Thursday, January 14, 2010

PERISTIWA PARANG TERBANG

Mengenai Peristiwa Parang Terbang Yang Pernah Terjadi ketika menentang Komunis, Saya lebih percaya bahwa parang itu tidaklah terbang dengan sendirinya sambil melibas sepertimana yang tersebar, melainkan Allah S.W.T lah yang menutup pandangan zahir musuh agar tidak melihat pejuang melayu kita yang sedang memegang parang dan menetak mereka.

Sebab itulah puak komunis ada yang menembak ke arah atas kerana melihat pejuang kita sangat tinggi dan ada juga yang terpinga-pinga kerana hanya melihat parang yang melibas tetapi tidak melihat orang yang memegang parang itu. Dan ada juga pihak komunis yang lari ketakutan melihat peristiwa itu serta lari ketakutan kerana menembak pejuang kita tapi tak tumbang. 

Itu semua adalah Kekuasaan Allah dan bantuan Allah kepada nenek moyang kita, asbab  mengamalkan beberapa amalan wirid zikir dan doa dan memakai segala kain yang ada wafak serta meninum air tempayan yang telah dibacakan dan diberikan oleh Khalifah Imam perang ketika itu. Mereka berpenat lelah menggempur kubu-kubu musuh tapi kalian kata hanya parang yang terbang ke kubu musuh? Jika pejuang kita dengar pasti mereka pelik dimana kalian dapatkan cerita tu. 

Puak komunis yang sempat lari bercerita kepada puak mereka bahwa hanya melihat hanya parang melayu yang terbang melibas dan membunuh. Selepas peristiwa itu, puak komunis sangat takut bila mendengar pejuang Selempang Merah dan Pejuang Sungai Manik. Hanya generasi mereka yang kini tidak tahu sejarah dan berani memperlekehkan orang melayu, sedangkan nenek moyang mereka lari masuk hutan dalam keadaan ketakutan. 

Setiap perang yang terjadi di alam melayu, semua pejuang bermandi darah, semua pejuang berpenat lelah, semua pejuang turun ke medan perang, semua pejuang ada yang syahid, semua pejuang tinggal anak bini di rumah. Setiap peperangan pasti akan melibatkan kerosakan dan kehilangan nyawa. Mana ada peperangan yang berlaku hanya musuh turun medan, manakala nenek moyang kita pula duduk rumah hanya menghantar parang, pedang, keris dan senjata lainnya. Nenek moyang kita ramai yang mati syahid di medan perang.

Setinggi apapun ilmu kita jika janji Allah iaitu maut telah tiba kita pasti akan mati dan mati di medan perang itu istimewa kerana Allah mengurniakan kita mati syahid membela agama, bangsa dan tanah air. Saya bersyukur kerana ada nenek moyang saya yang mati syahid melawan penjajah. Jika Allah kehendaki saya juga ingin mati ketika membela agama sambil Melaungkan Takbir Allahuakbar! 

Kerana impian dan cita-cita saya adalah hidup di jalan Allah dan mati di jalan Allah. Bukankah kita telah berjanji bahwa solat kita, ibadah kita  hidup dan mati kita hanyalah kerana Allah Ta'ala semata-mata.

*Apapun pendapat kalian mengenai parang terbang saya raikan dan terima, kalian boleh terus percaya dengan pendapat dan keyakinan masing-masing, saya tidak memaksa kalian untuk mempercayai cerita saya. Bagaimanapun saya tidak menafikan saya ada melihat keris yang terapung sendirinya dan tiba-tiba menusuk laju ke kayu, tetapi itu kebanyakan adalah dengan bantuan jin. Janganlah kita mudah terpedaya dan meminta bantuan jin. Cukuplah Allah sebaik-baik penolong dan pelindung. 

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment