Monday, August 29, 2016

TERSINGKAPNYA TABIR HAKIKAT

Alkisah seorang ulama sufi Syeikh Abu Bashir Rahimahullah Ta'ala sedang berdiri berhampiran Ka’bah sambil memandang kepada orang ramai yang sedang bertawaf.

Dia terpegun kerana begitu ramainya orang yang mengerjakan tawaf sehingga kedengaran suara gemuruh takbir, tahmid, tasbih serta do’a, Lalu terlintas dalam hatinya “sudah tentu mereka itu mendapat keampunan di sisi Allah S.W.T”. 

Sejurus kemudian datanglah Syeikh Imam Ja’far Shaddiq Rahimahullah Ta’ala. Beliau seorang imam kaum muslimin (114-148H) yang juga adalah dari keturunan Rasulullah saw. Dia mengetahui apa yang terlintas di dalam hati anak muridnya itu lantas berkata kepada Syeikh Abu Bashir, “Pejamkanlah matamu wahai Abu Bashir”

Dengan rasa kebingungan, Syeikh Abu Bashir menuruti dan patuh keatas apa yang diperintahkan oleh gurunya itu. Kemudian Imam Ja’far Shaddiq mengusap wajah anak muridnya itu dan berkata, “Sekarang bukakanlah matamu wahai Abu Bashir dan lihat kembali kepada orang ramai yang sedang bertawaf itu”

Setelah Syeikh Abu Bashir membuka matanya, Alangkah terperanjatnya dia, sekarang apa yang dilihatnya hanyalah sekumpulan orang-orang yang berkepala binatang sedang melakukan tawaf, diantara mereka ada yang menyalak, mengaum, mengembek dan mengerang. 

Syeikh Abu Bashir merasa sangat hairan, kebingungan dan gerun ketakutan dan dia kemudiannya bertanya kepada gurunya, “Apakah yang sebenarnya terjadi ini wahai guru? Maka Imam Ja’far Shaddiq Rahimahullah Ta'ala menjelaskan, “Pada kali pertama yang engkau lihat itu adalah sifat wujud jasadniyah luaran mereka sahaja yang sedang bertawaf dan pada kali kedua yang engkau lihat adalah sifat batin dalaman wujud rohaniyah mereka”. 

Lalu Syeikh Abu Bashir bertanya lagi, “Mengapa boleh terjadi hal yang demikian wahai guru? Sedangkan mereka sedang menunaikan ibadah haji dan mereka itu sedang bertakbir, bertahmid dan bertasbih mengagungkan Allah S.W.T”

Syeikh Imam Ja’far Shaddiq Rahimahullah Ta'ala menjawab, “Itu kerana apa yang mereka ucapkan tidak bersungguh-sungguh, yang keluar dari lisan mereka tidak bersesuaian dengan apa yang terlintas di dalam hati mereka. Apa yang mereka usahakan tidak pernah ditujukan kepada Allah S.W.T tapi keduniaan yang mereka tuju. 

Mereka masih lagi mengingati yang lain selain Allah S.W.T. Kerana kenyataannya mereka masih lagi mengagungkan jawatan kedudukannya, ilmu-keilmuannya dan harta kekayaannya, Sedangkan Allah S.W.T Maha Mengetahui apa yang terlintas didalam diri kita baik zahir mahupun batin”. 

Oleh sebab itu ikhlaskan dan luruskan niatmu semata kerana Allah S.W.T dan Rasul-Nya, Dan redhakan lah dirimu atauTakdir untuk diaturkan oleh Allah S.W.T dengan segala ketentuan-Nya, Kerana itu adalah awal serta akhir dari segala perjalanan ibadah seseorang hamba. 

Dan sesuatu yang dilihat itu belum tentu benarnya jika dilihat hanya pada luaran kezahirannya sahaja. Jangan asyik menjaga luaran sedangkan dalaman atau batin kita masih tersangat kotor.

No comments:

Post a Comment