Monday, January 4, 2010

KEPULANGAN LIMA TOKOH ULAMA SUFI KE NUSANTARA

Biasa kita dengar kisah 5 Pahlawan Melaka dan 5 Daeng Bersaudara, Kali ni kita telusuri pula 5 Ulama Sufi Bersahabat. Secara peribadinya pada saya, kelima Ulama ni bukanlah calang-calang ulama. 

Nama mereka begitu besar di Nusantara dan masih menjadi sebutan hari ini, Kitab mereka sentiasa menjadi rujukan di kalangan Tok guru dan Ilmuwan Islam. 

Al-Marhum Sheikh Abdus Samad Al-Falimbani, Al-Marhum Sheikh Muhammad Arsyad Al-Banjari, Al-Marhum Sheikh Daud Al-Fathoni, Al-Marhum Sheikh Abdur Rahman Al-Masri Dan Al-Marhum Sheikh Abdul Wahab Bugis.

5 Nama ini adalah Tokoh-tokoh Ulama Besar Nusantara pada Abad 18, Yang Keluar dari Kampung masing-masing dan mendalami berbagai cabang Ilmu Agama di Madinah dan Mekah selama berpuluh-puluh tahun.Mereka berlima adalah para sahabat yang saling berguru dan belajar sesama masing-masing. Kealiman dan Kearifan mereka sangat luar biasa. 

Dari Jeddah mereka menumpang sebuah perahu layar, pulang ke tanah air. Berbulan-bulan lamanya di laut sampailah mereka di Pulau Pinang. Mereka kemudian menziarahi Kedah dan Perak, kemudian melalui jalan darat terus ke Singapura.

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani walaupun telah dekat dengan negerinya Pattani namun beliau tidak pulang tetapi disebabkan semangat setiakawannya, beliau mengikuti sahabat-sahabatnya ke Singapura.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanya sampai di Singapura saja, Kemudian beliau kembali ke Fathoni. Manakala 4 orang lagi sahabatnya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad, Syeikh Abdul Wahab Bugis dan Syeikh Abdur Rahman Al-Masri meneruskan pelayaran ke Betawi (Batavia atauJakarta). 

Setelah sampai di Betawi, Syeikh Abdur Rahman Al-Masri Al-Batawi Melayan dengan baik para sahabatnya itu di Kampung Halamannya, dan beliau juga meminta agar para sahabatnya tinggal di Betawi lama sedikit. Ada suatu kisah dimana mereka ingin pergi menunaikan solat jumaat di Kampung Sawah Jambatan Lima, Betawi. 

Walaupun masjid itu telah lama didirikan, tetapi sesudah sampai di masjid itu, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari merasa pelik kerana pada ilmu yang mereka pelajari, Arah kiblat masjid itu tidak tepat. Dan mereka pun menunaikan solat tahiyatul masjid mengikut arah kiblat yang mereka yakini.(Solat Sunat Tahiyatul Masjid ialah solat sunat mu’akkad ‘selamat datang’ bagi menghormati masjid yang dilakukan sebanyak dua rakaat sebaik sahaja memasuki masjid.)

Orang yang hadir dalam masjid itu berasa hairan melihat mereka melakukan solat tahiyatul masjid tidak mengikut kiblat masjid itu. Setelah selesai solat, ada seorang jemaah yang beranikan diri dan bertanya mengapa kalian solat tidak mengikut kiblat? Para jemaah yang lainnya juga turut mengiyakan soalan yang diajukan tersebut, Maka ketika itu berlaku sedikit salah faham antara mereka dan jemaah lainnya. 

Melihat keadaan yang riuh itu, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari bingkas berdiri dan pergi ke sad hadapan  sekali, Lantas Beliau berdiri menghadap jemaah dan diangkatkan kedua tangannya. Ketika itu kejadian yang tidak dapat dijelaskan dari sudut logik akal, Para Jemaah tiba-tiba  melihat bayangan Kaabah di atas tangan Sheikh Muhammad Arsyad Al-Banjari. Waktu itu tiada siapa berani nak pertikaikan, Maka mereka pun menunaikan solat berjemaah tanpa mengikut arah kiblat masjid itu. Semenjak kejadian tersebut arah kiblat diubah atau diperbetulkan dengan dibuat garis merah sebagai tanda. 

Tetapi Peristiwa ini tidak berakhir begitu saja, Kejadian itu diketahui oleh Pihak Belanda, (Betawi dibawah penguasaan Belanda). Pihak Belanda mengarahkan orangnya untuk menangkap Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Sheikh Abdul Wahab Bugis dan mereka dituduh sebagai pengacau keamanan. 

Mereka dibawa ke atas sebuah kapal yang sedang berlabuh di Betawi, di atas kapal itulah mereka disoal, dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang sukar dijawab oleh beberapa Ilmuwan Islam yang berkuasa di betawi. Semua soalan dan Hujah sudah pasti dapat dijawab oleh Para Tokoh Ulama Besar ini. Kealiman mereka dikagumi oleh Ilmuwan yang ada ketika itu, Tetapi mereka tidak dilepaskan oleh Belanda, Dengan Izin Allah setelah tiga hari tiga malam kemudian, Pihak Belanda membebaskan mereka begitu saja tanpa ada apa syarat. 

Setelah peristiwa itu barulah mereka kembali ke tempat kelahiran masing-masing. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang ke Palembang, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari pulang ke Banjar, kemudian Sheikh Abdul Wahab Bugis juga ke Banjar mengikut Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Manakala Sheikh Abdur Rahman Al-Masri kekal di Betawi. Ada riwayat mengatakan Abdur Rahman Al-Masri juga pergi ke Masjid atauSurau lain-lainnya itu memastikan arah kiblat yang ditetapkan adalah tepat. 

Sheikh Abdul Wahab Bugis yang mengikuti Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari ke Banjarmasin, Menjadi menantu Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Beliau dijodohkan sendiri oleh sahabatnya itu. Manakala Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tidak lama berada di Kampung halamannya (Palembang) kerana beliau amat benci pada Belanda yang ketika itu berkuasa di sana. 

Bermula dari sini saya akan fokuskan kepada kisah Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sehingga hari dimana beliau telah Syahid berperang. Saya akan cuba meringkaskan seringkas yang mungkin. Maka beliau semakin hari rasa tidak senang  untuk duduk diam di Palembang walaupun itu adalah negeri kelahirannya. Lantas Sheikh Abdus Shamad membuat solat istikharah memohon petunjuk dari Allah, Setelah mendapat petunjuk beliau pun tanpa berlengah lagi membuat Keputusan meninggalkan kampung halamannya itu, Beliau tekad meninggalkan Palembang dan kembali ke Mekah semula.

Disebabkan beliau sangat benci pada Belanda, Sheikh Abdus Shamad tidak mahu menaiki kapal Belanda dan apa-apa yang Milik Belanda. Oleh kerana tekadnya beliau ingin kembali ke Mekah untuk mendalami lagi ilmu agama, Beliau pergi menebang kayu-kayu di hutan untuk membuat perahu bersama beberapa anak muridnya. Walaupun sebenarnya beliau bukanlah seorang tukang yang pandai membuat perahu melainkan ada muridnya yang berpengalaman bertukang. 

Setelah perahu siap dan kelengkapan pelayaran cukup, Maka berangkatlah Tokoh Ulama terkenal ini "Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani" dari Palembang menuju Mekah dengan beberapa orang muridnya yang ingin kekal di sisi gurunya. Selama di Mekah, beliau bergiat dalam pengajaran dan penulisan kitab-kitab dalam beberapa bidang pengetahuan keIslaman, terutamanya tentang tasawuf, Fekah, usuluddin dan lain-lain.

Ketika di mekah Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sentiasa mengambil tahu perkembangan di Nusantara, Kerana ketika zaman itu para Muslim di Nusantara sibuk berjihad menentang Kafir penjajah. Termasuklah Fatani yang ketika itu telah menjadi jajahan Thai Siam. Syeikh Abdul Samad al-Falimbani pernah mengutus surat kepada Sultan Mataram di Jawa. Bagaimana pun surat-surat berkenaan Berjaya dirampas oleh Belanda pada 1772. Antara surat yang dirampas tersebut ialah kepada Sultan Hamengkubowo I (Sultan Mataram 1755 – 1792. 

Sebagai menyokong dan memberikan semangat perjuangan jihad kepada orang Islam khusus di Nusantara, dikarangnya sebuah kitab tentang jihad iaitu Kitab "Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mu’minin fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul Mujtahidin fi Sabilillah." Oleh kerana semangat jihad yang sungguh kuat dan kebencian pada Kafir laknatullah yang menjajah, Menyeksa dan membunuh orang Islam, Beliau bertekad ingin kembali ke Nusantara kerana ingin turut serta berjihad berperang menentang musuh-musuh Islam dan mengajarkan wirid perang pada tentera Islam. 

Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani kali ini tidak ke Palembang tetapi ke Kedah. Beliau mempunyai Saudara kandungnya di kedah iaitu Al-Marhum Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani ketika itu ialah Mufti Kerajaan Kedah. Seorang lagi saudaranya, Al-Marhum Sheikh Wan Abdullah adalah pembesar Kedah dengan gelar Seri Maharaja Putera Dewa. 

Ayahandanya adalah Al-Marhum Syeikh Abdul Jalil mantan guru kepada. Al-Marhum Paduka Sri Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin ll bin Sultan Abdullah Mu'adzam Shah ll. Sultan Kedah 1710 – 1778). Sultan yang terbaik dalam sejarah sultan kedah, Sultan yang memerintah paling lama dan juga sultan penakluk yang hebat. Pembuka kota setar dan anak bukit sebagai pusat pemerintahannya. 

Sebelum berlayar ke kedah, Sheikh Abdus Shamad menerima surat daripada saudara kandungnya di kedah yang menyatakan akan ada perang jihad kedah-patani menentang Thai-Siam-British. Kecintaan Sheikh Abdus Shamad terhadap jihad telah berputik sekian lama, Dan ketika inilah semangat jihadnya sampai kemuncak. 

Beliau memilih untuk berjihad bersama angkatan perang kedah dan patani kerana Kecintaannya pada Patani begitu besar kerana disanalah beliau mendalami ilmu agama semenjak kecil bersama sahabat karibnya Sheikh Daud Al-Fathoni. Ditambah lagi adik beradik kandungnya beradi di kedah. 

Sheikh kemudian pulang ke Kedah lalu diangkat sebagai Panglima Perang dan terus mara bersama angkatan Kedah, Patani, Aceh, Kelantan dan Terengganu. Perang yang disertai oleh Syeikh ini banyak pendapat dalam menyatakan tarikh berlakunya peristiwa itu. Saya pula berpendapat bahawa perang yang paling besar gabungan Kedah dan Patani sebanyak dua kali iaitu pada 1831 dan 1838. Ini kerana Sheikh telah ke Mekah selepas kejatuhan Patani 1785. 

Begitu juga dengan penghijrahan sahabat karib Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani iaitu Syeikh Daud al-Fathani yang ke Terengganu dan seterusnya ke Mekah adalah selepas 1785.Semenjak itu Sheikh Daud al-Fathani tidak pernah pulang Ke Patani dan meninggal dunia di Mekah pada tahun 1847.

Dengan itu berjihadlah Sheikh Abdul Samad al-Falimbani, Berperang habis-habisan, Diajarkannya wirid dan doa pada sekalian tentera Islam, Disuntikkannya Semangat Jihad kepada Semua para Mujahideen, Mereka bersedia berkorban nyawa demi Islam dan Tanah air. 

Dipendekkan cerita Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah syahid di Patani dalam perang 6 bulan bermula 1831 dan berakhir 1832. Ketika itu usia beliau sudah melebihi 100 tahun, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sangat penting ketika perang kerana dikatakan beliau berzikir, bertasbih dan sebagainya sebagai senjata dan perisai pada umat Islam dalam perang tersebut. 

Segala wirid perang diajarkan pada para tentera. Wirid perangnya juga diamalkan oleh Al-Marhum Aki Mat Kilau sebagai yang dicatit dalam Kitab Mat Kilau. Jenazah Al-Marhum Sheikh Abdul Samad al-Falimbani telah dimakamkan di Mukim Jenung di Chenak, Patani.
Bissirril Al-Fatihah. 

Maaf jika ada kesilapan dalam penceritaan ini ataupun sebarang kekurangan di dalam penulisan ini. Sedekahkan lah Al-Fatihah buat para Ulama dan Para Pejuang bangsa yang telah Syahid menentang Kafir Laknatullah. Al-Fatihah (Dengan Bacaan). 

Kelima-lima Tokoh Ulama Sufi yang bersahabat ini
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani 
Sheikh Abdul Wahab Bugis 
Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari 
Sheikh Abdur Rahman Al-Masri 
banyak berjasa pada Alam Nusantara dan melahirkan ramai para Sheikh, Tokguru dan Ilmuwan Islam. Hanya Allah lah yang dapat membalas Jasa Mereka.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment