Sesungguhnya Allah itu Maha Adil, sebagaimana terdapat golongan yang munafik dan petualang bangsa, akan ada golongan di kalangan umat Melayu sesudah kami ini yang akan menyambung perjuangan kami. Mereka menyambut panji perjuangan kami dengan penuh harga diri. Dalam hati merekalah aku hidup dan menjadi cita-cita mereka pula mati kerana berjuang. Semangat mereka menyerupai kami, walaupun bilangan mereka tidaklah seramai golongan munafik dan petualang.
Sesungguhnya akan tibalah pada hari dan zaman itu orang-orang Melayu semuanya akan bersatu dan sanggup mati di jalan Allah. Mereka bersedia berperang dengan musuh daripada belahan dunia mana sekalipun. Kota-kota mereka terbina daripada peradaban ilmu yang dihiasi dengan mutiara kebijaksanaan. Ulama dan cendikiawan diterima sebagai penasihat ulil amri.
Para ahli sufi terbebas daripada fitnah ajaran sesat dan batil. Rakyatnya cukup makan dan untung berniaga, tanpa ada penindasan dan perampasan. Kaum-kaum lain mendapat naungan dan jaminan keadilan sehingga taat dan setia mereka tidak berbelah bahagi lagi. Zaman makmur itu akan tiba juga apabila hak-hak Allah dipenuhi. Hak-hak rakyat dilaksanakan. Peraturan-peraturan mereka ditimbang dengan syariat dan disukat dengan adat.
Syahadan, ketahuilah olehmu wahai saudaraku. Ingatlah bahawa ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan duri yang akan mengait. Justeru tetapkanlah waspada sebagai pengawal di pintu gerbang zaman makmur. Bulan terang paksa baik, payang ke laut, baluk pun ke laut juga. Runtuhnya zaman makmur kerajaan Melayu sebelum ini adalah kerana raja dan pembesarnya sudah ada biduk, tetapi serempu pula. Lalu timbullah perebutan, hasad, iri hati dan sengketa. Kalau rakyatnya pula suka menuntut piutang lapuk. Ditelan kemewahan dilambung mabuk. Ada juga yang menjadi seperti itik bertaji. Tandanya, keris tersisip di dinding, pedang tajam dalam sarungnya sahaja.
Musuh yang nyata disetiakawankan. Manakala sesama sendiri sanggup ‘berjuang’ hingga memancung leher. Kesudahan mereka adalah dengan suul khatimah kerana lekat pada ingatan mereka akan harta dan kuasa yang terlepas daripada tangan. Dipamerkan pula tempatnya di neraka jahanam, wa nauzubillah. Itulah jihad di jalan syaitan adanya. Benarlah, ujian-ujian daripada Allah turun bersama-sama zaman makmur.
Maka jika kita alpa dan lalai diri dengan melakukan kegiatan dan perbuatan yang dilarang Allah, maka tunggulah bala bencana daripada tujuh petala bumi dan tujuh petala langit bertali arus menimpa umat Melayu itu. Ya Allah menitis pula air mataku. Ketahuilah bahawa aku tidak pernah menitiskan air mata sebagai seorang lelaki Melayu berhati kecut. Tetapi air mataku ini mengalir apabila memikirkan anak cucu cicit yang terkemudian hari. Apalah pula ujian dan balanya, apalah pula sengketanya, apalah pula pengkhianatannya, apalah pula penyelewengannya dan apalah pula kesudahannya.
Segala ribut badai perasaanku menyatu bersama ingatan terhadap junjungan Nabi kita. Ingatlah pada zaman manapun kalian berada sentiasalah berselawat ke atas Nabi dan beramal dengan sunnah-sunnahnya kerana itulah penyelamat agung penyedar daripada alpa dan lalai, pengikis sifat munafik dan menghidupkan jiwa.
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada awalnya.
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad. pada akhirnya.
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada setiap ketika.
Ya Allah jadikanlah anak cucu cicit kami di kemudian hari berjuang dan berperang dengan lebih berani dan gagah di jalan-Mu. Ya Allah tempat aku juga di sisi kekasih-Mu, Rasulullah yang aku rindui dan cintai segenap hatiku sekiranya aku gugur di jalan-Mu Ya Allah. Sungguh Engkau Maha Mengabulkan doa Aamiin.
Semoga Al-Marhum Raja Haji Fisabillillah dikurniakan syurga Firdausi diakhirat kelak.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment