Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda saw.
Segala puja dan puji sekaliannya hanya untuk Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Agung, Maha Tinggi, Maha Besar, Maha Perkasa, Maha Mulia dan Maha Sempurna. Kami panjatkan syukur atas segala rahmat, nikmat, taufik, hidayat dan segala kurniaan-Mu yang tidak pernah putus-putus.
Walau bagaimanapun suci puji-pujian kami terhadap diri-Mu namun, Engkau meninggi dan melampaui apa yang kami ucapkan, rasakan dan apa yang terlintas dalam fikiran dan penghayatan kami.
Sesungguhnya Engkau adalah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Maha Berdiri Dengan Sendiri, Pencipta sekalian makhluk. Walau bagaimana luas sekalipun kesyukuran kami namun, ia hanyalah sezarah di dalam ruang kurniaan-Mu.
Kami sandarkan puji dan puja kami terhadap-Mu kepada puji dan puja-Mu terhadap diri-Mu sendiri agar apabila Engkau Memuji diri-Mu Engkau mengingati pujian kami terhadap diri-Mu.
Kami sandarkan kesyukuran kami kepada rahmaniat-Mu agar apabila Engkau meratai segala kurniaan-Mu dengan rahmaniat-Mu, Engkau mengingati kami yang bersyukur terhadap segala kurniaan-Mu. Sebesar-besar kurniaan-Mu kepada kami adalah Engkau utuskan kepada kami kekasih-Mu, Nabi Muhammad saw.
Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda saw yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.
Wahai Tuhan kami! Dengan taufik dan hidayat-Mu yang maha luas, dapatlah kami menulis di page ini, setiap saat yang kami gunakan dalam urusan-Mu Engkau payungi kami dengan rahmat-Mu. Tidak ada pekerjaan yang sukar dan berat apabila ia dilakukan demi mematuhi perintah dan kehendak-Mu.
Ya Tuhan!
Kami sujud ke Hadrat-Mu dan kami mengaku bahawa sesungguhnya Engkau adalah Tuhan dan kami adalah hamba-Mu. Apa juga yang kami perolehi daripada nikmat ilmu, nikmat zahiriah dan nikmat batiniah semuanya adalah kurniaan-Mu. Segala kebaikan yang Engkau kurniakan kepada kami, kami kembalikan kepada-Mu. Segala keburukan dan kecacatan yang keluar daripada kami adalah kerana kegelapan hati kami. Kami memohon keampunan dan kemaafan-Mu.
Ampunkanlah juga dosa ibu-bapa kami dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka menjaga kami dengan penuh kasih sayang.
Kami memulakan perjalanan kami sebagai orang yang tidak mengetahui apa-apa tentang tarekat, hakikat, makrifat, Sir dan lain-lain yang biasa diperkatakan oleh orang-orang tawasuf.
Penggerak kami adalah pembukaan daripada Allah s.w.t Yang Maha Mengasihani. Ketika kami sedang hanyut di dalam kelalaian arus angan-angan, Dia dengan Kasihan Belas-Nya membawa kami menghadap kepada-Nya. Apa yang telah dibukakan kepada kami walaupun dalam tempoh yang singkat tetapi memerlukan masa lebih daripada sembilan tahun untuk memahami dan menghuraikannya.
Dalam proses tersebut kami banyak belajar dengan guru-guru makrifat, bertanya dan membaca buku-buku tasawuf dan page-page tasawuf, hakikat dan makrifat yang lain.
Dalam perjalanan kami, kami telah bertemu dengan orang-orang yang membuang kehambaan dan berpegang kepada fahaman penyatuan dengan Tuhan.
Kami temui kitab-kitab tulisan tangan yang kononnya ilmu para wali. Apabila mengambil perkataan orang yang demikian dan kitab yang demikian, kami menjadi lebih keliru. Dalam satu segi, diperkatakan tentang perjalanan nafsu dan latihan kerohanian yang sama dengan apa yang dikatakan oleh ulama tasauf yang muktabar.
Mereka menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan kisah-kisah Rasulullah saw juga, tetapi di sana sini terdapat pemahaman tersendiri mengenai maksud ayat-ayat Al-Quran dan ada pula cerita-cerita tentang Rasulullah saw yang tidak boleh ditemui dalam kitab-kitab sejarah.
Perkara yang paling mengelirukan adalah berkaitan dengan akidah. Berpegang kepada orang-orang yang demikian dan kitab-kitab yang demikian membuat seseorang tidak tahu di mana mahu diletakkan Al-Quran dan al-Hadis.
Kitab-kitab tasawuf yang boleh didapati di kedai-kedai buku, di google dan page-page lain, sebahagian daripadanya memperbesarkan jazbah, zauk, fana, bersatu dengan Tuhan dan baqa dengan Tuhan.
Pada satu peringkat kami menyangkakan bersatu dengan Tuhan itulah tahap paling tinggi boleh dicapai oleh manusia. Orang yang bersatu dengan Tuhan itulah orang yang sudah benar-benar ‘sampai’. Walaupun anggapan yang demikian muncul di dalam hati tetapi di satu bahagian hati yang tersembunyi menolak anggapan tersebut.
Kami bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah mempertemukan kami dengan Allahyarham guru kami berserta kitab-kitab karangan Imam Ibnu Athaillah, Syeikh Abdul Qadir Jilani, Imam an-Nafari dan wali-wali lain-lain yang telah membuka pandangan kami, dengan izin Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t mengurniakan rahmat yang berlimpah ruah keatas Roh mereka sekalian.
Kitab al-Hikam karangan Imam Ibnu Athaillah telah memainkan peranan penting kepada kami dalam perjalanan mencari jawapan dan kami temui melalui kata-kata hikmah Imam Ibnu Athaillah itu.
Apa yang kami temui dan kami fahami itu kami tulis dan kongsikan di page yg kecil ini, keterangan di dalamnya boleh membantu saudara-saudara kami yang masih mencari-cari.
Dengan segala kerendahan hati kami nyatakan bahawa kami bukanlah dari golongan ustaz, guru ataupun ulama tasauf, kami hanya sekadar murid yang sedang menempuh perjalanan salik (mujahadah muroqhobah).
Kadang-kadang berjaya,kadang-kadang tewas, tapi banyaknya tewas dek ikutan nafsu dari hijab hati yang masih tebal.
Apa yang kami kongsikan di page ini adalah berdasarkan pengajian, pengalaman dan kajian dari kami dan sahabat-sahabat kami semua. Adalah lebih baik jika saudara-saudara yang membaca page ini merujuk semula kepada orang yang arif dalam bidang ini.
Kami serahkan pekerjaan kami kepada Allah s.w.t. Segala kebaikan yang ada pada page ini adalah hak Allah s.w.t. Kekurangan dan kecacatannya adalah kerana kejahilan kami. Segala puji dan puja hanya untuk-Nya.
Sesungguhnya Engkau yang memberi petunjuk kepada hamba-hamba-Mu. Terimalah dan berkatilah pekerjaan kami ini Ya Allah. Aminnn...
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment