Monday, August 29, 2016

BERSULUK

Bersuluk itu bukan bertapa. Bertapa seorang diri manakala bersuluk itu haruslah dipimpin oleh Guru Mursyid, Kerana Guru Mursyid lah yang menjadi Wasitah bagi menyampaikan salik itu kepada Allah, Guru Mursyid yang akan memantau dan bimbing para salik kerana dialah yang lebih memahami proses dan perubahan seorang salik. 

Para salik juga wajib solat berjemaah selama bersuluk. Bersuluk ni adalah gabungan Khalwah dan Uzlah (Khalwah Fil Uzlah) dimana seorang salik akan meninggalkan kampung halamannya dan menuju ke suatu tempat, Di mana dia tidak akan berhenti Berzikir dan bertaubat selama 40 hari 40 malam ataupun 10 hari 10 malam. Sehinggalah Allah kurniakan warid dan tarqiyah iaitu sesuatu rasa seperti baru dilahirkan semula, Barulah RASA "Allah" itu ada yang bukan setakat tahu Allah itu ada. 

Maka cairlah hati seorang salik pada masa itu dalam mujahadah dengan taubat dan zikrullah secara berterusan. (Itupun kalau niatnya ikhlas semata kerana Allah, hati sanubarinya bersih dan tidak melanggar adab bersuluk, serta tidak banyak bercakap, berfikir dan tidak melanggar adab) 

Kenapa bersuluk kena tinggalkan kediamannya? Bersuluk ini seperti suatu jihad dimana salik akan meninggalkan  segala kelaziman dalam kehidupannya, dia tinggalkan segala keseronokan,tinggalkan kemewahan dan segala perbuatan rutin seharian semata-mata untuk berzikir dan bertaubat kepada Allah dalam  satu jangka masa yang tertentu. Di mana tempat Bersuluk? Tempat bersuluk itu ada berbagai, ada yang di surau,ada yang dibuat di rumah Syeikh atau Guru jika murid yang bersuluk itu tidak ramai.Kalau dulunya Nabi  Saw beriktikaf di Gua Hira’ dan sekarang ibadat itu kebanyakannya dibuat di surau atau madrasah khas atau lazimnya dipanggil rumah suluk.

Ada sesetengah rumah suluk itu menyediakan bilik-bilik kecil yang hanya muat seorang  sahaja sebagai tempat berzikir tetapi ia terhadkan bilangan murid yang ingin bersuluk. Oleh kerana murid yang bersuluk saban tahun makin bertambah,Para syeikh memikirkan  menyediakan kelambu kecil yang digantung di dalam surau atau rumah suluk untuk menghindarkan gangguan seperti nyamuk ketika bersuluk. 

Bersuluk ni adalah satu proses secara intensif dengan melakukan zikrullah dengan berbilang sehinggalah berzikir sampai tidak terbilang seperti air yang mengalir. Maka dengan itu mudah dan cepatlah hati sanubari itu menerima tarqiyah dari Allah, dibukakan hijab dan tutupan hati untuk melangkah dari alam nasut (alam sifat kemanusiaan) ke alam malakut (alam lakaran) kemudian ke alam jabarut (alam sifat) seterusnya ke alam lahut (kesedaran sifat ketuhanan). 

Kita pergi menunaikan haji dengan tubuh yang zahir menziarahi Kaabah, Manakala bersuluk pula pergi menemui Tuan Kaabah secara rohaniah. Salik akan berzikir  dengan zikir Ismu Dzat,yakni zikir yang membolehkan salik itu mendapat tarikan  (jazbah) kepada Allah. Apabila salik telah mendapat tarikan yang kuat kepada Allah, si salik ini akan dapat memulakan semula kata-kata yang pernah manusia ucapkan suatu ketika dahulu di alam roh iaitu "Alastu birobbikum qooluu balaa syahidna” (Al A'raf ayat 172). 

Imam Ghazali pernah berkata: “Ketahuilah bahawa berjalan menuju kepada Allah Taala untuk menghampiriNya sebenarnya adalah hati bukan badannya. Maksudku,bukan hati yang berdaging ini bahkan ia adalah satu rahsia daripada rahsia-rahsia Allah Azzawajalla yang tidak difahami oleh deria zahir.”

Hati itu tempat simpannya iman, wadah berbagai rahasia ghaib dan juga punca  terpancarnya berbagai nur.Hati itu perlu digilap,perlu dihidupkan agar tidak ia menjadi membeku, gelap dan tidak telus. Dan cara menggilapnya adalah dengan berzikrullah  secara khusus, istiqamah dan terpimpin. Harus diingat penyakit jiwa dan hati lebih berbahaya dari penyakit yang lain. Maka itu kita haruslah berusaha menjernihkan hati dan latihan jiwa seperti bersuluk. 

Zikrullah dan khalwat ini adalah sunnah Nabi yang Terawal semenjak di Gua Hira' lagi. Baginda Nabi Muhammad Saw juga telah pergi berkhalwah di Jabal Thur bahkan Nabi  Musa a.s juga berkhalwah di Bukit Tursina seperti Firman Allah: “dan telah Kami  janjikan kepada Musa (memberikan Taurat) sesudah berlalu waktu tiga puluh malam, dan Kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh (malam lagi), Maka  sempurnalah waktu yang telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam.. “. (Surah al-A’raaf ayat 142.) 

Apa yang kita dapat selepas bersuluk itu? Setiap mereka yang bersuluk itu yang datang dengan niat yang ikhlas semata kerana Allah ; mudah-mudahan mereka itu nanti akan:

1.   Bertambah keyakinan mereka tentang wujud Allah, lebih kenal dan lebih tahu tentangNya.

2.   Merasai atau melalui pengalaman dzauki dan fana'fillah, faham apa yang dinamakan makrifah, tahu dimana berlakunya musyahadah, faham apa itu baqo’billah dan istilah-istilah seumpamanya.

3.   Menyakini kepentingan bertawassul dan berabitah.

4.   Mempraktikkan adab-adab berzikir dan adab-adab bersama Guru atau orang yang alim.

5.   Istiqamah dalam solat taubat.

6.   Lebih memahami apa yang dikatakan oleh Ibn Atho'illah dalam Kitab Hikam.

7.   Memahami kepenting ilmu tasawuf (ilmu tariqat) dan kepentingan beramal dengannya.

8.   Rasa rendah diri, tidak lagi mudah menilai orang lain berdasarkan kepada pakaian atau pangkat.

9. Faham apa yang dikatakan ilmu Laduni dan mudah mendapat natijah-natijah zikir.

10. Mantap pegangan kepada tauhid uluhiyyah dan rububiyyah.

11. Menyembah Allah yang sudah dikenal seperti umpama bercakap dengan orang yang kita kenal dengan orang yang tidak kita kenal.

12. Hatinya benar-benar yakin apa yang wajib diimani.

13. Dengan bersuluk,kita dapat sebahgian walaupun tidak sepenuhnya sifat-sifat orang Ulul albab.

Demikianlah sedikit sebanyak penjelasan dan pengertian bersuluk. 

"Berpanjangan lah ubudiyah zahir dan batin serta berkekalan lah hadir hati serta Allah walau berada dalam masyarakat."

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment