1. Sedar akan keberadaan wujud diri zahir dan batin kita.
2. Tanya dan soal kepada kesedaran itu wujud siapakah itu?
3. Tentukan jawapannya wujud Allah.
4. Tanda dan bukti penyerahan diterima, sudah tidak ada lagi wujud selain dari Allah yang dipandang, dirasa, dinikmati.
5. Sehingga yang memandang, yang merasa yang menikmati wujud itu Allah sendiri..
Bagi mereka-mereka yang mengenal, ingat kepada Allah itu sudah cukup tercantum, cukup lengkap, cukup terkumpul, cukup terungkap dan cukup terucap dengan hanya melihat alam. Dengan hanya melihat dan memandang kepada kejadian alam sekeliling dan dengan hanya melihat kepada kejadian alam dirinya sendiri, ianya sudah lebih dari ingat dan sudah lebih dari berzikir, sungguhpun ucapan zikirnya tidak terlafaz melalui bibir mulut.
Dengan hanya melihat alam baginya sudah lebih dari memadai untuk dijadikan tujuan bagi ingat kepada Allah. Wajah Allah itu sudah cukup termaktub dan sudah cukup meliputi pada wajah sekalian alam semesta. Itulah tanda terbuka hijab! Dengan hanya melihat dalil atau dengan hanya melihat bayang (wajah kita), kita sudah dapat mengenal dan dapat mengingati tuan yang empunya bayang (tuan yang empunya wajah). Tuan yang empunya bayang itu tidak perlu menzahirkan dirinya sebagaimana rupa bentuk wajahnya yang asal, cukup dengan hanya memperlihat dan menzahirkan dirinya melalui bayang wajahnya sahaja, sudah memadai dan sudah lebih dari cukup, bagi mereka-mereka yang mengenal Allah.
Biarpun melalui bayang wajahnya, kita akan tetap dapat mengenal Allah dengan sejelas-jelas dan senyata-nyatanya, Wajah Allah yang hakiki itu, terzahir beserta dengan wajah makhlok! Bagi yang nampak makhlok, maka nampaklah Allah ! Wajah Allah itu dimana-mana. Sebagaimana firman “Barang kemana engkau mengadap, disitulah wajah Allah. Bayang dengan empunya bayang itu sebenarnya satu (sama). Seumpama perkara nafi dengan perkara isbat.
Sungguhpun nafi itu bukan isbat dan tiada lain darinya! Perkara nafi dengan isbat itu, tidak boleh bersatu dan juga tidak boleh berpisah. Barang siapa memisahkan antara nafi dan isbat, itulah sejahil-jahil umat Muhammad hatinya dibutakan oleh Allah swt. Seumpama samanya antara bulat air dengan bulatnya pembentong. Cuba tuan-tuan tilik diri tuan-tuan sendiri dihadapan cermin besar. Apakah sama tuan yang menilik dengan tuan yang ditilik! Pernahkah wajah tuan-tuan itu, berbeza dari yang tergambar didalam cermin? atau bayangan rupa paras tuan yang didalam cermin itu berbeza dari wajah tuan yang asal?Jika jawapannya memihak kepada tidak, yakinlah dan percayalah, bahawa Allah itu sama dengan wajahNya. Manakala wajah Allah itu, itulah makhlokNya!
Ya dengan syarat kita dan selain dari Allah sudah binasa, tidak ada, lenyap ( fanafillah diganti dengan baqo’billah ) Jika masih rasa ada kita dan selain dari Allah itu baru berada pada tahap ilmu. Jika kita terhenti pada melihat makhlok, pandangan kepada Allah akan terlepas. Manakala jika kita terhenti pada melihat Allah, akan terbatal, terpadam dan terbinasalah pula pandangan terhadap makhlok. Pilihlah mana satu pandangan yang menjadi pilihan kita.
No comments:
Post a Comment