Friday, January 29, 2016

SIAPAKAH AKU..?

Kita selalu merujuk diri kita seagai AKU. Kita berkata, "Ini Aku" , "Ini Aku punya", "Ini badan Aku", "Nama Aku si-anu", dan "Nama bapa Aku si-anu", dan sebagai nya. Pernahkah kita terfikir siapakah AKU kita itu? Apakah AKU kita itu? Siapa sebenarnya AKU itu? Pernahkah anda terbayang apakah AKU kita itu? Sebenarnya AKU kita ini adalah ROH kita, bukan badan kasar ini. Badan kasar ini akan mati sekiranya tiada ROH. Sekiranya tiada ROH, badan kita akan hancur binasa.

ROH kita inilah diri kita yang sebenarnya,. ROH ini hidup dan tidak akan mati. ROH inilah juga zat diri kita. ROH ini juga limpahan Yang Maha Hidup iaitu Allah SWT. Allah itu hidup. Dia mempunyai sifat Hayat. Maka hidup(ROH) kita adalah limpahan dari Hayat Allah itu. ROH ini juga digelar "bayangan" Yang Maha Hidup itu. ROH itu bayang kepada Yang Empunya Bayang. Yang Empunya Bayang itu ialah Allah, dan ROH kita itu adalah ibarat "bayangan" Allah itu. Demikian pendapat-pendapat ahli-ahli Sufi. 

Allah itu tidak kelihatan, Maha Ghaib dan tidak ada sesuatu pun yang seumpama denganNya. Bagaimana kita dapat tahu adanya sesuatu yang tidak kelihatan dan tidak terperikan. Ibarat angin, kita tidak nampak angin, tetapi bagaimana kita tahu angin sedang bertiup dan angin itu ada?  Jawabnya, kita tahu adanya angin itu kerana ada kesannya. Bila daun pokok bergoyang, kita tahu angin sedang bertiup. Kalau kita rasa hembusan, maka itu adalah hembusan angin, sebagainya.  Goyangan daun dan rasa hembusan itu adalah tanda-tanda adanya angin. Kita tidak nampak angin tetapi kita tahu adanya angin melalui tanda-tandanya.

Demikian jugalah keadaannya dengan Allah SWT. Kita tidak nampak DIa, tetapi kita rasa dan percaya adaNya melalui tanda-tandaNya. Tanda-tanda Allah itu ialah alam semesta raya ini. Tanda-tanda ini dalam bahasa Arab ialah “kalam". Oleh itu, alam semesta raya dan diri kita ini adalah kalam-kalam Allah belaka. ROH sangat tinggi martabatnya, melebihi peringkat malaikat. Tempatnya disisi Allah yang Maha Tinggi. ROH inilah yang mengenang Allah (zikrullah) seolah-olah kerjanya mengenang Allah sahaja. Seolah-olah makan minumnya "zikrullah" sahaja.

ROH yang suci ini sentiasa mentauhidkan Allah Yang Maha Suci. Najis padanya ialah menyekutukan Allah. ROH ini sangat cinta kepada Allah SWT. Ia memuja dan memuji Allah sentiasa. Allah itu kekasihnya. Cukuplah Allah itu baginya. Demikian perhubungan Allah dengan ROH, menurut pandangan ahli-ahli Sufi.
Tahukah kita bahawa AKU kita itu adalah ROH yang datang dari Allah, hidup dengan Allah, dan kembali kepada Allah. Allah itulah pengkalan tempat bertolak, lautan yang dilayari dan pelabuhan tempat berhenti. Jika dikaji dalam-dalam kita akan sedar dalam pandangan kerohanian bahawa Allah itu adalah tempat permulaan perjalanan kita. Dialah tempat perjalanan itu sendiri, dan Allah itu jugalah destinasi akhir perjalanan hidup ini.

Tempat bertolak, perjalanan dan destinasi yang dimaksudkan disini bukanlah dari segi pandangan fizikal yang tertakluk kepada ruang dan waktu.  Tempat perjalanan dan destinasi yang dimaksudkan di sini ialah dari segi pandangan rohaniah, perasaan dan khayalan (thought) kita. AKU atau ROH kita adalah tanda-tanda atau tanda kalam Allah. ROH itu juga bayanganNya dan penzahiranNya.

Dari segi pandangan kerohanian,  Allah itulah Yang Awal, Yang Akhir, Yang Batin dan Yang Zahir. AKU yang paling dalam itu bersifat kerohanian. Jika AKU itu dibersihkan pandangannya melalui zikrullah dan latihan kerohanian orang-orang Sufi, maka AKU itu akan mencapai satu tahap pandangan dimana ia rasa wujud ini adalah Esa juga.  Menurut pandangan ini, wujud itu ada bertingkat-tingkat, bertahap-tahap, dan pelbagai aspek, namun ia tetap satu. Segala yang ada kelihatan, baik yang zahir mahupun yang batin, semuanya satu wujud sahaja, pada hakikatnya. Inilah pandangan AKU yang paling dalam. Sekali lagi diulangi bahawa AKU kita itu adalah ROH kita dan itulah juga diri kita sebenarnya. AKU itu juga adalah ayatollah (tanda-tanda Allah) kerana seluruh alam raya, yang ghaib dan yang nyata, adalah tanda-tanda wujudnya Allah SWT.

AKU itu juga digelar ROHULLAH (ROH Allah) kerana ROH itu adalah hembusan dari ROH Allah atau limpahan dari ROH Allah. AKU itu juga digelar Nurullah ( cahaya Allah) kerana setiap roh itu adalah cahaya. Digelar cahaya kerana setiap yang menampakkan sesuatu digelar cahaya . Nabi-Nabi itu cahaya Allah kerana melalui Nabi-Nabi itu kita dapat mengenal Allah melalui ajaran dan didikan mereka. ROH itu cahaya kerana melalui ROH itu kita kenal dan ‘nampak' Allah. AKU itu juga digelar Ma'lum dalam ilmuNya. Ma'lum ertinya ‘yang diketahui'. Allah itu ‘alim ( yang mengetahui). Setiap yang mengetahui tentu berpengetahuan (berilmu). Allah itu berilmu, sebab itulah ia ‘alim. Setiap yang ‘alim tentu ada ilmu dan ada perkara yang diketahuinya. Perkara yang diketahui itu digelar Ma'lum (yang diketahui). Allah itu ada ilmu dan dalam ilmuNya ada Ma'lum. ROH kita ini termasuk dalam ilmu Allah. Maka ROH kita itu Ma'lum Allah. Maka itulah dikatakan ROH itu Ma'lum dalam ilmu Allah.

AKU atau ROH itulah yang dapat mengenal Allah SWT bukan badan kasar ini yang mengenalNya. Melalui ROH itu kita mengenal Allah. Wadah atau bekas tempat Allah mentajallikan (menzahirkan) dirinya kepada kita ialah ROH kita. ROH itu digelar juga hati. Bukan hati fizikal itu tetapi hati yang bersifat kerohanian. ROH itu memiliki kesadaran (consciousness). Kesedaran tentang wuudnya Allah dan sifat-sifatNya yang terzahir dalam alam semesta raya ini. Yang melihat penzahiran atau tajalli itu ialah ROH kita. AKU ini memang hampir dengan Allah. AKU dan Allah tidak bercerai-berai dari dulu, sekarang dan selamanya. Ibarat ombak tidak bercerai dengan laut. Dari sudut manapun Wujud Semesta Raya itu tetap mengelilingi AKU. Ia meliputi AKU dari kiri, kanan, atas, bawah, depan, belakang, luar, dalam bahkan dari mana sahaja. " Hampir" dan "Mengelilingi" itu bukanlah dari segi ruang dan waktu yang boleh diukur dengan panjang, lebar, dalam, atau dari segi masa dan waktu. Hampir dan mengelilingi itu adalah dari segi pandangan rohaniah atau kerohanian. Hanya orang yang berada dalam pengalaman rohaniah sahaja yang faham akan maksudnya.

Wujud semesta itu "meliputi", "merangkumi", "berpadu", dan "bersatu" dengan AKU. AKU terserap dalam Wujud Semesta ini. Dari segi AKU atau ROH atau diri, wujud AKU "diliputi oleh Wujud Yang Esa dan Semesta" itu. Kelihatan pada AKU bahawa Allah itu batin dan AKU itu zahirnya. Allah itu hakikat dan AKU itu bayanganNya. Dia asal dan AKU terbitanNya. Dia elektrik dan AKU lampu. Dia dalang dan AKU boneka. Gerak AKU digerakkan olehNya. Memang AKU itu ada(maujud). Wujud AKU dengan limpahan Wujud Yang Maha Agung (iaitu Allah yg Wajibal ujud ). Hidup AKU limpahan HayatNya. AKU mengetahui dgn limpahan IlmuNya. Berkuasanya dan berkehendaknya AKU adalah limpahan Khudrat dan IradatNya. Aku berkehendak dan Dia lagi maha berkehendak . Kehendak AKU tertakluk kepada IradatNya. "Limpahan" disini bererti kurniaan atau terbitan atau penzahiran atau dijadikan ataupun kesan.

Yang Maha Wujud itu Allah. AKU dan alam semesta raya adalah limpahan nama-nama dan sifat-sifat Yang Maha Wujud itu. Setiap nama dan sifat Allah terzahir pada AKU dan alam semesta raya ini. AKU ini ada sifatnya iaitu hayat atau hidup, ilmu atau pengetahuan, pendengaran, penglihatan, kudrat atau kuasa, iradat atau berkehendak, dan berkata-kata. Semua sifat-sifat ini adalah limpahan dari sifat-sifat Allah belaka. AKU yang hakiki itu tiada bercerai dan tiada terpisah dengan sifat-sifat Allah dan Allah itu sendiri. Wujud AKU itu sebenarnya ada di Wujud Semesta Raya itu. AKU yang bersifat rohaniah semata-mata itu terasa cukup baginya Allah sahaja. Allah itulah segala-galanya bagi AKU. Kepada Allah itulah AKU itu mengadu dan berharap. Pandangannya tertumpu pada Allah. Tenggelamlah AKU itu dalam lautan Ketuhanan Allah Yang Maha Luas dan Dalam.

Dalam keadaan perasaan dikembalikan ke dalam Lautan Ketuhanan Yang Maha Luas dan Dalam itu, AKU tidak berasa takut, tidak berasa dengki, tidak berasa kecil hati sesama makhluk. Pada pandangan AKU itu, makhluk itu hakikatnya tiada apa-apa. Wujud makhluk bukan hakiki, hanya bayangan sahaja iaitu bayangan wujudnya Allah. Hanya Allah jua yang wujud. Namun AKU tidak akan menjadi DIA (iaitu Allah). AKU tetap AKU, DIA tetap DIA. Walaupun AKU dan DIa "bercerai" tetapi "tidak bertanggal”. AKU tidak boleh bersatu dengan DIA. Bagaimana AKU nak bersatu kerana AKU sebenarnya tiada. Yang ada hanyalah DIA..! Yang nampak itu sebenarnya tiada. Yang tidak nampak itulah sebenarnya ada. AKU tidak patut dipuji kerana ia "kosong". Yang Maha Wujud Hakiki hanya Allah. AKU tidak memuji Ghairullah ? selain Allah) kerana Ghairullah itupun kosong juga. Yang patut dipuja dan dipuji hanya yang Wujud Hakiki itu sahaja....Allah Allah Allah Yang Wajibal ujud.

No comments:

Post a Comment