Friday, September 2, 2016

MEMBELEK-BELEK YANG HAQ

Barangsiapa yang mengenal Allah, maka ia tidak memandang dirinya dan segala sesuatu selain Allah.

Makrifatullah itu dapat dicapai melalui jalan taqwa, dzikrullah, mujahadah nafsu, penyerahan diri, cinta dan rindu, pecah hati, tumpuan kepada akhirat, takut dan harap kepada Allah.

Alam ini adalah cermin tempat memandang Wajah Allah. Jangan engkau memandang kepada berbagai-bagai bentuk ujian, tetapi pandanglah Allah, Dzat Yang Maha Penguji.

Sifat kekurangan manusia itulah kenyataan Kemaha sempurnaan Allah bagi hati yang telah bersatu, Hilang wajah segala sesuatu dalam memandang Keelokkan Wajah Allah, Dia Yang Maha Keelokkan. 

Berseri-seri wajah mereka itu kerana melihat Tuhan mereka, Mohonlah kepada Allah untuk memandang Keelokkan Wajah Allah.

Kebencian manusia tidak memberi mudarat disamping kasih Tuhan dan kasih manusia tidak memberi manfaat disamping kebencian Tuhan! Engkau diciptakan bukan untuk sesuatu, tetapi tidak lain tidak bukan engkau diciptakan untuk mengenal Allah.

Janganlah engkau sekali-kali berpaling daripada Allah ketika mana keinginanmu terhalang oleh Kehendak Allah, kerana keinginan hakikimu itu adalah berhadap kepada Dzat Allah.

Zikrullah adalah penyuci bagi hati yang menuju kepada Allah. Orang yang sampai kepada mengenal Allah, maka ia tidak memandang selain Allah.

Wahai roh suci! Layanlah nafsu dengan rohmu. Didiklah dirimu berbaik-sangka kepada Allah dan hamba-hamba Allah.  Jangan ada syak-wasangka terhadap Kehendak Allah, Engkau tidak memiliki sesuatu dan tidak dimiliki oleh sesuatu. 

Balaslah celaan dengan pujian. Balaslah keperitan dengan keredhaan. Pilihlah kesukaan Allah daripada kesukaan nafsumu. Redhai-lah Kehendak Allah daripada kehendakmu. Kehendakmu adalah keraguan dan Kehendak Allah adalah keyakinan. 

Mohonlah bantuan dan pertolongan dari Allah. DitanganNya-lah segala sesuatu. Sebaik-baik hamba ialah menyerahkan diri kepada kehendak Allah, dengan tiada pilihan.

Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Sabar sehingga mati. Mohonlah kesabaran kepada Allah. Dunia ini adalah negeri bala dan cubaan. Kembalilah hatimu kepada Allah didalam segala ujianNya.

Lupakan makhluk dan hiduplah bersama Allah. Semoga Allah merahmatimu. Hati yang benar-benar menumpu kepada Dzat Allah akan mendapat limpahan rahsia-rahsia Ketuhanan yang tiada terjangkau oleh penduduk bumi dan langit. 

Karami-lah hatimu dengan Keagungan Dzat Allah. Tinggalkan angan-angan dan kebatilanmu. Hidupkanlah hatimu dengan mengingati Allah sepanjang waktumu sehingga manusia mengatamu gila. 

Benar, engkau telah gila kepada Allah. Bukan dunia dan bukan akhirat. Semoga Allah merahmat kamu. Hakikat Tawakkal itu lebur dirimu dalam. Kehendak Allah dan tiada Tawakkal bagi orang yang masih ada dirinya.

Zikrullah ialah jalan (Thariqat) untuk menyucikan hati daripada segala sesuatu selain Allah, iaitu mengisbatkan Allah didalam segala hal-ehwalmu. Rehatkanlah akalmu dihadapan Allah dan serahkan segala sesuatu kepada Allah.

Wajib ada bagimu pimpinan Guru Mursyid dalam perjalanan menuju kepada Allah, kecuali orang Majzub yang ditarik oleh Allah. Ikutilah orang yg Wasil iaitu orang yg sampai kepada Allah dengan Allah.

Hendaklah engkau serta dengan Allah dan jikalau engkau tidak dapat serta dengan Allah, maka hendaklah engkau serta dengan orang yang serta Allah. 

Mudah-mudahan engkau akan disampaikan kepada Allah. Barangsiapa yang tiada baginya guru, maka syaitanlah gurunya melainkan orang yang mendapat rahmat daripada Allah.  Semoga Allah merahmati kamu dan aku.

Ulamak menyeru manusia kepada hukum-hukum Allah. Hukamak menyeru manusia kepada Dzat Allah. Masing-masing ilmu ada ahli zamannya. Mustahil Allah itu tiada Wujud kerana tanpa Wujud Allah, maka tiadalah kewujudanmu.

Orang yang tidak dapat melihat Kewujudan Allah pada alam ini adalah orang yang buta mata hatinya! Dan itulah hakikat sebenar buta. Orang yang Wasil kepada Allah telah mengambil tauhid langsung daripada Allah tanpa orang tengah, bukan lagi daripada kitab-kitab dan guru-guru, dan inilah yg dinamakan tauhid yang hakiki. Sebelum engkau mengenal Allah, maka kenali-lah nafsu yg tercela didalam dirimu.

Barangsiapa mengenal Allah, maka binasa dirinya. Sibuklah mendidik nafsu dalam dirimu yg lebih besar daripada peperangan badar. Jadilah engkau Ahli-Badar yg hakiki memerangi hawa-nafsu, musuh dalam dirimu. Janganlah engkau merasa aman dengan ilmu dan amalmu, kerana nafsumu itu adalah musuh dalam dirimu. Musuh yang paling besar yg menentang KerajaanKU (ALLAH) adalah hawa-nafsu manusia!

AKU (ALLAH) akan mengujimu sehingga engkau tewas terhadapKU, agar engkau dapat mengakui kelemahanmu dan KekuasaanKU. Maka serahkanlah dirimu dihadapan Keagungan ZatKU. Hati yang masih sekutukan AKU (ALLAH) dengan makhluk adalah hati yg najis dan dusta! Nafikan segala sesuatu selainKU daripada hatimu, kemudian isbatkan WujudKU semata-mata.

Ketika AKU (ALLAH) datang kepadamu dengan JalalKu, maka sambutlah AKU dengan JamalKU, jikalau engkau benar dalam perkenalanmu denganKU.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment