Thursday, January 14, 2010

DIRIMU CERITA DIRINYA

ALLAH, pada setiap detik memperkenalkan sifatNya disebalik setiap perbuatan hambaNya. Apabila kita melihat, Allah menyatakan Dia yang mempunyai sifat Maha Melihat yang layak bagi DiriNya dan KudratNya untuk memperlihatkan kita pada kadar yang dikehendakiNya.

Apabila kita makan dan minum, Allah menyatakan Dia Pemberi rezeki pada hamba yang bersifat makan dan minum, Maha Suci Ia bersifat makan dan minum. Apabila kita tidur, Allah menyatakan Dia mengizinkan kita tidur diatas sifat hamba yang perlu berehat, maka Maha Suci DiriNya daripada sifat tidur.

Apabila kita duduk, berdiri dan berjalan, maka Allah menyatakan Dia yang menggerakkan segala gerak dan diam lantaran sifat hamba yang lemah yang takluk pada bentuk, masa, jarak dan ruang. Maka Maha Suci DiriNya dari sifat lemah yang perlu pada berdiri atau duduk, kerana WujudNya tiada takluk pada bentuk, masa, ruang dan tempat. Apabila kita sakit, Allah menyatakan Dia yang memberi sakit dan menyembuhkan diatas sifat hamba yang lemah, Maha Suci DiriNya dari bersifat lemah dengan sakit dan sihat.

Allah mencipta sifat kekurangan yang ada pada kita sebagai bahasa Allah untuk menunjukkan KeAgungan SifatNya yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan. Maka pada DiriNya tempat bergantung segala kekuasaan, jangan bergantung dengan kekuasaan makhlukNya kerana segala kekuasaan makhluk yang kita bergantung itu juga dalam genggaman kekuasaan DiriNya Yang Agung.

Bissirril Fatihah Almarhum Tuan Guru Nik Aziz 
Salah Seorang Insan Yang Saya Sentiasa Rindui.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment