Friday, January 8, 2010

SENIMAN HAJI MAHADI

Ramai yang kenal dengan pelakon ini, Menerusi filem 3 Abdul Filem arahan Allahyarham Tan Sri Pramlee. Sepertimana yang kita ketahui, Beliau melakonkan watak sebagai Abdul Wahab Iaitu anak sulung Ismit Ulam Raja. Anak orang kaya dalam filem 3 Abdul. 

Beliau juga melakonkan watak sebagai Sultan Mansur Shah dalam Filem Hang Tuah, Memegang watak Tun Jana Khatib dalam Filem Singapura Dilanggar Todak dan menjadi Sultan dalam filem Raja Laksamana Bintan. 

Tapi tahukah anda beliau adalah anak kepada Waliyullah Tanah Melayu "Sheikh Muhammad Said Jamaluddin Al-Linggi". Sementara abang sulungnya pula adalah bekas Mufti Negeri Sembilan Iaitu "Tuan Sheikh Haji Ahmad". 

Seniman Allahyarham Hj. Mahadi atau nama sebenarnya Hj. Mohd Mahadi Hj. Mohd Said, mengakui orang seni tidak semestinya datang daripada keluarga yang mempunyai latar belakang seni. Kemunculan beliau sebagai anak melayu yang pertama menjadi pengarah filem menerusi filem arahan pertamanya "Permata Di Perlimbahan" yang dibintangi oleh Nordin Ahmad Pada tahun 1952, Membuktikan ada orang seni datang daripada keluarga yang kuat pegangan agamanya. 

Sewaktu berusia 14 Tahun beliau telah pun dihantar ke Mekah untuk mendalami ilmu agama di Madrasah Al-Falah. Selang beberapa Tahun belajar di kota mekah beliau kembali ke Tanah Air dan sambung mendalami berbagai ilmu Allah dan dalam masa yang sama telah memiliki murid di usia yang muda. 

Setelah  berusia 25 tahun beliau mula memasuki alam pekerjaan sebagai wartawan Utusan Melayu di Singapura pada tahun 1939. Setelah itu beliau menjadi wartawan sukan dalam Akhbar Warta Malaya, Dan selepas 11 Tahun menjadi wartawan di kedua syarikat akhbar, Beliau mula menceburi bidang seni dan menyertai Malays Films Production atau Shaw Brothers pada tahun 1950 di Singapura. 

Beliau pernah berkata “Bukan kerana saya tak suka menjadi guru agama, tetapi, ialah sebab pada ketika itu saya rasa diri saya serba kekok kerana dipuja orang yang lebih tua daripada saya,” katanya.

Ada beberapa peristiwa yang orang pernah ceritakan mengenai beliau ketika di Jalan Ampas Singapura. 

1). Seniman Ahmad Mahmud juga pernah bercerita yang beliau pernah jatuh sakit semasa berlakon di dalam hutan dan diubati oleh Hj. Mahadi dan didapati Ahmad Mahmud membuang air kecil di dalam hutan di tempat kediaman makhluk halus.

2). Seniman Salleh Kamil pernah meminta pandangan Hj. Mahadi mengenai dialog isi neraka. Salleh Kamil beranggapan dialog itu bagaikan bencana kepada dirinya. Tetapi setelah dinasihatkan oleh Hj Mahadi sebagai seorang yang tinggi ilmu agamanya, Salleh Kamil kembali tenteram. 

Hj. Mahadi mengatakan jika niat kita hanya untuk memberi pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat yang menonton ianya tidak menjadi kesalahan besar. Yang penting niatkanlah apa yang kita lakukan semua kerana Allah tidak kepada yang lain. Hj. Mahadi adalah salah seorang yang dirujuk oleh Pengarah Jamil Sulong dalam kelansungan pembikinan filem Isi Neraka ini.

3). Allahyarham Hj. Mahadi juga diberitakan mahir dalam perubatan tradisional dan kebatinan, P. Ramlee dikatakan menuntut ilmu perubatan dan kebatinan daripada beliau sehingga membolehkan P.Ramlee mengubati orang menerusi panggilan telefon.

4). Sewaktu tinggal di 'perkampungan artis' MFP' di Boon Teck Road, Singapura, banyak peranan dan sumbangan Haji Mahadi dalam soal kebajikan dan dakwah dikalangan artis. Madrasah disitu dijadikan tempat berdakwah. Seniwati Normadiah menyifatkan Hj. Mahadi umpama seorang ayah kepada semua artis melayu pada ketika itu, beliau begitu dipandang tinggi kerana sifat beliau yang pengasih serta tidak jemu memberi panduan hidup dari aspek agama mahupun kebajikan.

"Hukum agama kita, yang diakui Allah itu luas. Mengapa mesti disempitkan?" - (Hj. Mahadi)

Seniman Hj. Mahadi meninggal dunia pada 20 Februari 1983 ketika berusia 69 tahun akibat sakit jantung dan dikebumikan di Makam Tuan Haji Said. Seremban. Beliau meninggalkan seorang balu, Rosminah Marzuki dan tujuh orang anak.

Bissirril Al-Fatihah

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment