Tuesday, April 19, 2016

INSAN ITU SULTAN, HATI ISTANA KOTANYA

Hati upama kubu pertahanan yang sangat besar dan sangat kukuh. Setiap saat dan ketika, kubu sebegini sentiasa mempertahankan pemiliknya daripada serangan musuh,  di samping itu juga menangkat tuannya membawa pelbagai persembahan ufti ketaatan berupa amal soleh kepada Allah SWT, Raja segala raja menguasai segala alam semesta. 

Pentingnya kubu ini mempertahankan wilayah perhambaan daripada ditakluki oleh musuh sebenar bergelar iblis dan tenteranya yang benar-benar mahukan agar manusia tidak lagi menghantar ufti ketaatan perhambaan kepada Allah SWT. Sebaliknya jika mereka berjaya,  akan bertukarlah pemerintahan hati yang di uruskan oleh nafsu dan syahwat,  bukan lagi diperintah oleh iman dan takwa kepada Allah. 

Maka hati yg upama sebuah kubu yang sangat besar dan kuat ini, sangat teguh jika berjaya mematahkan serangan musuh,  tetapi sebenarnya dalam masa yang sama sangat banyak kelemahan jika tidak dijaga dengan baik,  khususnya kubu ini mempunyai terlalu banyak pintu. Dan memang adat binaan,  semakin besar binaan,  semakin perlu lah kepada banyaknya pintu untuk urusan keluar masuk. 

Bertalu-talulah semua perkara maknawi keluar masuk masuk ke dalam hati,  antara yang khusyuk dan yang leka,  antara yang tamak haloba dan berpada dengan dunia.  Semuanya berkisar antara taat dan pahala,  antara ubudiyyah dan derhaka. Berkisar antara nafsu dan takwa.  Tidak mungkin dapat mengawal kubu kecuali dengan menjaga pintunya.  Tidak mampu juga menjaga pintunya kecuali orang yang tahu di mana letak setiap pintu.  

Pintu-pintu yang menjadi laluan syaitan ialah ianya boleh menjadi sifat kepada hamba itu sendiri.  Jika si hamba menghiaskan dirinya dengan sifat tersebut,  maka dia telah membuka laluan untuk syaitan menyerbu masuk dan menguasai hatinya. Lalu memahkotakan nafsu sebagai pemerintah baru di situ yang tidak lagi keinginannya untuk patuh dan taat berabdi kepada Allah. Antara pintu utama yang menjadi laluan iblis dan tenteranya untuk menyerbu masuk,  menyerang habis-habisan dan menakluki kota kubu hati ialah; 

Hasad, menyintai dunia,  pemarah. 

Berlebihan dlm berhias pada kediaman,  pakaian dan alatan perabut. 

Panjang angan-angan.  Tiada malu kepada Allah dan kepada manusia. 

Sentiasa kekenyangan, tamak sehingga sanggup mengampu manusia. 

Sentiasa tergesa-gesa tanpa berhati-hati. 

Cintakan harta tanpa mempedulikan halal dan haram. 

Mengajak orang awam untuk taksub mazhab dan memikirkan berkaitan zat Allah,  sifat Nya yang mana akal mereka tidak mampu sampai ke perbahasan sebegitu. 

Buruk sangka dengan orang Islam. 

Jika sifat-sifat bahaya di atas berjaya dibuang drp hati,  hanya mampu syaitan lakukan sekadar menghantar lintasan2 nikmat2 tipu daya nafsu kepada hati tanpa dapat bertapak kukuh.  Pun lintasan2 sebegini dapat dicegah daripada memasuki kubu hati dengan perbanyakkan zikir mengingati Allah. Juga menghidupkan hati dengan takwa. Namun,  syaitan dan tenteranya tidak pernah berputus asa.  Jika gagal menguasai benteng kubu hari hari ini,  belum tentu besok gagal juga.  Maka berterusanlah tentera syaitan berusaha memecahkan pintu laluan untuk mereka masuk merampas kuasa. Dan berterusan lah tentera iman mempertahankan kubu utama manusia iaitu hati. (Minhaj al Qasidin).

No comments:

Post a Comment