Al-Marhum Sultan Bolkiah adalah Sultan Brunei ke-5 yang memerintah dari tahun 1485 hingga tahun 1524. Pemerintahan baginda dikenali sebagai Era Kegemlilangan Emas bagi Brunei kerana jajahannya ketika itu meliputi ke seluruh Kepulauan Borneo dan Kepulauan Filipina. Baginda juga terus berusaha menyebarkan Islam hingga ke Kepulauan Filipina. Tidak melampau jika saya katakan beliau adalah "Penakluk Borneo”.
Pada tahun 1521, satu rombongan yang diketuai oleh Ferdinand Magellan melawat Brunei, dan antara yang mengikuti rombongan itu ialah Antonio Pigafetta. Beliau turut menulis pengalaman beliau sepanjang berada di Brunei yang terkenal dengan kekayaannya yang berlimpah-ruah dan empayarnya yang luas.
Baginda suka membawa gendang kebesaran Diraja semasa keberangkatan keluar negeri, terkenal dengan nama Nakhoda Ragam juga terkenal dengan nama Adipati Suluk.
Baginda telah berkahwin dengan seorang puteri dari Pulau Segantang Bini bernama Puteri Lela Menchanai. Baginda telah mangkat pada tahun 1524 sewaktu dalam perjalanan pulang ke Brunei dari Pulau Segantang. Diceritakan apabila baginda mangkat, isteri baginda, Lela Menchanai menikam dirinya sendiri untuk bersama-sama dengan suaminya. Kematian Sultan Bolkiah sangat misteri dan sehingga hari ini ianya kekal misteri. Dibawah ada sedikit kajian saya mengenai kematian Al-Marhum, Apapun ianya hanya kajian dan saya tidak pasti Sejauh mana kesahihannya.
Serumpun kumpai di tengah lautan Dalamnya terkandung buih nan indah Darinya menjelma puteri rupawan Dijadikan isteri Sultan Bolkiah Puteri jelita Laila Mencanai Didapat baginda dalam pelayaran Kasih baginda tiada ternilai Hajat isterinya dapat ditunaikan Dalam pelayaran isterinya menjahit Jarum emas penyulam-nyulam Baginda perhatikan begitu asyik Sehingga tertidur dalam pangkuan Puteri pun terharu sulaman tak tentu Jarum tercucuk ke tangan baginda Bisanya jarum tawar tak selulu Mangkatlah baginda di tangan jelita Laila Mencanai berdukacita Akhirnya puteri menikam dirinya Meninggalkan wasiat bermakam sama Makam selarong bernisan tiga.
Jelas sekali di dalam cerita legenda penuh epik ini digambarkan bahawa Sultan Bolkiah mangkat di pangkuan permaisurinya sendiri dek kerana tercucuk tanpa sengaja jarum emas iaitu jarum sulaman permaisurinya. Namun ada ramai sejarahwan berkata bahawa kemangkatan Sultan Bolkiah itu sebenarnya disengajakan kerana dikatakan bahawa “pembunuhnya” adalah permaisurinya sendiri iaitu Puteri Lela Menchanai.
Difahamkan diketika pelayaran itu timbul satu bau busuk di dalam bahtera dan dikatakan Puteri Lela Menchanai memberi alasan bahawa bau busuk itu adalah bau bangkai tikus yang mati. Namun tiada alasan untuk Puteri itu cuba berahsia dan mahu tidak mahu perkhabaran kemangkatan Sultan Bolkiah akhirnya diperjelaskan kepada keluarga diraja Brunei sendiri iaitu Pengiran Muda Tengah Abdul Kahar iaitu anakanda Sultan Bolkiah yang akan memangku tugas-tugas pemerintah Brunei disepanjang ketiadaannya.
Namun usai sahaja ketibaan mereka belum lagi sempat bersua dengan anakanda Pengiran Muda Tengah Abdul Kahar, Puteri Lela Menchanai menikam dirinya sendiri dan akhirnya disemadikan di satu tempat yang sama yang kita kenali sebagai makam salorang bernisan tiga. Terlalu banyak hipotesis mengenai kebarangkalian penyebab kemangkatan Sultan Bolkiah, pemerintah yang gagah perkasa Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam ini.
Ada sejarahwan dari Belanda menyatakan bahawa kemangkatan baginda ada kait mengait dengan perebutan kuasa di dalam pelayaran. Baginda dikhabarkan dibunuh oleh sahabat pelayaran baginda kenali. Namun sehingga sekarang masih tiada bukti kukuh apabila berkata mengenai konspirasi ini. Selain itu ada juga mengaitkan bahawa kemangkatan Sultan Bolkiah adalah kerana sumpahan.
Menurut seorang sejarahwan Brunei iaitu Pengiran Haji Tengah bin Pengiran Muhammad pula berkata bahawa kemangkatan baginda Sultan Bolkiah adalah kerana mengahwini seorang puteri yang berasal dari Pulau Daratan Bini. Diceritakan bahawa mana-mana lelaki yang memperisterikan wanita daripada pulau itu harus menetap di pulau itu. Dan apabila berhajat untuk membawa keluar isterinya maka keesokan harinya akan menemui ajal. Namun kerana kegagahan serta sikap penakluk Sultan Bolkiah itu juga menidakkan imuniti sumpahan itu ke atasnya di pulau tersebut.
Diceritakan kerana kedatangan baginda ke Pulau Daratan Bini berjaya mengalahkan Raja Daratan Bini itu sendiri. Malah kekalahan Raja Daratan Bini keatas Sultan Bolkiah berjaya menyebabkan baginda dihadiahkan dengan sebatang besi yang merupakan asas besi untuk menjadi “Keris Si Naga” iaitu antara lambang kekuasaan Brunei dari dahulu sehingga sekarang.
Bissirril Al-Fatihah.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment