Tuesday, April 19, 2016

PENGENALAN TASAWWUF

Terdapat beberapa pendapat mengenai asal perkataan tasawwuf: Asal perkataan tasawwuf seolah-olah begitu hampir dengan kalimah sofa, yasfu, yang membawa maksud bersih. (18) Perkataan ini dilihat hampir kerana jika dikaji daripada segi maksud dan istilah, tasawuf bertujuan untuk membersihkan batin. Justeru, makna perkataan ini bertepatan dengan kehidupan seorang ahli tasawuf atau ahli sufi yang sentiasa membersihkan diri daripada segala kekotoran batin dan membersihkan diri selain daripada Allah S.W.T. 

Dalam penghuraian pengertian tasawuf, ulama sufi yang ulung di Nusantara, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani mengatakan bahawa ilmu yang memberi manfaat di negeri akhirat dan menyampaikan kepada pengetahuan hakikat terhadap kebesaran dan keagungan Allah dinamakan ilmu tasawuf. (19) Syeikh al-Falimbani memanjangkan lagi huraiannya dengan kata beliau:  "Dan demikian ini segala kitab ilmu tasawuf semuanya itu iaitu ilmu yang memberi manfaat kerana kitab tasawuf ini telah tergantung di dalamnya ilmu usuluddin dan ilmu fiqh yang fardhu 'ain dan tiada dapat tiada daripada mengetahui akan dia oleh segala orang-orang yang suluk yakni orang yang menjalani jalan akhirat yang menyampaikan ke dalam syurga dan menyampaikan makrifat akan Allah dengan mengetahui sebenar-benarnya yang membawa takut akan Allah."(20)

Maulana Abu Hasan Ali al-Hasani al-Nadwi menyatakan bahawa tasawuf ialah intipati dan saripati islam dan juga merupakan kesempurnaan iman. Sesungguhnya tidak mungkin seseorang itu menerima dan merasa keberkatan islam serta menikmati keasliannya di dunia dan di akhirat pada individu, masyarakat, umat dan negara tanpa menghayati bid ang ilmu tasawuf untuk mengikhlaskan diri, mengubati diri, membersihkan jiwa dan menghiasi diri dengan sifat ihsan dan mahmudah.(21)

Secara tegasnya dinyatakan bahawa tasawuf adalah merupakan satu disiplin ilmu yang sah dan berasal daripada sumber-sumber yang sahih iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Cara hidup para Sahabat Nabi Muhammad s.a.w, pengikut-pengikut Sahabat dan ulama-ulama yang muktabar juga menjadi sumber ambilan tasawuf selagi tidak terkeluar daripada batas-batas yang dibenarkan oleh Islam.

No comments:

Post a Comment