Friday, September 2, 2016

ZIKIR NAFS

Dalam bidang kerohanian, banyak pihak yang membicarakan tentang ZIKIR NAFS. Namun kebanyakannya masih kurang jelas atau kurang faham tentang apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ZIKIR NAFS. Penerangan terperinci tentang ZIKIR NAFS juga amatlah sedikit dan terbatas.

Amalan ZIKIR NAFS juga sebenarnya merupakan amalan asas para Anbiya dengan panggilan lain iaitu TAZKIYATUN NAFS. Amalan ini terdapat banyak penekanannya jika dirujuk kepada Al-Quran dan beberapa kitab ilmuan terdahulu. TAZKIYATUN NAFS sebetulnya adalah berkisar tentang perjalanan HAKIKAT MENGENAL DAN MENYUCIKAN DIRI.

Kata 'An-Nafs' boleh diertikan sebagai roh, jiwa atau diri. Jadi ZIKIR NAFS sebenarnya merujuk kepada zikir roh, zikir jiwa atau zikir diri. Manakala dalam sesetengah Pengajian Hakikat menggelar ZIKIR NAFS sebagai 'zikir tanpa huruf tanpa suara' atau ZIKIR RASA.

Kesalahfahaman yang kerap berlaku dalam kalangan ahli Pengajian Hakikat adalah dengan menjustifikasikan ZIKIR NAFS sebagai zikir nafas yang disertai bacaan 'Hu Allah' atau seumpamanya. Tafsiran ini telah pun disalah ertikan dari ZIKIR NAFS yang sebenar kerana telah pun 'bersuara'. Walaupun bacaan sekadar senyap didalam hati juga tetap juga telah lari dari ZIKIR NAFS yang sebenar kerana masih 'berhuruf'.

ZIKIR NAFS pada hakikatnya merupakan peringkat lanjut selepas daripada ZIKIR LISAN dan ZIKIR KALAM. Selari dengan panggilan 'zikir tanpa kalam tanpa suara', ZIKIR NAFS bukan lagi duduk pada LISAN dan KALAM, bukan lagi duduk pada 'huruf', 'suara' dan 'kata', sebaliknya hanya meletakkan zikir sepenuhnya ke atas RASA sahaja.

Apakah RASA?

RASA yang diperkatakan sebenarnya merujuk kepada deria atau kasyaf batin seseorang yang telah terbuka membuatkan seseorang itu mampu merasa seluruh aliran, pergerakan dan keadaan diri zahir dan diri batin masing-masing.

Dari manakah timbulnya RASA?

Peringkat awal dalam zikir, iaitu amalan dalam ZIKIR LISAN dan ZIKIR KALAM sebetulnya bertujuan untuk menyucikan dan menghidupkan setiap titik 'maqam' pada seluruh lapisan rohani. Setelah lapisan demi lapisan dibersihkan sehingga mencapai 'maqam' titik roh terakhir (dalam beberapa Pengajian Hakikat menggelarkan sebagai 'maqam' ROH AL-QUDSI, 'maqam' SIRR atau 'maqam' AKU), tenaga rohani dari maqam ini akan mula hidup dan memancar keluar. Dalam proses keluarnya Tenaga Rohani AKU inilah titik permulaan bermulanya ZIKIR NAFS atau RASA.

Apakah yang diRASAkan?

Pada hakikatnya, Tenaga Rohani AKU ini tidak mempunyai RASA, melainkan hanya meRASAkan diri zahir dan diri batinnya sahaja. Dalam proses keluarnya Tenaga Rohani AKU inilah yang menghasilkan getaran RASA pada seluruh badan diri zahir dan batin yang masih dibelengu kotoran duniawi.

Tujuan menghidupkan kasyaf RASA?

Tenaga Rohani AKU ini bersifat bersih dan cahaya, manakala Ia merasakan kotoran pada seluruh lapisan rohani badan diri manusia. Jadi kasyaf RASA ini sebetulnya adalah sebagai 'indicator' atau petanda kepada hakikat keadaan rohani badan diri seseorang, samada dalam keadaan bersih atau masih banyak dibelengu kotoran duniawi yang bersifat BATHIL. 

Semakin bersih rohani badan diri seseorang maka semakin halus dan nipislah RASA padanya. Peringkat tertinggi dalam ZIKIR NAFS apabila HILANG dan KOSONG seluruh RASA pada rohani badan diri seseorang atau disebut sebagai Martabat Nurun 'Ala Nurin (boleh diertikan sebagai Peringkat Cahaya Berdamping Cahaya). Pada martabat ini, seorang insan telah pun bebas sepenuhnya daripada seluruh penyakit zahir dan batin.

Kesimpulannya, ZIKIR NAFS adalah peringkat yang WAJIB dilalui oleh seluruh ahli kerohanian, malahan selayaknya ditekankan perjalanan rohani atau perjalanan sufi seseorang hanya bermula setelah hidup kasyaf RASA padanya. Hanya dengan ZIKIR NAFS seseorang mampu melalui perjalanan HAKIKAT MENGENAL DIRI dengan membezakan antara yang HAQ atau yang BATHIL pada kerohanian masing-masing. Seluruh HIKMAH, KARAMAH atau KELEBIHAN yang dipunyai seseorang tanpa dihidupkan ZIKIR NAFS pada dirinya terlebih dahulu dikhuatiri adalah tipu daya daripada sesuatu unsur yang BATHIL.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment