Kampung Mengkasar adalah kampung yang mempunyai bukti hubungan Pahang - Aceh pada Makam-makam yang berbatu nisan Aceh, Kampung Mengkasar juga merupakan antara perkampungan yang tertua di Daerah Pekan Pahang.
Dikatakan dahulu terdapat orang Bugis dari Makassar dan Acheh yang berkunjung dan menetap di sini semenjak kurun 16-17, Pada tahun 1722, Ada seorang lelaki yang bernama Tok Uban - Karaeng Aji atau nama sebenarnya Karaeng Agang Jene Muhammad Naziruddin, atau lebih dikenali sebagai Tok Tuan, Beliau anak kepada Sultan Alamuddin La Patau Matana Tikka yang memerintah Kerajaan Bone pada tahun 1696-1714.
Beliaulah orang yang dikatakan membuka kampung Mengkasar ini bersempena nama tempat asalnya Makassar Sulawesi. Setelah itu Beliau telah berkahwin dengan seorang wanita Pahang yang bernama Tun Nyanyi Raja Muda Tun Mahmud. Dan dari perkahwinan inilah bermulanya asal-usul keturunan “Orang Kaya Indera Shah Bandar Pahang’ iaitu keturunan Allahyarham Tun Abdul Razak.
Sejarah Kain Tenun Pahang
Kain tenun Pahang dipercayai berasal dari Riau atau Sulawesi dan dibawa masuk ke negeri ini sekitar abad ke 16-17, Mengikut catatan sejarah, orang besar Makasar atauBugis diketuai Tok Tuan atau Karaeng Aji berkunjung dan menetap di Kampung Mengkasar, Pekan. Beliau dikatakan bertanggungjawab memperbaiki cara menenun kain sutera tempatan ketika itu dan dikenali sebagai tenunan Pahang.
Reka corak dan ragam hias yang halus buatannya menghiasi kain Tenun Pahang. Reka corak tertentu pada kain atau tekstil menjadikan sebagai lambang darjat, identiti kaum, kepercayaan, ritual keagamaan dan sebagainya. Begitu juga keindahan kain Tenun Pahang yang tidak dapat dipisahkan dari reka corak asas yang tersendiri. Pelbagai motif, corak dan warna yang berlainan terdapat pada kain tenun Pahang.
Kain tenunan Pahang yang menggunakan teknik ikat dengan corak berjalur dan corak mendatar dan menegak sesuai dijadikan kain samping untuk melengkapkan pakaian baju melayu bagi kaum lelaki dan kain sarung atau baju pasang bagi wanita. Kebiasaannya kain tenun ini dijadikan pakaian pengantin. Sarung tenun bercorak pula dibahagikan kepada kain bercorak melintang, memanjang, corak Rawa atau Bugis dan corak Muar. Terdapat juga penggunaan benang emas yang menghasilkan motif garis halus atau kesan bunga-bunga kecil, bertabur menghiasi kain.
Makam-makam Kampung Mengkasar
Makam Ziarat Raja Raden
Makam Ziarat Raja Raden dilihat agak penting dalam sejarah dan kebudayaan Islam di Pahang. Kerana Antara yang dimakamkan di sini adalah Raja Fatimah puteri kepada Sultan Alauddin Riayat Syah, Sultan Melaka ketujuh (1477-1488 Masihi). Raja Fatimah adalah isteri kepada Sultan Abdul Jalil (Jamil). Tarikh batu nisan Raja Fatimah bertulis 15 Syawal 900 Hijrah bersamaan 7 Julai, 1495 Masihi.
Sultan Abdul Jalil (Jamil) Sultan Pahang ketiga, merupakan putera Sultan Muhammad Shah, Sultan Pahang pertama (mangkat pada 1475 Masihi). Sultan Melaka, Sultan Mahmud telah menghantar orang besar baginda yang bergelar Seri Dewa Raja pergi ke Pahang meraja dan menobatkan Sultan Abdul Jamil Shah sebagai Sultan Pahang.
Sultan Abdul Jamil berkahwin dengan Raja Fatimah sepupu baginda dan kakak kepada Sultan Mahmud. Pada masa Sultan Mahmud Shah di Pahang (tahun 1511-1512) Sultan Abdul Jamil mangkat pada 917 Hijrah bersamaan 1511 Masihi dan turut dimakamkan di sini. Mengikut Bustanu’s Salatin, bagindalah yang disebut Marhum Ziarat. Batu nisan yang dipercayai batu nisan makam baginda itu, telah dijumpai dekat makam isteri baginda Raja Fatimah.
Makam Tok Tuan
Tok Tuan atau nama sebenar beliau adalah Karaeng Agang Jene Muhammad Naziruddin, anakanda Sultan Alamuddin La Patau Matana Tikka yang memerintah Kerajaan Bone 1696-1714, Beliau jugalah yang membuka kampung ini.
Makam Chondong
Makam Chondong menjadi salah satu makam penting kerana ia merupakan testimoni kepada hubungan erat yang pernah terjalin di antara Pahang dan Aceh pada abad ke-17 Masihi. Keberadaan batu-batu nisan ini dicatatkan dalam Kitab Bustanu’s Salatin yang ditulis oleh Sheikh Nuruddun ar-Raniri yang mengisahkan bagaimana Sultan Iskandar Thani telah memerintahkan Orang Kaya Maharaja Seri Maharaja, Orang Kaya Laksamana Seri Perdana Menteri dan Orang Kaya Lela Wangsa bertolak ke Pahang untuk meletakkan batu nisan pada makan ayahandanya. Hal ini kerana semasa penaklukan Pahang, Sultan Iskandar Thani telah dibawa lari ke Acheh dan masih berumur tujuh tahun. Oleh yang demikian, baginda telah memerintahkan pembesar-pembesarnya meletakkan batu nisan di makam-makam keluarganya di Pahang.
Menurut cerita orang tua-tua dahulu, pada suatu hari pada tahun 1906, sekumpulan gajah sedang melintasi sebuah tanah perkuburan lama yang terletak di Kampung Mengkasar. Tiba-tiba seekor daripada gajah-gajah itu telah naik minyak dan menyondol batu-batu nisan yang terdapat di makam itu, menyebabkan ia condong dan pecah.
Kejadian itu berlaku sewaktu gajah-gajah itu sedang menarik kayu-kayu untuk dibawa ke tapak istana Tengku Besar Mahmud. Pada masa itu, kerja-kerja membina istana Tengku Besar Mahmud sedang rancak dijalankan dan memerlukan banyak gajah untuk menarik kayu-kau tersebut.
Disebabkan batu nisan itu pecah dan condong, lalu makam tersebut dinamakan Makam Chondong. Makam ini merupakan makam diRaja paling tua di negeri Pahang selain dari Makam Sultan Muhammad Syah, Dusun Pinang, Pahang Tua dan Makam DiRaja Kampung Marhum.
Antara yang dimakamkan di sini adalah Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah (Marhum Pahang), Raja Muda Abdullah (Marhum Muda Pahang) dan Puteri Bongsu Chendera Dewi.
Makam Nibong atau Tembuni
Pada masa dahulu, makam ini disebut Makam Tembuni. Makam ini terletak di Kampung Mengkasar di mana terdapat beberapa buah batu nisan Acheh bertulisan khat dan batu nisan ini mempunyai persamaan dengan makam Ziarat Raja Raden di Jalan Tok Tuan, Kampung Mengkasar.
Menurut ahli sejarah, antara yang dikebumikan di makam ini ialah Sultan Zainal Abidin (marhum di Bukit) Sultan Pahang ke tujuh yang telah mangkat pada tahun 1555 Masihi. Selain dari itu, kerabat-kerabat baginda yang terdiri dari Sultan Mansur Shah II (Sultan Pahang ke lapan, mangkat pada tahun 1560 Masihi), Sultan Abdul Jamal (Sultan Pahang ke Sembilan) dan Sultan Abdul Kadir (Sultan Pahang ke sepuluh, yang mangkat pada tahun 1590 Masihi).
Di antara yang dikebumikan di Makam Nibong ialah keturunan Sultan Brunei yang berkahwin dengan Sultan AbdulGhafur Muhiyuddin Shah, Sultan Pahang ke-12, pada tahun 1584, sebelum dimasyurkan sebagai Sultan Pahang. baginda telah beristerikan seorang adinda kepada Raja Petani (raja perempuan) dan beristerikan juga seorang anak raja Brunei. Sultan Abdul Ghafur juga telah mengahwinkan adinda baginda, Raja Ahmad (Sultan Pahang ke-12) dengan Puteri Bongsu Chendera Dewi, anak Raja Kasab Siak yang telah dijadikan anak angkat oleh baginda dan lahirlah Raja Mughal (Raja Mughal inilah kemudiannya, pada tahun 1641 menjadi Sultan Acheh bergelar Sultan Iskandar Thani).
Seorang lagi isteri kepada anak Raja Brunei dipercayai anak Sultan Hasan dan melahirkan seorang anak perempuan kemudiannya bersuamikan Raja Abdullah Johor (Sultan Abdullah Ma’ayah Shah) berputerakan Raja Bajau. Dalam tahun 1612, masa Sultan Alauddin Riayat Shah III (Raja Mansur) memerintah Johor dan Sultan Abdul Ghafur di Pahang, Sultan Alauddin serta rombongan dari Johor telah berangkat ke Pahang kerana hendak mengahwinkan seorang daripada putera baginda dengan puteri Sultan Pahang.
Dalam satu majlis, puteri Sultan Brunei menantu Sultan Pahang telah mempersilakan Sultan Johor pada jari tangan menantu Sultan Pahang itu ada sebentuk cincin mutiara yang besar dan sangat cantik rupanya. Sultan Johor sangat berkenan kepada cincin itu dan meminta untuk membelinya dengan harga yang mahal, tetapi putera Raja Brunei tidak mahu menjual cincinnya. Sultan Johor sangat murka dan membawa orang baginda kembali ke Johor dan perkahwinan itu dibatalkan.
Dalam bulan September 1612, angkatan perang Sultan Johor telah menyerang dan membakar kampong di Pahang dan juga membakar sebuah kampong yang bernama Kampung Cina, ramai rakyat Pahang telah mati terbunuh dan ditimpa malapetaka, harta benda mereka telah rosak binasa sehingga rakyat Pahang menderita kebuluran makanan.
Sultan Pahang dan menantunya berundur ke kawasan pergunungan yang mengandungi emas. Raja Brunei kekanda kepada isteri Sultan Pahang telah datang membawa angkatan perangnya dan telah berjaya memerangi dan menghalau angkatan Sultan Johor.
Raja Brunei telah mengambil adiknya isteri Sultan Pahang dan dibawa balik ke Brunei. Sultan Pahang juga turut sama pergi ke Brunei dan telah meninggalkan putera sulung Raja Muda Abdullah menjalankan pemerintahan di Pahang. dalam tahun 1614, Sultan Abdul Ghafur dan Raja Abdullah telah mangkat di bunuh oleh putera baginda yang kedua, yang tidak diketahui namanya.
.
Di Kampung Mengkasar ini juga terdapat Istana Melati dibina pada tahun 1966. Istana ini adalah kediaman YH Dato’ Maria Menado yang ketika itu isteri kepada Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah.
Istana ini telah dibina sebagai kediaman sementara bagi menggantikan Balai Gambang yang telah terbakar pada tahun 1967.
Demikianlah sedikit sebanyak mengenai sejarah dan Makam-makam yang terdapat di Kampung Mengkasar Pekan Pahang.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment