Friday, January 8, 2010

SEPAK RAGA

Permainan Sepak Raga adalah warisan Melayu yang sudah lama wujud semenjak 600 Tahun lebih dahulu. 

Pada tahun 1470 Masihi, Di zaman Kesultanan Melaka, Al-Marhum Sultan Mansor Syah iaitu Sultan Melaka ke-6, mempunyai 2 orang putera yang bernama Al-Marhum Raja Muhammad dan Al-Marhum Raja Ahmad. 

Ketika ini berlakunya satu peristiwa dimana ketika Al-Marhum Raja Muhammad pergi menunggang kuda dan bersiar-siar ke kampung Bendahara Paduka Raja iaitu Al-Marhum Tun Perak. Adapun pada masa itu Al-Marhum Tun Besar iaitu anak kepada Bendahara Tun Perak, sedang bermain sepak raga dengan segala orang muda-muda. 

Maka ketika Al-Marhum Raja Muhammad lalu disitu, Al-Marhum Tun Besar sedang menyepak bola raga dan secara tidak tersengaja, bola itu terkena pada destar Al-Marhum Raja Muhammad dan menyebabkan destar itu jatuh ke tanah. 

Maka beranglah Al-Marhum Raja Muhammad dan berkata "Ceh, jatuh destar kita oleh Tun Besar!" Sambil memandang mereka yang berada di situ. Dengan secara tiba-tiba Al-Marhum Raja Muhammad menikam Al-Marhum Tun Besar terus ke hulu hati. Maka Al-Marhum Tun Besar pun Mati di situ. 

Maka orang pun gemparlah dengan kejadian ini, segala anak-anak buah Bendahara Al-Marhum Tun Perak mengambil senjata masing-masing dan ingin membalas dendam akan kematian Al-Marhum Tun Besar. 

Tetapi Bendahara Tun Perak ketika itu menghalang mereka dan berkata, "Hei! Hei! Hendak derhakakah ke bukit? Hendak derhakakah ke bukit? Nyiah! Nyiah! Kamu semua nyiah! Kerana istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi akan anak raja seorang ini, janganlah kita pertuan." 

Maka segala anak-anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak pun diamlah, masing-masing menyimpan senjata kembali. Mayat Al-Marhum Tun Besar pun diuruskan dan di kebumikan pada hari itu juga. 

Ketika Al-Marhum Sultan Mansor Syah mengetahui akan hal ini, Baginda merasa amatlah murka dan memanggil Al-Marhum Raja Muhammad datang menghadap lalu Sultan Mansor Syah pun menghukum Puteranya itu dengan melucutkan Gelaran atau Pangkat "Raja Muda" dan mengusir dari menjejaki tanah di Melaka. Kemudian Sultan Mansor Syah memanggil Seri Bija Diraja untuk mengiring Al-Marhum Raja Muhammad untuk dirajakan ke Pahang. 

Maka Al-Marhum Muhammad pun jadilah Sultan Pahang yang pertama, dengan gelaran nama Sultan Muhammad Syah bermula pada tahun 1470. Makam baginda berada di Dusun Pinang, Pekan Pahang tua.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment