Thursday, January 14, 2010

PENGASAS KUALA LUMPUR

Semua orang tahu “Kuala” bermaksud penyudah aliran hilir sungai manakala “Lumpur” pula bermaksud tanah yang bercampur dengan air. Nama Kuala Lumpur telah diketahui orang sejak pertengahan kurun ke 19 lagi. Ketika peneroka-peneroka awal yang mendulang bijih di sepanjang sungai di pertemuan Sg Kelang dan Sg Gombak. Tentu sekali nama “Kuala Lumpur” itu telah dinamakan oleh peneroka awal yang terdiri dari suku Mandailing, Rawa, Batu Bara, Kerinci dan Minangkabau. 

Tapi siapakah sebenarnya yang mula-mula sekali meneroka/membuka ataupun mentadbir Kuala Lumpur? Adakah Yap Ah Loy? Ataupun adakah Raja Abdullah? Atau mungkin juga Hiu Siew? Ketiga individu ini bukanlah pengasas Kuala Lumpur. Pengasas sebenarnya adalah “Sutan Puasa/Sutan Naposo”. Beliau adalah Ketua bagi peneroka awal dari suku Mandailing dan juga adalah Orang Kaya Mandailing. Ada juga yang menggelarkan beliau sebagai Dato Dagang 1.

Mereka berhijrah dari Sumatera dan berlabuh di persimpangan Sg Kelang dan Sg Gombak lalu mendirikan pengkalan/penempatan disitu. Ketika itu keadaan di Pengkalan terlalu berlumpur. Lalu mereka menamakan sekitar kawasan itu “Kuala Lumpur”. Nama Sutan Puasa mungkin tidak banyak ditulis dalam catatan sejarah. Namun beliau sebenarnya adalah individu terawal yang terlibat dalam membawa kemajuan Kuala Lumpur. 

Antara aktiviti mereka setelah berhijrah ke Kuala Lumpur adalah bertani, berdagang dan melombong bijih timah. Dengan pentadbiran yang cekap dan teratur di bawah pimpinan Sutan Puasa secara tidak langsung telah meluaskan pengaruh dan Nama Sutan Puasa dikalangan suku Mandailing dan sekitar Kuala Lumpur. 

Sebagai seorang ketua dan pemimpin, beliau bertanggungjawab mentadbir dan memastikan tiada kekacauan yang timbul di kalangan orang Mandailing serta memajukan lagi kawasan mereka. Oleh itu Sutan Puasa telah menjemput Hiu Siew dan rakannya Ah Sze Keledek dari Sungai Ujung berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan perniagaan mereka. 

Hiu Siew kemudiannya menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur pertama dengan sokongan Sutan Puasa yang merupakan orang kaya Mandailing pada ketika itu. Malah, pelantikan Yap Ah Loy sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur ketiga turut mendapat sokongan daripada Sutan Puasa walaupun ada di kalangan orang Cina menentang pelantikan itu.

Mengikut catatan Mandailing, di akhir hayat Sutan Puasa telah menetap di Kampung Rawa (Jalan Melayu sekarang) sebelum berpindah ke sebuah perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit. Sutan Puasa meninggal dunia pada 1905 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang Kuala Lumpur. 

Semoga Pihak kerajaan dapat mengabadikan dan menuliskan nama Sutan Puasa sebagai individu terawal dalam sejarah kemajuan dan pembangunan di Kuala Lumpur, sebagai tanda menghargai jasa beliau dan sukunya. 

Bissirril Al-Fatihah 
Sutan Puasa/Sutan Naposo
Orang Kaya Mandailing 
Pengasas Kuala Lumpur

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment