari di dalam sistem cakrawala.
Ada dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa Baginda Rasulullah s.a.w diibaratkan sebagai cahaya yang terang dan sesungguhnya Allah s.w.t telah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai suatu sumber keberkatan yang sempurna lagi terpilih. Kesemua Para Nabi dan Rasul menerima limpahan keberkatan dari Baginda. Sewaktu Allah s.w.t menciptakan rupa bentuk jasmani bagi insan, dikurniakannya juga lima Lataif Alam Amar di beberapa kedudukan pada badan manusia dan mengurniakannya takluk keasyikan.
Adapun bagi Alam Amar, kedudukan Latifah Qalb itu terletak pada tetek kiri pada anggaran dua jari di bawah puting dan cenderung sedikit ke arah ketiak. Kedudukan Latifah Ruh adalah di bawah tetek kanan pada jarak dua jari di bawah puting.
Kedudukan Latifah Sirr adalah pada tetek kiri pada jarak dua jari ke arah dada. Kedudukan Latifah Khafi adalah pada tetek kanan pada jarak dua jari ke arah dada dan kedudukan Latifah Akhfa adalah pada tengahtengah dada. Allah s.w.t mengurniakan takluk keasyikan pada Lataif Alam Amar ini di tubuh badan manusia.
Takluk Alam Amar ini akan mencapai peningkatan Ruhani setelah disucikan sehinggalah kita dapat mengenali diri kita dan asal usul kita yang merupakan cahaya Nur yang tersembunyi dalam tubuh jasmani yang gelap dan zulmat ini.
Adapun bagi Alam Khalaq, kedudukan Latifah Nafs itu adalah di antara kedua-dua kening yang mewakili otak dan akal manusia. Ia juga merujuk kepada nafsu seseorang. Seterusnya adalah Latifah Qalibiyah yang terdiri dari empat anasir iaitu Tanah, Air, Api dan Angin. Ia ada pada seluruh bahagian tubuh badan jasmani manusia. Sepertimana Alam Amar, Alam Khalaq juga perlu disucikan kerana dengan menyucikannya akan membawa seseorang itu kepada peningkatan Ruhaniah, pengenalan diri dan asal-usul hakikat kejadian diri.
Ruhaniah Para Masyaikh adalah suci dan sentiasa hidup di sisi Allah sepertimana hidupnya Para Syuhada di sisi Allah kerana mereka kesemuanya berjuang di Jalan Allah demi menegakkan Kalimah Allah setinggi-tingginya. Mereka adalah orang yang berjaya mencapai hakikat kehidupan yang kekal di sisi Allah s.w.t.
1. LATIFAH QALBI: Titik kedudukannya pada tubuh badan jasmani adalah pada jarak dua jari di bawah tetek kiri dan cenderung sedikit ke arah ketiak. Latifah Qalb juga disebut Latifah Adami adalah dari takluk Alam Malakut yakni Alam Para Malaikat dan ianya merupakan pusat ‘Arash Mu’alla Allah Ta’ala di dalam diri Insan. Latifah Qalb adalah suatu pusat perhentian di Alam Amar. Sifat yang dikurniakan Allah dengan Latifah Qalb ialah pendengaran dan ianya merupakan Tajalli Sifat Allah As-Sami’ iaitu Yang Maha Mendengar.
Mendengar merupakan suatu sifat utama Para Malaikat kerana mereka dijadikan oleh Allah Ta’ala untuk mendengar segala perintahNya dan taat. Seseorang Salik perlu menggunakan sifat pendengarannya untuk mendengar seruan Agama Islam dan mengamalkan Syari’at Nabi Muhammad s.a.w. Para Sahabat r.a memiliki sifat Sami’na Wa Ata’na iaitu mendengar dalam ertikata yang sebenar yang mana apabila mereka mendengar sebarang perintah dari Allah Ta’ala dan RasulNya s.a.w mereka akan terus mentaatinya.
Alam Malakut adalah wilayah Nabi Adam a.s dan merupakan tingkatan langit pertama di atas ‘Arash. Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Nabi Adam a.s terlimpah pada Latifah Qalb Nabi Muhammad s.a.w dan terlimpah kepada sekelian orang yang beriman.
Cahayanya adalah dari langit yang pertama dan warna Nurnya adalah kekuningan. Seseorang Salik yang telah sempurna penyucian Latifah Qalbnya menerusi Tasfiyatul Qalb maka akan terhasillah padanya Kashful Qulub yakni pandangan mata hatinya celik dan memperolehi Basirah serta Kashaf iaitu melihat perkara-perkara yang Ghaib menerusi mata hati.
2. LATIFAH RUH: Titik kedudukannya pada tubuh badan adalah pada anggaran dua jari di bawah tetek kanan. Latifah Ruh juga disebut sebagai Latifah Ibrahimi adalah bertakluk dengan Alam Jabarut yakni Alam Para Ruh atau dikenali juga sebagai Alam Arwah.
Sepertimana Latifah Qalb, Latifah Ruh ini juga merupakan suatu pusat perhentian di Alam Amar. Sifat yang dikurniakan dengan Latifah Ruh ialah melihat dan ianya juga merupakan Tajalli dari Sifat Allah Al-Basir Yang Maha Melihat dan As- Syahid Yang Maha Menyaksi. Melihat dan menyaksikan adalah sifat-sifat yang Allah Ta’ala kurniakan kepada Ruh ketika berada di Alam Amar.
Seluruh Para Ruh bersaksi bahawa Allah Ta’ala adalah Rabb, Tuhan Yang Maha Pemelihara. Melihat, memerhati dan menyaksi adalah suatu sifat utama bagi Ruh. Sifat ini ada pada diri zahir iaitu melihat dengan kedua biji mata zahir dan sifat ini juga ada pada diri batin iaitu menerusi pandangan mata hati iaitu Basirah. Seseorang Salik perlu melihat tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala dan memerhatikan perjalanan Tariqatnya agar sentiasa selari dengan petunjuk Baginda s.a.w, banyak mengucapkan Selawat dan membaca Al-Quran.
Alam Jabarut adalah wilayah Nabi Ibrahim dan Nabi Nuh a.s. Latifah Ruh merupakan tingkatan langit kedua di atas ‘Arash. Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Nabi Ibrahim dan Nabi Nuh a.s terlimpah pada Latifah Ruh Rasulullah s.a.w. Cahayanya adalah dari langit yang kedua dan warnanya adalah kemerahan. Seseorang Salik yang telah sempurna penyucian Latifah Ruhnya akan terhasillah Kashful Qubur yakni terbukanya pandangan ghaib tentang alam kehidupan sesudah mati di dalam kubur. Dia juga akan dapat berhubungan dengan Ruh-Ruh Para Masyaikh yang telah meninggal dunia dan mengambil limpahan keruhanian dari mereka dengan menziarahi maqam-maqam yang menjadi tempat pengkebumian mereka.
3. LATIFAH SIRR: Titik kedudukannya pada tubuh badan adalah pada tetek kiri dengan anggaran dua jari ke arah tengah dada. Latifah Sirr juga disebut sebagai Latifah Musawi adalah dari taklukan Alam Lahut yakni Alam Bayangan Sifat-Sifat Allah Ta’ala dan merupakan suatu pusat perhentian di Alam Amar.
Sifat yang Allah Ta’ala kurniakan dengan Latifah Sirr adalah menyentuh. Latifah Sirr adalahn suatu alam di mana tersimpannya segala rahsiarahsia tentang Bayangan Sifat-Sifat Allah Ta’ala dan seharusnya menjadi rahsia bagi seseorang Salik.
Latifah Sirr merupakan tahap di mana seseorang Salik itu akan mengalami perbualan dengan Zat Yang Maha Suci di dalam hatinya di mana dia akan berinteraksi dengan limpahan cahaya dari Zat dan akan mendengar suara-suara Ketuhanan di dalam dirinya.
Alam Lahut adalah wilayah Nabi Musa a.s yang telah dapat berkata-kata dengan Allah dan telah mendengar suaraNya. Alam Lahut merupakan tingkatan langit yang ketiga di atas ‘Arash. Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Nabi Musa a.s terlimpah pada Latifah Sirr Baginda Rasulullah s.a.w. Cahayanya adalah dari langit yang ketiga dan warna Nurnya adalah keputihan.
Menurut Imam Rabbani Mujaddid Alf-Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rah, seseorang Salik akan mengalami Jazbah pada tahap ini iaitu penarikan dan penyatuan dengan Cahaya Allah Ta’ala. Apabila dia mengalami Jazbah untuk menuju kepada Rahmat Allah maka dia digelar Majzub. Dan menurut beliau, ini merupakan tahap Sukr yakni Ruhaniah seseorang itu akan mabuk dalam melihat kebesaran Allah s.w.t.
4. LATIFAH KHAFI: Titik kedudukannya pada tubuh badan adalah pada tetek kanan dengan anggaran dua jari ke arah tengah dada dan Latifah Khafi ini juga disebut sebagai Latifah ‘Isawi adalah bertakluk dengan Alam Bahut yakni Alam Sifat-Sifat Allah Ta’ala.
Ia juga merupakan suatu pusat perhentian di Alam Amar yang berada di atas ‘Arash Mu’alla. Allah Ta’ala mengurniakan sifat menghirup beserta dengan Latifah Khafi dan ianya menampilkan bunyi yang tersembunyi pada perkataan-perkataan Allah s.w.t.
Apabila sesuatu perkataan itu tertulis terdapat bunyi yang dikaitkan dengannya namun bunyi tersebut tidak akan didengari melainkan apabila perkataan itu disebutkan. Maka itulah bunyi adalah tersembunyi dan terkandung didalam huruf-huruf pada perkataan tersebut. Ia hanya menantikan masa untuk terzahir apabila bunyi huruf-huruf perkataan itu disebutkan. Seseorang Salik akan memperolehi pengetahuan dan ilham dengan sentiasa membaca Al-Quran dan Asma Al- Husna. Salik juga akan menghirup wangi-wangian ketika berada dalam kehadiran Zat.
Karena itulah menjadi Sunnah Rasulullah s.a.w untuk memakai wangi-wangian. Adapun pada tubuh badan Baginda s.a.w sentiasa terbit keringat yang harum kerana Baginda sentiasa berada dalam kehadiran Zat Allah s.w.t pada setiap masa dan keadaan.
Di Alam Bahut ini terdapatnya rahsia-rahsia yang tersembunyi tentang Sifat-Sifat Allah Ta’ala dan ia merupakan wilayah Nabi Isa a.s. Alam Bahut ini berada pada tingkatan langit yang keempat di atas ‘Arash dan cahaya Nur serta keberkatan daripada Nabi Isa a.s yang berada pada langit keempat itu terlimpah pada Latifah Khafi Nabi Muhammad s.a.w dengan cahaya kehitaman.
Seseorang Salik perlu meninggalkan Sifat Basyariyat iaitu sifat-sifat kemanusiawian. Menurut Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rah bahawa seseorang yang telah mencapai Latifah Khafi, dia akan mengalami Hairat Sughra yakni ketakjuban yang kecil karena dapat merasai Kehadiran Allah s.w.t.
5. LATIFAH AKHFA: Titik kedudukannya pada tubuh badan adalah pada tengah dada di antara Latifah Sir dan Latifah Khafi dan ianya bertakluk dengan Alam Hahut yakni Alam Zat Allah Ta’ala. Latifah Akhfa juga disebut sebagai Latifah Muhammadi. Alam Hahut berada pada tingkatan yang kelima di atas ‘Arash pada Alam Amar. Pada Latifah Akhfa tersembunyinya rahsia-rahsia yang lebih dalam tentang Hakikat Zat Ketuhanan Allah Ta’ala. Alam ini adalah suatu alam yang sunyi di sisi Allah s.w.t.
Seseorang Salik akan merasai kehadiran Zat ketika melakukan sunyi diri dengan Allah s.w.t. Kerana itulah Nabi Muhammad s.a.w sering bersunyi diri dengan melakukan Khalwat Saghirah di Gua Hira’. Alam Hahut merupakan wilayah Baginda Rasulullah s.a.w dan berada pada tingkatan langit yang kelima di atas ‘Arash. Cahaya Nur serta limpahan keberkatan dari Baginda Rasulullah s.a.w di Alam Hahut itu terlimpah pada Latifah Akhfanya dengan cahaya kehijauan. Menurut Para Masyaikh Naqshbandiyah, hati Ruhaniah seseorang itu adalah biasan dari hati Ruhaniah Rasulullah s.a.w yang disebut Haqiqat Muhammadiyah.
Hati Ruhaniah ini menampilkan Bahrul Qudrah yakni Lautan Kekuasaan Allah Ta’ala yang merupakan sumber kejadian awal sekelian makhluk. Barangsiapa yang dapat mencapai ilmu pengetahuan tentang hati, akan mampu mencapai kefahaman tentang kebenaran Haqiqat Kenabian, Nur Muhammad dan Haqiqat Muhammadiyah s.a.w. Limpahan cahaya Nur Muhammad s.a.w berada di dalam lautan kekuasaan Bahrul Qudrah itu.
Setiap alam yang berada di Alam Amar merupakan suatu alam yang lengkap dengan membawa ciri-ciri yang tertentu. Ada sebilangan Masyaikh yang mengaitkan latifah-latifah Alam Amar ini dengan bunyi dan sunyi yang mana mereka menyatakan bahawa Latifah Qalb, Ruh, Sir dan Khafi adalah berada pada tingkatan zikir bunyi manakala Latifah Akhfa pula berada pada tingkatan zikir sunyi.
Sunyi bererti menjauhkan diri dari sebarang bentuk bunyi yang bersifat zahir kemudian menjadikan hatinya sentiasa bersunyian dengan Zat Allah s.w.t. Akhfa merupakan maqam Fana sehingga seseorang Salik itu mencapai erti sunyi yang hakiki di mana bunyi sekelian makhluk juga telah terlenyap.
Apabila telah terlenyapnya segala bunyi yang tinggal hanyalah sunyi dan sunyi merupakan suatu bunyi yang tidak diketahui. Lenyapnya bunyi makhluk tidak bermakna lenyapnya bunyi dari Zat Yang Maha Suci bahkan akan tetap terus kedengaran bunyi-bunyian yang bertasbih memuji kesucian ZatNya. Kesemua bunyi-bunyi ini adalah bersumber dari Zat Yang Maha Suci dan mengambil tempat di dalam lautan kekuasaan Bahrul QudrahNya.
Ada Para Masyaikh yang menyatakan bahwa, “Sunyi adalah bunyi dari Zat.”
Apabila seseorang Salik maju atas jalan Tariqat sehingga dia mencapai Fana, Murshid akan melimpahkan ilmu yang berkaitan dengan alam-alam di Alam Amar tersebut ke dalam hati Muridnya.
Antara maksud yang utama adalah untuk sampai ke pusat perhentian Alam Hahut di Latifah Akhfa ini karena ianya merupakan tempat persinggahan terakhir bagi Alam Amar dan merupakan tempat yang tertinggi bagi lautan kekuasaan Allah Ta’ala di mana Allah Ta’ala mula-mula menjadikan Nur Muhammad s.a.w.
Kelima-lima maqam bagi Lataif yang berada di dalam dada tersebut merupakan pusat perhentian dan ianya bagi menyatakan suatu perjalanan menuju kepada penyatuan dengan Zat Allah s.w.t menerusi cahaya Kenabian Nabi Muhammad s.a.w kerana Baginda s.a.w adalah satu-satunya manusia yang telah benar-benar mencapai Zat Allah s.w.t. Kemuliaan ini Allah s.w.t kurniakan ketika peristiwa Mi’raj iaitu perjalanan menaiki tingkatan-tingkatan langit menuju kepada Zat Allah s.w.t.
6. LATIFAH NAFS: Kedudukannya ialah pada otak dan titiknya ada di bahagian dahi di antara dua kening. Takluknya adalah dengan Alam Khalaq yakni alam ciptaan yang berada di bawah ‘Arash. Ia adalah tempat penzahiran ‘Aqal manusia yang bersifat halus pada otak yang berada di dalam tempurung kepala.
Perkataan Nafs lazimnya merujuk kepada diri seseorang atau jiwa pada tahap yang rendah atau keakuan diri seseorang. Sifat semulajadinya terdiri dari sifat-sifat kemanusiawian dan kehaiwanan. Perkataan Nafs juga merujuk kepada perkataan Nafas yang bererti pernafasan dan perkara ini merupakan suatu intipati dalam perkerjaan zikir kerana ia merupakan sumber tenaga dan menjadi asas sebilangan besar Tariqat.
Sebilangan Para Sufi berpendapat perkataan Nafs ini merujuk kepada peringkat kejiwaan yang merangkumi seluruh minda, emosi dan keinginan dalam diri seseorang. Menurut Syeikh Shahabuddin As-Suhrawardi Rah, Nafs ada dua pengertian:
Nafs Syaik - Iaitu zat dan hakikat bagi sesuatu benda.
Nafs Natiqah - Suatu kehalusan dalam Ruhaniah manusia yang disebut Jiwa dan ianya bercahaya serta dikurniakan sifat keakuan. Dengan cahayanya tubuh badan menjadi tempat yang terdedah kepada berbagai jenis kejahatan dan kebaikan.
Mengenali Nafs dengan segala sifatnya adalah sukar kerana ia bersifat seperti seekor sumpah-sumpah yang boleh bertukar rupa pada sebilangan keadaan dengan warna yang berbeza.
Mencapai Ma’rifat tentang Nafs dengan segenap ilmu pengetahuan mengenai sekelian sifatnya adalah di luar kemampuan sebarang makhluk. Adalah sukar untuk mencapai Ma’rifat tentang Nafs sepertimana sukarnya mencapai Ma’rifat tentang Tuhan.
Nafs diciptakan dengan unsur keakuan diri dan ia mudah dipengaruhi Syaitan kerana adanya persamaan sifat angkuh dan bongkak dalam diri Syaitan dengan sifat keakuan yang ada pada Nafs. Tujuan Syaitan menghasut Nafs melakukan kejahatan adalah untuk mengotorkan Qalb kerana apabila Nafs seseorang itu dikotori, Qalbnya juga akan turut dikotori. Hubungan Nafs dengan Qalb adalah dengan kelajuan cahaya dan kedua-duanya ibarat cermin yang memantulkan cahaya masing-masing antara satu sama lain.
Latifah Nafs adalah tempat perjalanan Ruhaniah melalui tingkatan nafsu-nafsu. Ada sebilangan Masyaikh yang meletakkan tiga tingkatan nafsu iaitu Nafsu Ammarah, Lawwamah dan Mutmainnah. Ada sebilangan Masyaikh yang meletakkan lima tingkatan nafsu iaitu Nafsu Ammarah, Lawwamah, Mutmainnah, Radhiyah dan Mardhiyah. Ada juga Para Masyaikh yang menetapkan tujuh tingkatan nafsu iaitu Nafsu Ammarah, Lawwamah, Mulhammah, Mutmainnah, Radhiyah, Mardhiyah dan Kamiliyah.
Penyucian Latifah Nafs ini dinamakan sebagai Tazkiyatun Nafs di mana Para Masyaikh meletakkan berbagai ujian bagi menguji tahap nafsu Para Murid. Ujian-ujian tersebut berupa Mujahadah Nafs bagi menundukkan kakuan diri dan keinginan hawa nafsu. Sebagaimana yang dinyatakan bahawa terdapat tujuh tingkatan Nafs yang perlu dilalui oleh setiap Salik seperti berikut:
1. Nafsu Ammarah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap kehaiwanan iaitu pada kedudukan yang rendah, tidak mengenali hakikat diri dan tidak mengenal hakikat Tuhan, boleh menjadi lebih buas dari binatang dan sentiasa mengingkari perintahperintah Allah s.w.t. Tahap nafsu ini berada pada tingkatan yang rendah dan perlu disucikan dengan Taubat dan Istighfar untuk menuju pada tingkatan yang lebih tinggi supaya dimuliakan oleh para Malaikat. Apabila nafsu Ammarah ini dapat dikuasai sepenuhnya, peribadi manusia itu akan menjadi lebih baik dari Para Malaikat setelah dia menjalani latihan penyucian diri di bawah asuhan seorang Murshid yang sempurna. Nafsu Ammarah sentiasa mengajak diri mengingkari Allah dan Rasul, menurut ajakan Syaitan, bergelumang dengan dosa-dosa besar dan maksiat, bertabiat dan bertingkah laku buruk, bernafsu seperti haiwan yang buas. Sentiasa memuaskan kehendak hawa nafsu dan bersikap mementingkan diri sendiri.
2. Nafsu Lawammah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap mula menyedari keingkaran dan sifat buruk yang ada pada dirinya dan berasa menyesal apabila melakukan perbuatan yang buruk dan tidak baik. Dia mula untuk berasa bersalah kerana menurut keakuan dirinya semata-mata dan lebih mementingkan diri sendiri. Dia akan melakukan Taubat dan Istighfar tetapi akan kembali kepada perlakuan dosa dan maksiat kepada Allah dan Rasul. Kesedarannya baru terbit tetapi tidak kukuh. Dia perlu menjalani latihan untuk menerbitkan rasa kesedaran dan insaf pada setiap masa serta menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t kerana jika tidak, dia akan kembali terjerumus ke dalam kancah keburukan.
3. Nafsu Mulhammah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap yang lebih kerap menyesali dirinya kerana mengingkari hukum dan perintah Allah dan Rasul, kesedaran untuk insaf semakin bertambah tetapi masih belum mampu meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat. Dia belum menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah kerana keakuan dirinya belum Fana atau dimatikan. Walaubagaimanapun keinginan untuk kembali sepenuhnya kepada Allah terasa amat dekat. Dia akan diilhamkan dengan amalan kebaikan yang dapat mendekatan diri kepada Allah s.w.t. Dengan latihan keruhanian dan asuhan Murshid dia akan berjaya mematikan keakuannya. Kerana itu amat penting bagi Murid untuk mendapat bimbingan Murshid kerana seseorang itu tidak akan mampu mencapai penyucian Nafsu Mulhammah ini dengan bersendirian melainkan melalui seorang Murshid secara zahir dan batin. Dia perlu berzikir dengan kalimah Ismu Zat iaitu Allah Allah sebanyak-banyaknya di dalam hati sehingga terbit ketenangan.
4. Nafsu Mutmainnah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berjaya mencapai Fana. Dia berjaya mematikan keakuan dirinya dan menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t. Apabila keakuan dimatikan maka akan lahirlah Bayi Maknawi dari diri insan. Insan bersifat pelupa dan apabila keakuan insan itu dimatikan maka akan lahirlah daripada dirinya, dirinya yang sebenar yang diertikan oleh Syeikh Abdul Qadir Jailani sebagai Tiflul Ma’ani. Pada tahap ini keimanan seseorang itu menjadi semakin teguh dan kukuh. Dia perlu mendawamkan zikir kalimah Ismu Zat pada setiap latifah sehingga sempurna Sepuluh Lataif dan kekal dalam Syuhud. Ruhnya berjaya mencapai ketenangan pada Nafsu Mutmainnah dengan berkat limpahan dan asuhan Murshid.
5. Nafsu Radhiyah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu telah diserahkan sepenuhnya kepada Allah dan dia redha dengan apa jua yang datang dari Allah. Tidak mementingkan apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku. Dia menumpukan kesedarannya pada kehadiran Zat Yang Suci pada setiap masa. Dia hanya menjadikan Allah sebagai maksud dan sentiasa menuntut keredhaan Allah. Dia sentiasa merasakan dirinya lemah di hadapan Allah dan sentiasa bergantung penuh kepada Allah s.w.t. Dia mengetepikan segala kepentingan Dunia dan Akhirat demi Allah Ta’ala semata-mata.
6. Nafsu Mardhiyah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu telah tenggelam dalam lautan Syuhud. Dia menyaksikan Kebesaran Allah dengan cahaya Musyahadah dan mencapai ‘Irfan. Dia berenang di lautan Makrifat mengenali hakikat diri dan hakikat Tuhannya. Ruhnya telah aman damai di sisi Allah s.w.t dan jiwanya menjadi lembut terhadap sesama makhluk dan zahirlah akhlak yang baik serta mulia dari dirinya.
7. Nafsu Kamiliyah - Pada tingkatan ini keakuan diri seseorang itu telah mencapai penyucian yang sempurna dan berjaya menjadi insan yang sempurna dengan menuruti segala Sunnah Baginda Nabi Muhammad s.a.w yang mana merupakan insan yang paling sempurna. Zahir mereka bersama manusia di dalam khalayak ramai dan menghadiri majlis mereka namun batin mereka sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga memerhatikan limpahan faidhz dari Allah s.w.t.
Zikir mereka pada tingkatan ini adalah sentiasa bermuraqabah. Penyerahan mereka sempurna dan Allah menzahirkan tanda-tanda KekuasaanNya menerusi hamba tersebut. Dia menyerah kepada segala ketentuan Taqdir dan melaksanakan kewajibannya sebagai hamba dengan sebaik-baiknya. Ini merupakan tingkatan Para Nabi dan Rasul a.s dan inilah merupakan tingkatan Para Sahabat r.a dan tingkatan sekelian Wali Qutub.
Syeikh Shahabuddin As-Suhrawardi Rah telah menyatakan bahawa terdapat sepuluh sifat buruk yang ada pada Nafs dan ianya adalah berasal dari unsur-unsur seperti panas, sejuk, lembab dan kering seperti berikut:
1. Hawa
2. Nifaq
3. Riya
4. Mengaku Tuhan
5. Bangga Diri
6. Tamak
7. Haloba
8. Banyak Ketawa
9. Malas
10. Lalai
Dari sepuluh sifat yang buruk ini terbit berbagai lagi sifat-sifat yang buruk seperti hasad dengki, iri hati, bersangka buruk, putus asa dan sebagainya. Ada sebilangan Masyaikh yang menganggap Nafs dan Qalb adalah sama kerana pada penghujungnya mereka mendapati Nafs Mutmainnah adalah jiwa yang tenang serta menganggap jiwa letaknya pada hati. Mereka menganggap tiada perbezaan antara kedua-duanya. Sebenarnya Qalb dan Nafs adalah dua perkara yang berbeza tetapi memiliki tanggungjawab yang sama iaitu untuk disucikan dari segala sesuatu selain Allah dan menumpukan ingatan terhadapNya serta menggunakan kemampuan Qalb dan Nafs untuk Ma’rifat Allah Ta’ala dan seterusnya sentiasa menghadapkannya kepada Wajah Allah s.w.t. Kedua-duanya merupakan dua pusat perhentian utama yang mewakili Alam Amar dan Alam Khalaq. Qalb adalah pusat perhentian bagi Alam Amar dan Nafs adalah pusat perhentian bagi Alam Khalaq.
Seseorang Salik yang telah sempurna menempuh Alam Amar bermakna dia telah berjaya menempuh Daerah Wilayah Sughra yakni daerah kewalian kecil dan merupakan Alam Bayangan Sifat Allah s.w.t. Menurut mam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih, apabila seseorang Salik telah sempurna menempuh Daerah Wilayah Sughra maka bermulalah Fana yang sebenarnya dan Salik akan terus menuju kepada Daerah Wilayah Kubra yakni daerah kewalian yang besar.
Daerah Wilayah Kubra ini berada dalam Bayangan Nabi Muhammad s.a.w iaitu dalam menuruti Sunnah Baginda s.a.w. Ianya merupakan daerah kewalian Para Nabi dan terdapat tiga setengah daerah di dalamnya iaitu Daerah Ula, Daerah Tsaniah, Daerah Tsalisah dan setengah Daerah Qaus. Setelah Salik sempurna menjelajah daerah-daerah ini pada Latifah Nafsnya dia akan meneruskan perjalanan Ruhaniahnya merentasi Daerah ‘Ulya iaitu daerah Para Malaikat yang tinggi kedudukannya di sisi Allah s.w.t. Seterusnya Salik hendaklah menyucikan Latifah Qalibiyahnya iaitu anasir yang empat terdiri dari Tanah, Air, Api dan Angin. Pada tingkatan ini seseorang Salik tidak lagi memerlukan sebarang asbab luaran untuk mencapai Kehadiran Zat Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment