Friday, January 8, 2010

MERIAM LADA SICUPAK

Hubungan diplomatik antara Kesultanan Aceh dengan Turki Uthmaniyyah telah terjalin sejak abad ke-15 lagi, Kesultanan Aceh dan Turki Uthmaniyyah mempunyai hubungan yang sangat baik. Hubungan yang baik ini dibuktikan dengan sekeping syiling emas yang tertulis padanya nama Sultan Aceh (Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Kahar) dan Sultan Turki (Sultan Suleiman Al-Qanuni).

Hubungan diplomatik tersebut terbina atas dasar menghadapi Portugis yang kian aktif dalam memperluaskan pengaruhnya di Selat Melaka sejak tahun 1511 baik dalam bidang politik maupun ekonomi. Kesultanan Aceh saat itu dipimpin oleh Sultan Al-Kahar yang merupakan Sultan Aceh ketiga yang berasal dari Dinasti Meukuta Alam, Pengasas Kerajaan Aceh. Beliau memerintah dari tahun 1537 hingga 1571. 

Utusan yang dihantar dari Kesultanan Aceh untuk pertama kalinya datang mengunjungi Istanbul adalah pada tahun 1562. Tujuan utusan itu adalah untuk meminta bantuan senjata berupa meriam. Sultan Uthmaniyyah yang memerintah pada ketika itu adalah Sultan Suleiman I. 

Beliau memperkenankan permintaan itu dan merancang untuk mengirimkan bantuan meriam lengkap dengan juruteknik dan seorang diplomat yang bernama Lufti Bey. Selepas kedatangan rombongan dan bantuan dari Turki Uthmaniyyah, Sultan Aceh Iaitu Sultan Alauddin Al-Qahar menulis surat dan menawarkan agar Kesultanan Aceh diperintah secara langsung oleh Sultan Suleiman I sebagai pengganti bantuan meriam dalam menghadapi Portugis. 

Pada Tahun 1565 Sultan Aceh Iaitu Sultan Alauddin Al-Qahar telah mengirimkan utusannya untuk menemui Sultan Suleiman I. Utusan tersebut di antaranya bernama Omar dan Hussein yang dikirimkan dengan membawa sejumlah besar hasil pertanian. Peristiwa ini dikenali dengan "Lada Sicupak",

Pada ketika utusan Aceh itu tiba, Sultan Suleiman l yang ketika itu tiada di Istanbul kerana sedang memimpin bala tenteranya dalam sebuah peperangan melawan Hungaria Eropah Timur pada 5 Ogos - 8 September 1566. Peperangan ini dikenali sebagai "Pertempuran Szigetvar". 

Ketika para utusan Aceh menunggu sehingga berakhirnya peperangan itu, mereka terpaksa menghabiskan waktu lebih lama dari yang dijangka di Istanbul. Tambahan pula belum sempat berjumpa, Sultan Suleiman meninggal di Hungaria kerana sakit tua itu. Para utusan Aceh terpaksa mencari nafkah diri mereka sendiri untuk mencari tempat tinggal dan makan dengan menjual lada yang mereka bawa dari Aceh sedangkan lada itu sepatutnya diberikan kepada Sultan Turki Uthmaniyyah. 

Setelah Putera Mahkota Selim II iaitu Putera Sultan Suleiman I selesai ditabalkan menjadi Sultan Turki Uthmaniyyah yang baru, barulah para utusan Aceh mendapat kesempatan untuk berkunjung ke Istana, iaitu dua tahun dari kedatangan mereka ke Turki. Namun hadiah yang mereka bawa itu hanyalah berbaki secupak (segenggam) lada dan hanya itulah yang dapat mereka berikan sebagai hadiah untuk Sultan Selim ll yang baru saja menaiki takhta. 

Dalam pertemuan tersebut, Sultan Selim II tidaklah marah hanya kerana hadiah segenggam lada, malah Sultan Selim ll memutuskan untuk menghantar bantuan tentera ke Aceh yang di antaranya adalah sebuah meriam yang diberi nama "Lada Sicupak" atas peristiwa utusan Aceh yang memberi hadiah segenggam atau secupak lada.

Sultan Selim ll ketika itu tidak meminta Aceh supaya mengutuskan ufti setiap tahun sebagaimana tradisi Kesultanan tersebut. Bantuan yang dihantar oleh Sultan Selim ll bertujuan untuk mengiktiraf Kesultanan Aceh untuk menyempurnakan kedaulatannya. 

Tapi sayang sekali, Sultan Selim II yang ketika itu memerintahkan kepada angkatan perang lautnya untuk mengirimkan 15 armada kapal layar ke Aceh yang dilengkapi dengan tentera, Penasihat perang, Juruteknik meriam, juga ahli-ahli pertukangan seperti pandai kapal, pandai besi dan pandai emas, tidak sampai ke Aceh. 

Armada yang seharusnya tiba di Aceh pada tahun 1568 itu terpaksa beralih perjalanannya ke Yaman, Arab Selatan untuk membasmi sebuah pemberontakan. Sementara yang tetap berlayar menuju ke Aceh hanyalah dua buah kapal yang membawa sekelompok pedagang dan para juruteknik meriam serta sebuah meriam "Lada Sicupak".  Perancangan Sultan Alauddin Al-Qahar terjejas untuk menyerang Portugis di Melaka pada tahun 1570 kerana menyangkakan para bala tentera dan armada kapal dari Turki Uthmaniyyah akan sampai di Aceh. 

Namun perkara telah terjadi, Sultan Aceh terpaksa redha dan sisa rombongan dari Turki itu tidak berdiam diri lantas membantu Kesultanan Aceh membuat pendidikan tentera dan melatih rakyat serta pasukan Aceh dalam menguasai taktik dan strategi peperangan. Juruteknik meriam pula mengajarkan rakyat Aceh untuk membuat senjata meriam dan membuat kapal yang dapat menampung meriam di dalamnya. 

Banyak meriam-meriam Aceh yang diambil oleh Belanda sekitar tahun 1870-an ketika Perang Aceh. Jika di lihat hari ini, jumlah meriam Aceh yang masih dijaga dan dipamerkan di muzium bronbeek arnhem belanda, ada sekitar 11 meriam termasuk lah meriam "Lada Sicupak" Pemberian Turki Uthmaniyyah kepada Kesultanan Aceh. Maknanya Aceh telah ada meriam sendiri pada penghujung abad ke-15.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment